Melayu itu hui di tanah china
Melayu itu malabar di benua india
Melayu itu farsi di dunia persia
Melayu itu kashmir di lurah himalaya
Melayu itu turki di dada anatolia
Melayu itu saracen di pasir arabia
Melayu itu chechen di bumi kaukasia
Melayu itu bosnia di lembah slava
Melayu itu andalus di tanjung iberia
Melayu itu berber di maghrib utara
Melayu itu bantu di lapang afrika
Melayu bukan kulit tapi rupa bangsa
Melayu itu budaya buah agama
Semuanya terjelma dalam bahasa
Budi yang halus falsafah mulia
Dianyam dihampar dalam kata-kata
Dalam berbuat peradaban terbina
Melayu itu millah di daerah nusantara
Melayu itu kalam yang terlaksana
Melayu itu peribadi nusa yang percaya
Syariat dan makrifat pengatur hala
Adab dan akhlak penyusun cara
Seperti teladan kitab yang aulia
Tertutur oleh lidah pembawa
Terukir pada tingkah baginda
Ketika sedih ketika ketawa
Ketika berkawan ketika berkelana
Ketika seorang ketika berlaksa
Ketika daif ketika bertakhta
Menjunjung titah tuhan semesta
Tertunduk hati terbuka mata
Lurus amanah mendengar kata
Awan peneduh untuk semua.
Melayu itu adil tak kenal siapa
Melayu itu jujur bertimbang tara
Melayu itu berani terkena gaya
Melayu itu pemberi bukan penerima
Melayu itu waras akal kepala
Melayu itu hikmah bertelus mata
Melayu itu tenang berlapang dada
Melayu itu luas berbesar jiwa
Melayu itu kawan tempat bersetia
Melayu itu muafakat tegak bersama
Melayu itu terharap bagai pelita.
Melayu itu timbul dengan agama
Melayu itu penunjuk alur dunia
Melayu itu pewaris jejak peneroka
Melayu itu budi bukan kuasa
Melayu itu bakti bukan harta
Melayu itu benar bukan dusta
Melayu itu pahala bukan dosa
Melayu itu ihsan bukan noda
Melayu itu ingat bukan lupa
Melayu itu sedar bukan alpa
Melayu itu kasih bukan murka
Melayu itu hemat bukan haloba
Melayu itu bela bukan nista
Melayu itu pimpin bukan tunda
Melayu itu tertib bukan cempera
Melayu itu damai bukan sengketa
Melayu itu rahmat bukan angkara
Melayu itu aman bukan bencana
Melayu itu fikir bukan sangka
Melayu itu kerja bukan seloka
Melayu itu hakikat bukan cereka
Melayu itu merdeka bukan hamba
Melayu itu bangga walau dihina
Melayu itu hormat walau dicerca
Melayu itu bukan musuh sesiapa
Melainkan penjaja pencak berbisa
Melainkan penyambung lidah derhaka
Dilambung ombak dibanting segala
Tekadnya menunjang silalah duga
Biar putih tulang berpantang putih mata
Melayu itu wajah tulus bijaksana
Melayu itu pemikul obor manusia
Penyampai berita pelaksana warta
Pemakmur alam saya, tuan dan kita.
--------------------------------
*Buat dr dzulkifli ahmad - guru, sahabat
(- jika kita bukan melayu, kita manusia apa?)
Saturday, March 20, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Pencuri Kota Baghdad.
Tuan SP
menghembus bara
di dada
dan malam ini
saya keluar
untuk mencuri lagi.
Melayu itu manusia
Ada benar dan ralatnya
Melayu itu dunia
Bersendiri dan bersama-sama
Melayu tuan dan Melayu saya
Ayoh! Kita perkasa budi bahasa.
Pencuri Kota Baghdad.
Usai membaca, entri Tuan SP
membaling ingat
ke daerah lampau.
Azmi Kadir & Hamdan Conteh.
Sebotol Bloody Mary.
