Wednesday, January 27, 2010

Lorong-lorong gelap dalam kontroversi penggunaan kalimah Allah

Jika saya ditugaskan untuk menterjemah kitab suci orang Kristian ke dalam bahasa Melayu standard, yang mematuhi hukum-hukum tata bahasa serta pengertian yang difahami dalam lingkungan budaya berbahasa Melayunya, maka saya akan berhadapan dengan beberapa cabaran besar.

Lazim dalam proses penerjemahan, sesuatu teks itu harus difahami terlebih dahulu dalam konteks bahasa dan budaya asalnya dan kemudianya diterjemahkan ke dalam bahasa dan budaya sasaran. Ini adalah proses yang paling penting kerana bahasa tidak wujud di dalam vakum, sebaliknya ia wujud dalam sebuah lingkungan budaya yang memberi pengertian kepadanya.

Dalam hal ini, akan ada perkataan, ungkapan atau frasa dan sebagainya yang jika diterjemahkan secara harfiah dari satu bahasa ke bahasa lain tanpa terlebih dahulu mengenal pasti kandungan budaya yang terkandung di dalamnya akan menghasilkan terjemahan yang serong atau salah sama sekali.

Ini penting dan menjadi kayu ukur kepada kualiti terjemahan itu sendiri. Sering terjadi, sesuatu konsep yang diwakili oleh satu atau beberapa perkataan atau frasa dalam bahasa sumber apabila diterjemahkan secara salah akan memberi kesan dan maksud yang berbeza dalam bahasa sasaran.

Keadaan akan menjadi lebih sukar apabila tugas terjemahan itu melibatkan teks-teks agama, dan dalam konteks ini sebuah kitab suci yang akan menjadi pedoman kepercayaan, amalan dan pandangan hidup seseorang atau sekumpulan orang. Ia tidak sama dengan tugas menterjemah sebuah manual kereta atau kipas angin atau sebuah buku akademik, misalnya.

Salah terjemah bukanlah kesilapan yang boleh dipandang ringan. Seseorang boleh dianggap ‘beriman’ atau ‘kufur’, ‘betul’ atau ‘salah’ dan ‘berakhlak’ atau ‘berdosa’ bergantung kepada terjemahan itu sendiri.

Keadaan juga akan menjadi semakin rumit sekiranya teks terjemahan itu pula kemudiannya menjadi pegangan dan rujukan asasi penggunanya, tanpa ada kemungkinan teks asal dijadikan pemutus sekiranya berlaku kekeliruan atau salah faham terhadap teks terjemahan itu sendiri.

Dalam konteks terjemahan kitab suci, suatu perkara yang harus diingat ialah hakikat bahawa teks asal adalah mutlak dan muktamad sifatnya, iaitu ia tidak mungkin tersilap atau tersalah, dan tidak ada kemungkinan ia berubah atau diubah. Seseorang penterjemah tidak boleh mengandaikan berlakunya kesilapan pada teks berkenaan, justeru boleh menyesuaikan terjemahannya dengan andaian kesilapan itu.

Selain kesukaran kerana kedudukan teks itu sendiri dalam hirarki kepentingan di atas, kesukaran juga timbul kerana istilah atau frasa agama kadang-kandang mempunyai banyak sisi serta lapisan maknanya. Kadang-kadang satu perkataan sahaja boleh ditafsirkan dengan pelbagai makna yang boleh mengambil bentuk berjilid-jilid buku pula.

Secara ringkas, seseorang yang mahu memikul tugas sebegini haruslah menguasai ilmu terjemahan, ilmu bahasa sumber dan sasaran dan ilmu bidangan yang mahu diterjemahkannya itu.

Selain itu, dia juga harus memahami konteks dan latar belakang budaya bahasa-bahasa yang terlibat sekiranya teks yang diterjemahkan tidak bersifat semasa atau kontemporari kerana tempoh masa turut memainkan peranannya dalam penentuan makna perkataan atau frasa dan ungkapan.

Sesuatu perkataan yang difahami dengan makna tertentu suatu masa dulu, mungkin telah berubah maknanya pada masa kini ekoran perubahan yang berlaku dalam lingkungan budaya bahasa tersebut. Isu ini amat terserlah dalam terjemahan teks-teks agama dan sastera klasik.

Dalam pada itu, sesuatu perkataan, ungkapan atau frasa juga berkemungkinan difahami dengan makna tertentu dalam penggunaannya secara formal dan bertulis, tetapi difahami dengan maksud yang lain apabila diguna secara basahan dan lisan, selain wujudnya perkataan, atau frasa dan lain-lain yang digunakan secara khusus dalam keadaan-keadaan yang khusus pula.

Keributan dan salah faham boleh sahaja berlaku di mana-mana jika perhatian dan kepekaan kepada konteks ini tidak dibuat dengan serius... (bersambung, insya Allah)

2 comments:

ahmadnizamhamid said...

kupasan yang amat menarik.tuan perlu tuntaskan segera sambungannya.tulisan tuan terdahulu tentang kontroversi penggunaan istilah 'ALLAH' sahaya nilai sekadar berdasarkan hujjah semantik semata;pun begitu didalam banyak masukan tentang isu itu,nampaknya tuan berjaya membawa pandangan dari sisi lain yang tentunya berbeza.samaada hujjah semantik tuan bisa menjernihkan,sahaya kira masih jauh untuk digapai tentunya.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Lorong-lorong gelap lazimnya kawasan operasi golongan pinggir seperti pencuri.

Sang cendekia segala bidang mencambah keilmuan mereka di menara-menara gading terang-benderang agar segala jurus menepati sasar.

Suasana kini mengingatkan sebuah buku karangan Ustaz Bey Ariffin ..,

.., manusia bercempidar tidak memerlukan syaitan mogok.