Perempuan kita bila berwang,
Tingkah lawas cakapnya lancang,
Kenderaan gadang dialah orang,
Rumah agam akulah demang,
Otak beku fikiran kurang,
Hati kasar bukan kepalang,
Adab sopan amatlah calang,
Cinta kasih pakailah timbang,
Tertib budi dah lama hilang,
Mata meliar di leher jinjang,
Tidak terlarang kakinya panjang,
Makan pakai tiadalah pantang,
Berebut tempat di cahaya terang,
Anak cucu tungganglah langgang,
Keluar berjalan tak pulang-pulang,
Menagih perhatian di dada orang,
Rumah tempat mempamir barang,
Tebal berhabuk berat bersawang,
Emas berkati intan bersarang,
Sentiasa mengeluh banyak yang kurang,
Suami menumpang kasihnya orang,
Perempuan desa dari seberang.
Itulah nasib bangsa yang tumbang,
Bendang harapan tumbuhnya lalang,
Benih cambah banyak yang sambang,
Membina dunia di awang-awang,
Semua diterpa secara rambang,
Asal berkilat terus dipegang,
Tiada dikenal hantu jembalang,
Sedang di tangan suluh benderang,
Menunjuk arah jalannya pulang,
Cahayanya terang tak pernah hilang,
Sejak bermula nenek dan moyang,
Tiada mungkir tidak bergoyang,
Jika hati sedia bertenang,
Jika mata sedia memandang,
Jika akal sedia menimbang,
Semuanya zahir di langit terpampang,
Tidak terselindung tiada berbayang,
Pulang, pulang, pulang,
Pulang,
Seorang,
Seorang, seorang, seorang,
Dunia dikendong langit dijulang.
Monday, March 08, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
11 comments:
HHHHHHHHMMMMM.....ADA BETULNYE
Pencuri Kota Baghdad
Tuan SP, kerana aku ketahuan susur galur amarah tuan terhadap kaum Hawa ini, maka aku memilih untuk tidak mahu ikut ekspedisi yang boleh saja tercipta kerugian dalam banyak hal.
Aku lebih senang bersama kaum Hawa lantaran kaum ini merupakan pendokong besar bagi hibah buat kami, sang kapitalis.
Sekali lagi, pemerhatian Tuan SP begitu menerobos. Begitu memahami kaum Hawa.
Cuma Tuan SP tidak sebegitu terhadap kami, sang kapitalis .., justru aku berasa perlu berbuat sesuatu .., enjoy.
Kapitalis Orang
lelaki kita bila berwang
langkah dan lidah harus tenang
gadang agam demang badang
bukan dicari untuk disandang
akal laksana suluh menerang
jiwa besar tiada bergalang
adat adab bukan kepalang
setia kasih tiada menyimpang
raga budi kandungan ilham
zuhud zikir di kelam malam
pencak jurus pada siang
megah berdiri pahlawan alam
mandinya pancur kurniaan
makannya didulang tempawan
pakainya kasa bersulam
tidurnya di mana ranjang
walau desa di seberang
asal hati naluri lapang
bangsa yang mahu gerbang
harus berani tinggi dan terbang
kental jiwa tiada goyang
suci hati tiada walang
mata memandang akal menimbang
susuk tetap dan tampang
hah! tuan pencuri. itu permainan berzaman. ralatnya cuma satu, hujungnya di mana? balqis yang tersingkap kainnya dek lantai sulaiman atau yusuf yang terkoyak bajunya dek angkara zulaikha?
Pencuri Kota Baghdad
Wahai tuan tak bernama, arakian hidup itu sendiri permainan zaman berzaman .., dan tuan bertanya di mana hujungnya?
Hujung adalah destinasi.
Sang kapitalis penunggang Harley Fat Boy mendamba isi perjalanan menuju destinasi ..,
.. dan sama ada terkesima Balqis dek lantai Sulaiman, atau koyak baju Yusuf dek dendam berahi Zulaikha - tidakkah itu semua berada pada isi perjalanan.
Orang yang mencari hujung ialah orang hitamputih @ orang hukum @ fiqqiyah kata Tuan SP.
Kapitalis ialah orang yang mahu membina jalan menuju hujung agar orang lain boleh juga melaluinya.
"Aku lebih senang bersama kaum Hawa lantaran kaum ini merupakan pendokong besar bagi hibah buat kami, sang kapitalis"...ini kata tuan, jadi saya bertanya di mana hujungnya kaum ini dalam 'ekspedisi' tuan itu kerana tuan juga menolak 'amarah' tuan sp.
menarik, dan cantik susun katanya.
Pencuri Kota Baghdad
Wahai orang tak bernama, justru tuan mengkhususkan persoalan kepada bait-bait tertentu, walhal aku amat bersikap umum.
Mengingatkan aku kepada nujum kerajaan Pasai yang bertanya Pak Belalang di manakah kekuatan Laksamana Hang Tuah - pada kerisnya kah? atau pada tenaganyakah?
Apabila orang yang bertanya menetapkan pilihan jawapan - maka aku memilih pesan tok penangah kenduri yang hampir pupus kini buat menangani soalan.
Iaitu hujung kaum Hawa berada di permulaan kaum Adam.
