Tuesday, March 27, 2012

Selasa bersama Morrie (11)

Mengambil Kedatangan

Saya terbang ke London beberapa minggu kemudian. Saya membuat liputan Wimbledon, kejohanan tenis utama dunia dan merupakan antara sebilangan kecil acara sukan yang saya soroti tanpa laungan boo penonton dan tanpa orang mabuk di tempat parkir.

England ketika itu panas dan berawan. Setiap pagi saya melalui jalan yang dibarisi pokok-pokok berhampiran padang-padang tenis, melepasi para remaja yang berbaris untuk membeli baki tiket dan para penjaja yang menjual buah strawberi dan krim.

Di luar pintu masuk terdapat sebuah gerai surat khabar yang menjual lebih setengah dozen tabloid Inggeris yang berwarna-warni, dengan gambar wanita separuh bogel, gambar paparazzi keluarga Diraja, horoskop, sukan, pertandingan loteri dan sedikit berita sebenar.

Tajuk berita utama mereka hari itu ditulis di sebuah papan kapur kecil yang yang disandarkan pada timbunan akhbar terbaru. Ia biasanya berbunyi seperti DIANA BERGADUH DENGAN CHARLES! atau GAZZA KEPADA PASUKAN: BERI SAYA LEBIH BANYAK WANG!

Orang ramai membeli tabloid-tabloid ini, menelan gossip-gosipnya. Dalam kunjungan ke England sebelum ini, saya juga berbuat demikian. Tetapi sekarang, entah apa sebabnya, saya dapati diri saya terfikir tentang Morrie setiap kali membaca sesuatu yang bodoh atau tak masuk akal begitu.

Saya terus-menerus membayangkannya di sana, di rumah dengan pokok mapel Jepun dan lantai kayu keras, sambil memerah nafasnya, setiap detik daripadanya, bersama insan-insan yang dikasihi, sementara saya pula menghabiskan jam demi jam ke atas perkara-perkara yang tidak bermakna apa-apa kepada saya – bintang filem, supermodel, bisik-bisik terakhir yang keluar tentang Puteri Diana atau Madonna atau John F. Kennedy, Jr.

Dari satu segi, saya mencemburui kualiti masa Morrie, walaupun, pada masa yang sama, saya turut meratapi bekalannya yang semakin berkurangan. Kenapakah kita harus memberi perhatian kepada semua perkara itu?

Di AS, perbicaraan O. J. Simpson sedang berjalan, dan sememangnya ada orang yang menghabiskan seluruh masa makan tengahari mereka menonton liputannya, malah merakam bakinya untuk ditonton di rumah pada sebelah malam pula.

Mereka tidak mengenali O. J. Simpson. Mereka tidak mengenali sesiapa pun yang terlibat dalam kes itu. Tetapi mereka menghabiskan masa berhari-hari, malah berminggu-minggu, dalam hidup mereka semata-mata kerana ketagih akan drama hidup orang lain.

Saya teringat kata-kata Morrie ketika saya datang menziarahinya: “Budaya yang kita ada sekarang ini tidak membuatkan manusia berasa senang dengan diri mereka sendiri. Kita mengajar perkara yang salah. Dan anda harus cukup berani untuk berkata bahawa jika budaya itu gagal berfungsi, jangan terima”.

Menepati kata-katanya, Morrie telah membina budaya sendiri – lama sebelum dia jatuh sakit. Kumpulan perbincangan, bersiar dengan kawan-kawan, menari menurut rentak muziknya di gereja Dataran Harvard. Dia memulakan projek bernama Greenhouse, yang memberi khidmat kesihatan mental kepada orang-orang miskin.

Dia membaca buku bagi mencari idea baru untuk kelasnya, menziarahi rakan sejawat, terus berhubung dengan bekas pelajarnya, menulis surat kepada rakan-rakan yang jauh. Dia menghabiskan lebih banyak masa untuk makan dan menikmati alam semula jadi, dan tidak menghabiskan masa menonton sitcom atau rancangan Movies of the Week di TV.

