Friday, May 28, 2010

adat hidup berkaum bangsa


adat hidup berkaum bangsa
tenggang-menenggang rasa merasa
berbaik tidak memilih bangsa
bersaudara tidak memilih rupa
berkawan tidak memilih harta
bersahabat tidak memilih kuasa

segelanggang sama terbilang
seguru seaib malu
sekampung sehalaman
sebaju sepakaian
senasib sepenanggungan
sebeban sepikulan
semangkok sepiring makan
selapik seketiduran

adat hidup bermasyarakat
berbaik-baik jauh dan dekat
sebarang runding dengan muafakat
sebarang kerja dengan sepakat
di situlah tempat tegaknya adat
di situlah tempat berdiri syariat
di situlah jalan dunia akhirat
bila diikut umat selamat

adat hidup dalam bergaul
lahir batin sama setukul
di situlah doa akan terkabul
di situlah kebenaran akan timbul.

Thursday, May 27, 2010

get it...


"...get busy living or get busy dying."

----------------------
Red of The Shawshank Redemption.

Wednesday, May 26, 2010

sangka-sangkaan (2)

apa tanda melayu beradat
bersangka baik menjadi sifat

apa tanda melayu beriman
bersangka baik jadi pegangan

apa tanda melayu berbudi
baik sangka melekat di hati

apa tanda melayu berilmu
berbaik sangka tak pilih bulu

wahai anakanda intan terpilih
bersangka baik jangan memilih
jauhkan segala silang selisih
hiduplah engkau kasih-mengasih

wahai anakanda permata urai
bersangka baik hendaklah pakai
supaya kusut cepat selesai
silang sengketa menjadi damai

orang daik memasang pukat
dapat yu berekor pendek
orang baik memegang adat
adat melayu bersangka baik

orang bintan memetik nangka
rasanya manis sedap dimakan
orang beriman berbaik sangka
mukanya manis lakunya sopan.

Tuesday, May 25, 2010

trivia: akulah oliphaunt itu

kelabu macam tikus
besar macam rumah
hidung macam ular
bikin bumi bergegar
bila redah hutan
pokok patah aku lalu
tanduk dalam mulut
jelajah selatan negeri
kibas telinga besar
umur panjang menahun
aku pusing keliling
tak pernah aku baring
walau untuk mati
akulah oliphaunt
aku paling besar
gadang, tua dan tinggi
jika tuan terjumpaku
jangan tuan lupa
jika kita tidak bertemu
tuan fikir aku tipu
akulah oliphaunt itu
aku bukan hantu.

Monday, May 24, 2010

kalam dan pedang

segala pekerjaan pedang itu boleh dibuat dengan kalam
adapun pekerjaan kalam itu tidak boleh dibuat dengan pedang
dan beberapa ribu dan laksa pedang yang sudah terhunus
dengan segores kalam jadi tersarung...

--------------------------------
Raja Ali Haji, Mukaddimah kepada kitab Bustan Al-Katibin.

Friday, May 21, 2010

sangka-sangkaan (1)


siapa suka bersangka buruk
lambat laun kepalanya pesuk

siapa suka bersangka buruk
budinya jahat hatinya busuk

siapa suka bersangka buruk
ke dalam majlis tidakkan masuk

siapa suka bersangka buruk
ke tengah ke tepi orang mengutuk

siapa suka bersangka buruk
orang melaknat hidup pun teruk

siapa suka bersangka buruk
dunia akhirat badan terperuk

siapa suka bersangka jahat
sahabat menjauh saudara tak dekat

siapa suka bersangka jahat
langkah terhalang rezeki terhambat

siapa suka bersangka jahat
tua sengsara mati pun sesat

siapa suka bersangka jahat
akal tak betul hati berkarat

siapa suka bersangka jahat
ke laut merana ke darat melarat

siapa suka bersangka jahat
hinalah hidup dunia akhirat.