"...iaitu hujung kaum Hawa berada di permulaan kaum Adam". ini pemerhatian yang amat menarik tuan pencuri, cuma bolehkah tuan huraikannya lebih lanjut agar ia boleh difahami dan mungkin juga diperhalusi melalui perbincangan dan juga perdebatan?
seperti huraian tuan tentang wang dan orang kapitalis yang muluk suci itu. kata-kata pun punya faedahnya juga, bukan begitu?
kata-kata yang hanya untuk faedah penuturnya tentulah sama sahaja dengan wang yang hanya berfaedah untuk pemiliknya a.k.a orang kapitalis - yang tuan pencuri kuduskan itu. bukan begitu?
saya bernama tuan, nama saya hijau. terima kasih
tuan pencuri silap, saya tidak amarah terhadap kaum hawa seperti yang tuan simpulkan itu. sebaliknya, saya hanya mencatatkan pemerhatian tentang kaum itu seperti yang dilihat di dunia realiti. ia mungkin benar, dan mungkin juga salah, dan mungkin juga benar dan salah sekali gus. terpulang kepada sudut penglihatan masing-masing, tuan.
dalam konteks tuan, sudut pandangan 'amarah' yang tuan simpulkan itu nampaknya menjadi justifikasi kepada kepercayaan dan juga tingkah laku tuan terhadap kaum itu - 'ia boleh mencipta kerugian - mereka merupakan pendokong besar hibah buat kami'.
jadi persis, seperti pertimbangan lazim kaum tuan, ia adalah pertimbangan untung-rugi dalam bentuk mata wang. sedang pertimbangan saya adalah untuk-rugi dalam bentuk budaya dan peradaban.
tiada silap apa-apa, cuma ia adalah perbezaan dasar penglihatan dan barang kali juga perjalanan dan hujungnya atau destinasi seperti kata tuan. wallahu a'lam.
neon paradase (kelipan syurge)
kelip lambat sampailah jua
moga membawa cahaya bahagia
jantan betina
memang tidaklah sama
sudah terbukti dipinggir teliga
apatah lagi bentuk dan nama
kalau jantan sudah ternama
di bilang hitung bilangnya betina
memujuk rayu membina bina
bukanlah lautan api menjadi hina
hidup dan mati jua boleh bersama
adam dan hawa
insan permula
baik dan buruk sama di rasa
tidak berlaga berlain bangsa
disanjung adam oleh teruna
di Kasih hawa daranya ada
hanya berbeza bentuk dan nama
namun nafsu satu-satu ada dijiwa
bila nafsu berapi adam
terlihat hawa makanan malam
dipujuk rayu berahi dendam
berlagu bersama irama telanjang.
adam "aku yang gagah menumbuk dada"
hawa "aku yang cantik segala rupa"
tidak mengalah pada sesiapa
hingga terlupa sang pencipta
betina bila terpesona
semua jantan diguna-guna
setiap emas "aku yang punya"
jangan hidup miskin hina
betina jadi lah ibu
supaya anak dapat menyusu
hak dan benar suapkan selalu
supaya bangsa teguh bersatu
jantan jelmakanlah bapa
moga keringat mengubat papa
membesarlah anak dalam bahagia
mengenal dia akan maha esa
jantan betina
saling bernyawa
berlebih jantan berlebih betina
ia membawa erti sempurna
sebagai pelengkap hidup kedunia
gagah jantan dek betina
moleh betina sentuhan jantan
usah gah dalam menghina
sedangkan lupa hiburan syaitan
UlatBulu
Pinang kesumba jangan direpih,
Curah tampuk selundang mayang;
Orang teruna mudah berkasih,
Kerana kasih menjemput sayang.
Janganlah diurut batang padi,
Pecah batang kena tangan;
Si dara jangan turutkan hati,
Kelak binasa berpanjang-panjangan.
Marilah mengail si ikan Baung,
Umpankan cacing mudah dan laris;
Org muda kalau bcakap melaung-laung,
Bila dicuit melatah tak habis.
Jauh ku pandang dia tersenyum,
Dekat ku rasa bagai nak hambat;
Gadis sekarang silalah maklum,
Tebalkan poket, pastinya mendapat.
Melastik burung bertalu-talu,
Habis peluru kenanya tidak;
Putera Melayu berjanji selalu,
Tapi sayang terkadangnya haprak.
Si cantik-jelita mengidam Ros,
Kantan di dapur terbiar layu;
Puteri bangsaku berbaju nipis,
Hilangnya adat, terbuanglah Melayu.
Berkereta mewah dari Itali,
Rolex di tangan diulang pandang;
'Lelaki'nya dia bagai pembela ahli,
Rupa-rupanya hanyalah pandai mengira wang.
Ampaian dipasang tempat jemuran,
Marilah adik menyidai baju;
Perempuan memadai mencari kawan,
Yang kuatnya mengumpat selalu dituju.
Orang Melayu membuat empin,
Parutan kelapa menjadi adunan;
Bercita besar menjadi pemimpin,
Sedangkan menurut perintah perempuan.
Orang memberi kita membalas,
Itulah budaya yang jadi pusaka;
Srikandi Melayu berkicau bebas,
Mengherdik budi, menghalau bahasa.
Post a Comment