Dia telah mewujudkan sebuah jaringan hubungan kemanusiaan – berbual, interaksi, kemesraan – dan kesemua itu mengisi hidupnya seperti sebuah mangkuk sup yang penuh melimpah.

Saya juga telah mencipta budaya sendiri. Kerja. Saya membuat empat atau lima kerja media di England, menjugelnya satu lepas satu seperti badut. Saya menghabiskan masa lapan jam sehari di depan computer, menghantar berita saya kembali ke AS. Saya juga membuat rancangan TV, kembara bersama krew ke sebahagian London.

Saya turut menyediakan laporan langsung radio melalui telefon pada setiap pagi dan petang. Ini bukanlah beban kerja yang luar biasa bagi saya. Setelah bertahun-tahun, saya telah menjadikan kerja sebagai teman, sekali gus mengalihkan semua yang lain ke tepi.

….bersambung Mengambil Kedatangan

Monday, March 26, 2012

Selasa bersama Morrie (10)

sambungan, Kelas

“Begini, pertama, budaya yang kita ada sekarang ini tidak membuatkan manusia berasa senang dengan diri mereka sendiri. Kita mengajar perkara yang salah. Dan anda harus cukup berani untuk berkata bahawa jika budaya itu gagal berfungsi, jangan terima.

Wujudkan budaya anda sendiri. Kebanyakan orang tidak dapat melakukannya. Mereka lebih tidak gembira daripada saya – hatta dalam keadaan diri saya sekarang.

“Saya mungkin sedang sakit tenat, tetapi saya dikelilingi oleh insan-insan yang prihatin dan sangat mengasihi. Berapa orang yang dapat berkata demikian?

Saya kagum dengan sikapnya yang langsung tidak mahu menyerah kalah kepada keadaan. Morrie, yang tidak lagi berupaya menari, berenang, mandi atau berjalan; Morrie, yang tidak lagi boleh membuka pintunya sendiri, mengeringkan badan selepas mandi, malah untuk berpusing di katilnya sendiri juga dia tidak berupaya.

Bagaimana dia boleh begitu reda dengan keadaan? Saya melihatnya bergelut dengan garfunya, mencuba mengambil secebis tomato di pinggannya, gagal dalam percubaan pertama dan kedua – pemandangan yang sangat menghibakan.

Namun, saya juga tidak dapat menafikan bahawa berada di sampingnya amat menyenangkan sekali; bayu dingin yang sama yang membelai saya ketika di kolej.

Saya menjeling jam di lengan – kerana kebiasaan – hari semakin lewat, dan saya berfikir tentang mengubah tempahan pesawat pulang saya. Kemudian Morrie berbuat sesuatu yang terus menghantui saya hingga ke hari ini.

“Anda tahu bagaimana saya akan mati?”, tanyanya.

Saya mengangkat kening.

“Saya akan mati sesak nafas. Ya, kerana penyakit lelah yang saya hidapi, paru-paru saya tidak mampu menghadapi penyakit ini. Ia bergerak ke bahagian tubuh atas saya, inilah ALS. Ia telah mengambil kaki saya. Tak lama lagi ia akan mengambil lengan dan tangan saya. Dan apabila ia tiba ke paru-paru saya…”

Dia mengangkat bahunya.

“…saya habis”.

Saya tak tahu apa nak cakap, jadi saya berkata, “Hmm, anda tau, maksud saya…kita tak tau tu”.

Morrie memejamkan mata. “Saya tahu, Mitch. Anda tidak perlu takut bahawa saya akan mati. Hidup saya gembira dan kita semua tahu yang ia akan berlaku juga. Saya mungkin ada empat atau lima bulan lagi”.