yang dikatakan pemimpin (1)

yang dikatakan pemimpin
elok lahir sempurna batin
eloknya boleh ditengok
sempurnanya boleh dirasa

elok duduk dengan tegaknya
elok tingkah dengan lakunya
elok budi dengan bahasanya
elok tegur dengan sapanya
elok tutur dengan katanya
elok langkah dengan lenggangnya

sempurna iman dengan takwanya
sempurna akal dengan fikirnya
sempurna ilmu dengan amalnya
sempurna hati dengan pekertinya

yang dikatakan pemimpin
berkata lurus bercakap benar
lurusnya tahan dibidik
benarnya menahan asak

lurus hati lurus akalnya
lurus niat lurus buatnya
lurus lidah lurus tingkahnya
lurus lahir lurus batinnya

benar di mulut benar di hati
benar menurut syarak dan sunnah
benar tegak menurut adat
benar berjalan menurut hukumnya
benar tidak alih beralih.

Wednesday, May 19, 2010

peri pujangga


gil-galad nama si raja bunian
kisahnya hiba pujangga perikan:
kerajaannya akhir adil dan bebas
antara gunung ke laut lepas

pedangnya panjang, lembingnya garang
kilatnya ketopong jauh terpandang
bintang-bintang di langit berpadang
di perisai perak terpancar terang

lama berselang dia menghilang
di mana singgahnya tiada yang bilang
ke dalam gelap tenggelamnya bintang
di mordor tempat bebayang bersarang.

Tuesday, May 18, 2010

the harpers song


gil-galad was an elven-king
of him the harpers sadly sing:
the last whose realm was fair and free
between the mountains and the sea

his sword was long, his lance was keen
his shining helm afar was seen
the countless stars of heaven's field
were mirrored in his silver shield

but long ago he rode away
and where he dwelleth none can say
for into darkness fell his star
in mordor where the shadows are.

insomnia


bila bersama, kita berjaga menunjang malam.
bila tuan tiada, saya tidak boleh tidur.

alhamdulillah atas kedua-dua insomnia ini,
dan juga perbezaan antara keduanya.

----------------------
The Essential Rumi, terjemahan oleh Coleman Barks dan John Moyne, 1995.

Monday, May 17, 2010

pakai olehmu sifat berani


wahai anakanda kekasih hati
pakai olehmu sifat berani
bulatkan tekad teguhkan hati
di jalan allah tempatmu mati

wahai anakanda intan dikarang
sifat berani hendaklah pegang
pantang jantan berbalik belakang
bercawat ekor dalam gelanggang

wahai anakanda buah hati bonda
sifat berani hendaklah jaga
membela hak milik sehabis daya
kalaupun mati tidak mengapa

wahai anakanda cahaya mata
beranikan hati melawan pendusta
kuatkan iman melawan penderhaka
supaya hidupmu tidak sia-sia

wahai anakanda sibiran tulang*
janganlah lari dari gelanggang
daripada malu eloklah hilang
matipun tidak dihina orang

wahai anakanda dengarlah madah
adat lelaki pantang menyerah
asal kerjamu tidak menyalah
hidup matimu di tangan allah

wahai anakanda dengarlah amanat
gagah berani jadikan sifat
pada yang benar engkau menepat
pada yang halal engkau bertempat

wahai anakanda tegakkan kepala
orang teraniaya wajib kau bela
melawan batil jangan kau jera
musuh datang jangan kau kira

wahai anakanda kuatkan tekad
lawan olehmu kerja maksiat
tegakkan syarak dirikan adat
kalaupun mati membawa manfaat

wahai anakanda ibu berperi
di dalam hidup harus berani
musuh jangan dicari-cari
bila datang engkau hadapi

wahai anakanda ingatlah allah
takutlah engkau berbuat salah
beranikan hati kerana lillah
hidup-matimu beroleh berkah.

--------------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

*sibirin tulang - anak, kekasih, buah hati, jantung hati.