Sepasang Mata Bundar.
dan cangkir kosong
yang tinggal sepi
sejak pulangnya
si Buruk Merak Wahyu Sulaiman
serasa berisi
perahan nektar
si Rajawali
Bila tuan bersedia
membaca puisi
di halaman
saya seorang pun
tidak mengapa
terus akan duduk
menghayatinya.
Pencuri Kota Baghdad.
apakah
Tuan Hijau & Tuan Penghuni No. 22 Islamic Street sudah rawan hati untuk ke daerah zeni pokok-hujan lantaran Tuan SP sudah berpencak di jalur fitrah ..?
atau andainya kalam tuan-tuan sudah rondek lagi rontek dek kecelaruan stamina ..?
seperti kata tuan pencuri, aku terkesima, lalu aku pun percaya.
saya yang dipanggil hijau.
apakah tuan spa cuba memperikan psikik Melayu setelah lebih 500 tahun sengsara jiwa?atau tuan spa sekadar menghiburkan hati sendiri membalut rawan Melayu yang melayu?
entah ya atau mungkin tuan spa berada diaras bawah sedar yang mudah2an tidak kroniks.
Melayu itu manusia bak lakaran PKB dan kerana Melayu yang manusia itu kian hilang manusiawinya.wallahua'llam bissawab
bukan begitu tuan tuan anh. sekadar menyebut bahawa melayu itu hanya wujud sebagai sebuah rupa bangsa dengan islam. hanya dengan islam, penduduk pribumi di daerah nusantara ini dikenali sebagai melayu apabila bahasa dan adabnya berkembang oleh tinta para ulamak, dai dan sufi yang berkelana ke wilayah ini.
sebelum itu melayu itu hanyalah kelompok2 puak yang kelabu penyembah kayu-batu, dewata dan berhala. mereka adalah semelai, jakun, sakai, negrito, orang laut, bajau, orang pulau, orang ulu, orang sungai, orang bukit, orang kebayan dan lain-lain sebagainya.
justeru apabila mahu dipakai rupa nama melayu kini atau bila-bilapun, harus difahami bahawa ia adalah rupa nama islam dan segala peribadinya, bukan sekadar kulit atau warisan budaya yang tidak diketahui usul asalnya. orang yang berbohong, zalim, pendek akal, gasar walaupun berketurunan 'melayu', bukanlah melayu dalam erti kata budaya dan adabnya.
begitu juga, orang yang bercakap tentang hak dan perjuangan melayu dan bangsanya seperti yang lumrah kini, hanya boleh dianggap benar sekiranya ia kembali kembali noktah prinsip ini, iaitu melayu itu adalah wajah islam seutuhnya, bukan wajah yang diberikan oleh inggeris atau orang lain. jika tidak, mereka tidak berhak menggunapakai pengenalan diri itu.
melayu bukan kulit, ia rupa bangsa dan segala yang mewakilinya. saya rasa, telah saya jelaskan hal ini di awal entri ini. wallahu a'lam.
ringkasnya, apabila disebut 'orang itu melayu' bagi manusia di wilayah nusantara ini, maknanya dia adalah orang yang berilmu, beragama, beradab, adil, bijak dan lain-lain sebagainya. seperti juga jika disebut hui, atau malabari, atau kashmiri, berber, turki, farsi dan lain-lain. malangnya kini, kita menggunapakai pengertian melayu yang diberikan oleh penjajah, iaitu sebagai manusia warna kulit, bukan manusia rupa bangsa.
sebelum islam, melayu itu hanyalah membawa maksud 'sungai' atau 'gunung' sahaja.
Pencuri Kota Baghdad.
Hei ..., ada nama
seada nama
sebelum bernama
Hei .., tah bergetah
ertinya berseruyub
berseruyub di dalam kabut
Tun Tuban
Temuri
Tali Pusat
Tun Tuban jadi songkok
Temuri jadi dandan
Tali Pusat jadi tongkat
tari dan seloka
jadi senjata
Mari berlari di hamparan benua
memacak panji-panji bangsa
* Nah .., orang berpencak memberi nama mentera tadi sebagai Tajalli. Di dalam jagat kepencurian kami sekadar mengepal tanah lalu diratakan kembali ke tanah jua.
