Monday, February 02, 2009

satu lapan kosong sembilan

setelah meneliti pelbagai laporan tentang perhimpunan membantah ISA anjuran gmi semalam di ibu kota, beberapa kesimpulan keras melintas di kepala, iaitu:

- kerajaan dan polis tidak pernah, tidak bersedia, tidak mahu dan tidak akan belajar apa-apa daripadanya;

- bahawa ia tetap mahu bersikap kepala batu dan buta-tuli terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat serta tuntutan serta suara rakyat;

- bahawa ia terus beriman kepada pendekatan undang-undang dan kuasa dalam menghadapi pandangan yang berbeza daripada pandangannya sendiri;

- bahawa ia mahu terus bermain kata-kata dan silap-mata media dalam menghadapi fakta-fakta keras berhubung kelemahan, kezaliman, penganiayaan dan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan undang-undang terbabit;

- bahawa ia mahu terus mengekalkan akta itu, walau apa pun kata-kata manis yang pernah dan akan dijanjikannya;

- bahawa polis adalah badan penguatkuasa yang paling tolol, tiada hati budi, tiada hemah, tiada kebijaksanaan dan sentiasa berniat jahat;

- bahawa polis adalah sebuah mesin, yang apabila terpasang, tidak dapat mengawal dirinya sendiri;

- bahawa kerajaan dan polis melihat dan mahu dirinya dilihat sebagai tuhan, iaitu sebagai entiti yang tidak tertakluk kepada apa-apa nilai dan undang-undang yang lebih tinggi daripadanya, atau dengan perkataan lain, sebagai sumber dan matlamat semua nilai dan undang-undang yang tunggal dan muktamad.

secara peribadi, kesemua ini sudah cukup untuk saya membulatkan tekad dan memuktamadkan penilaian bahawa kedua-dua entiti atau tangan dan sarung tangan ini adalah wabak, jembalang dan raksasa yang mesti dibanteras hingga ke akar dan terasnya. ia sudah begitu memburuk sehingga ‘pemulihan’ bukan lagi suatu kemungkinan. noktah.

wallahu a'lam.

* * * * *

Gurindam V (1)

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang berbahagia,
sangat memeliharakan daripada yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat ketika bercampur dia dengan orang ramai.


__________________________
(1) Gurindam Duabelas, Raja Ali Haji.