Tuesday, February 01, 2011

kepada penguasa zalim

hei kamu, penguasa zalim
kamu, pencinta kegelapan
kamu, seteru kehidupan
kamu mempersenda luka manusia tulus
merah tangan kamu dengan darah mereka
kamu berjalan menginjak indah kewujudan
juga benih kesedihan yang cambah
di tanah mereka

tunggu, jangan benarkan kembang bunga
jangan biarkan jernih langit
jangan izinkan cerah pagi memperdaya kamu
kerana kegelapan, deram guruh dan hembus angin
kini bergerak bergulung menerpa kamu dari kaki langit
awas, ada api di balik puing

siapa menyemai duri akan menuai luka
kamu merentap leher manusia dan bunga harapan
kamu meracun tenang pasir dengan darah
kamu membongkar aman bumi dengan air mata
lalu ia menjadi sinting mabuk
sungai darah akan mengheret kamu pergi
ribut menyambar akan membakar kamu hilang.

------------------------
Penyair Tunisia, Abo al-Qassim al-Shabbi (1909-1934): terjemahan pokok-hujan.