Tuan ANH bersetuju membenarkan kemanusiaan Melayu.
Puisi Tuan SP memanusiakan Melayu sebagai makhluk yang seharus berdiri di atas tapak fitrawi bagi menunaikan janji kekhalifahannya.
Nah .., bila kita memilih ehsan dan budi, lalu dilengkapi tutur mulus-muluk - kita sebenarnya tidak berada di dalam bahtera yang berbeza.
Soal siapa jadi juragan, siapa tukang kemudi, siapa jaga layar - itu memerlukan Tuan SP menulis puisi lain tentang perihal suatu anugerah besar kehidupan ..., iaitu air!
Bulat Air dek Pembentung
Bulat Manusia dek Maufakat
Lebih 30 tahun dahulu, di atas sebuah bukit bergelar Tunggul, Tuan SP pernah berkata mengenainya.
UlatBulu
Dari 'Ini Saya Punya Kerja' Patut Diabadikan di Rimbun Pkok-Hujan
Melayu
Melayu itu orang yg bijaksana
Nakalnya bersulam jenaka
Budi bahasanya tidak terkira
Kurang ajarnya tetap santun
Jika menipu pun masih bersopan
Bila mengampu bijak beralas tangan.
Melayu itu berani jika bersalah
Kecut takut kerana benar
Janji simpan di perut
Selalu pecah di mulut
Biar mati adat
Jangan mati anak.
Melayu di Tanah Semenanjung luas maknanya;
Jawa itu Melayu,
Bugis itu Melayu,
Banjar juga disebut Melayu,
Minangkabau memang Melayu,
Keturunan Acheh adalah Melayu,
Jakun dan Sakai asli Melayu,
Arab dan Pakistan semua Melayu,
Mamak dan Malbari serap ke Melayu,
Malah muallaf bertakrif Melayu
(Setelah disunat anunya itu).
Dalam sejarahnya;
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah zaman
Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala kehilangan.
Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara.
Malangnya Melayu itu kuat bersorak
Terlalu ghairah pesta temasya
Sedangkan kampung telah tergadai
Sawah sejalur tinggal sejengkal
Tanah sebidang mudah terjual.
Meski telah memiliki telaga
Tangan masih memegang tali
Sedang orang mencapai timba.
Berbuahlah pisang tiga kali
Melayu itu masih bermimpi
Walaupun sudah mengenal universiti
Masih berdagang di rumah sendiri.
Berkelahi cara Melayu
Menikam dengan pantun
Menyanggah dengan senyum
Merendah bukan menyembah
Meninggi bukan melonjak.
Watak Melayu menolak permusuhan
Setia dan sabar tiada sempadan
Tapi jika marah tak Nampak telinga
Musuh dicari ke lubang cacing,
Tak dapat tanduk telinga dijinjing,
Maruah dan agama dihina jangan
Hebat amuknya tak kenal lawan.
Berdamai cara Melayu indah sekali
Silaturrahim hati yang murni
Maaf diungkap senantiasa bersahut
Tangan dihulur sentiasa bersambut
Luka pun tidak lagi berparut.
Baiknya hati Melayu itu tak terbandingkan
Sagala yang ada sanggup diberikan
Sehingga tercipta sebuah kiasan;
“Dagang lalu nasi ditanakkan
Suami pulang lapar tak makan
Kera di hutan disusukan
Anak di pangkuan mati kebuluran”
Bagaimana Melayu abad dua puluh satu,
Masihkah tunduk tersipu-sipu?
Jangan takut melanggar pantang
Jika pantang menghalang kemajuan;
Jangan segan menentang larangan
Jika yakin pada kebenaran;
Jangan malu mengucapkan keyakinan
Jika percaya kepada keadilan.
Jadilah bangsa yang bijaksana
Memegang tali memegang timba
Memikir ekonomi mencipta budaya
Menjadi tuan di Negara Merdeka.
Post a Comment