Takkan begitu, kata saya gementar. Tiada siapa yang tahu –

“Saya tahu”, katanya perlahan. “Ada satu ujian mudah pun. Seorang doktor menunjukkannya kepada saya”.

Ujian?

“Tarik nafas beberapa kali”.

Saya buat apa yang disuruhnya.

“Sekarang, sekali lagi, tapi kali ini, apabila anda menghembus keluar nafas, kira sebanyak mungin nombor sebelum anda mengambil nafas semula”.

Saya segera mengira sambil mengembus nafas. “Satu-dua-tiga-empat-lima-enam-tujuh-lapan…”. Saya sampai ke nombor 70 sebelum kehabisan nafas.

“Bagus”, kata Morrie. “Paru-paru anda sihat. Sekarang cuba tengok saya".

Dia menarik nafas, kemudian mula mengira dengan suara perlahan dan terketar-ketar. “Satu-dua-tiga-empat-lima-enam-tujuh-lapan-sembilan-sepuluh-sebelas-duabelas-tigabelas-empatbelas-limabelas-enambelas-tujuhbelas-lapanbelas-“.

Dia berhenti, tercungap-cungap.

“Masa doktor itu mula-mula menyuruh saya buat begini, saya boleh sampai ke angka dua puluh tiga. Sekarang hanya lapanbelas”.

Dia memejam mata, menggelengkan kepala. “Tangki saya sudah hampir kosong”.

Saya menepuk-nepuk paha, gementar. Itu sudah cukup untuk satu hari.

“Datang lagi untuk berjumpa profesor tua anda”, kata Morrie apabila saya memeluknya selamat tinggal.

Saya berjanji akan berbuat demikian, dan cuba untuk tidak berfikir tentang kali terakhir saya berbuat demikian.

@ @ @

Di kedai buku kampus, saya mencari barang-barang yang ada dalam senarai Morrie. Saya membeli buku yang saya tidak tahu wujud pun, judul-judul seperti Youth: Identity and Crisis, I and Thou, The Divided Self.

Sebelum ke kolej saya tidak tahu bahawa kajian tentang hubungan kemanusian boleh dianggap ilmiah. Sehingga saya bertemu Morrie, saya tidak mempercayainya.

Tetapi minatnya kepada buku sangat nyata dan mewabak. Kami mula bercakap dengan serius, mula-mula selepas kelas, apabila ia kosong. Dia bertanya tentang kehidupan saya, kemudian memetik kata-kata daripada Erich Fromm, Martin Buber, Erik Erikson.

Dia sering merujuki kata-kata mereka dan menotakakikan nasihatnya sendiri, walaupun adalah jelas dia juga berfikir perkara yang sama. Pada waktu-waktu inilah saya sedari bahawa dia memang seorang profesor, bukan pakcik.

Pada suatu petang, saya merungut tentang kekeliruan zaman saya, apa-apa yang dikehendaki daripada kami dan yang kami mahu sendiri.

“Pernahkah saya memberitahu anda tentang ketegangan bersilang?”, katanya.

Ketegangan bersilang?

“Kehidupan adalah suatu siri tarikan ke depan dan ke belakag. Anda mahu berbuat sesuatu, tetapi anda terpaksa berbuat sesuatu yang lain. Ada perkara yang menyakitkan anda, namun anda tahu ia tidak seharusnya begitu. Anda mengambil remeh perkara-perkara tertentu, walaupun anda tahu bahawa tidak ada perkara yang harus di pandang ringan.

“Ketegangan bersilang, seperti regangan pada se utas getah gelang. Dan kebanyakan kita berada di bahagian tengahnya”.

Seperti perlawanan gusti, kata saya.

“Perlawanan gusti”. Dia ketawa. “Ya, anda boleh kata hidup begitu.

Jadi pihak mana yang menang, tanya saya.

Dia tersenyum, mata yang berkedut itu, gigi yang bengkok itu.

“Kasih saying menang. Kasih saying sentiasa menang".