Nota foto: Banjaran Titiwangsa

tanah dan jual-beli


"akal warasku memberitahu bahawa tanah tidak boleh dijual beli. tuhan semesta mengurniakan tanah kepada makhluknya untuk tinggal dan bercucuk-tanam setakat yang perlu untuk kelangsungan hidup mereka.

selagi mereka tinggal di situ dan bercucuk tanam, maka mereka berhak ke atasnya, tetapi jika mereka secara rela meninggalkannya, maka orang lain berhak pula untuk tinggal di situ. tiada yang boleh dijual-beli, melainkan benda-benda yang boleh dibawa pindah".

-------------------------------
#Mahkate:wi-meŇ°i-ke:hke:hkwa (bahasa sauk; helang hitam besar atau black hawk), ketua perang puak sauk amerika, 1767-1838.

Friday, May 14, 2010

siapa itu?

Seorang lelaki mendekati pintu Kekasih lalu mengetuknya. Satu suara bertanya, "Siapa itu?" Dia menjawab, "Ini Saya".

Suara itu membalas, "Tiada ruang untuk Saya dan Tuan". Pintu tertutup rapat.

Selepas setahun sendirian dan sengsara, dia kembali lalu mengetuk pintu itu sekali lagi. Suara dari dalam bertanya, "Siapa itu? Dia menjawab, "Ini Tuan". Pintu dibuka untuknya.

-----------------------
#Jelaluddin Rumi

akulah kasih

betapa dekat
jiwamu dengan jiwaku
aku pasti sungguh
setiap fikirmu
mengalir dalam mindaku

aku bersamamu
kini dan esok
bukan seperti si tuan rumah
yang melayanmu
sendirian di temasya

bersamamu aku gembira
setiap ketika
waktu aku mempasrah diri
atau waktu
kau memberiku cintamu

mempasrah diri
adalah urusniaga laba
setiap kali aku memberi
kau membalasnya
seratus ganda

di rumah ini
ada seribu
jiwa yang mati dan kaku
supaya kau kekal di dalamnya
kerana ia menjadi milikmu

segumpal tanah
menjerit riuh
aku pernah menjadi rambut, atau
aku pernah menjadi tulang

dan pada ketika
kau jadi terlalu keliru
tertempik suara
pelukku rapat
akulah kasih dan
aku milikmu pasti.

-------------------------
Rumi, Ghazal 1515, terjemahan Nader Khalili.

dalam cahayamu...

dalam cahayamu aku belajar berkasih
dalam jelitamu bagaimana menganyam puisi
kau menari dalam dadaku
tiada siapa yang melihatmu
tapi kadang-kadang aku ternampak
dan pandangan itu menjadi karya ini.

------------------------
The Essential Rumi by Coleman Banks with John Moyne, 1995.

Wednesday, May 12, 2010

bila hidup tidak muafakat

bila hidup tidak muafakat
banyaklah tumbuh dendam kesumat
seteru banyak musuhpun dekat
sama saudara umpat mengumpat
di sanalah tempat cambahnya laknat.

bila hidup tidak muafakat
banyaklah runding tidak terdedat
banyaklah orang hidup tersesat
kerja yang baik menjadi jahat
di dalam air perahu tersekat.

bila hidup tidak muafakat
fikiran panjang menjadi singkat
suburlah tumbuh dengki dan khianat
banyaklah orang terlanggar adat.

bila hidup tidak muafakat
hutang dan beban tidak terangkat
kerja bertahun mendapat penat
menjauh rahmat dan juga berkat.

------------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

apa tanda orang bersaudara (1)

apa tanda orang bersaudara
yang sedikit sama dirasa
hati gajah sama dilapah
hati kuman sama dicecah
yang sekutu sama dibagi
yang setitik sama diculik
yang secebis sama dikutis
yang secupak sama nampak
yang sepompat sama dapat
yang segantung sama kenyang
yang sepiring sama ditating
yang sebakul sama dipikul
yang sesuap sama dikecap.

apa tanda orang bersaudara
genting tidak memutuskan
sumbing tidak meluakkan
kering tidak menimpaskan
hilang tidak membinasakan
rugi tidak mematikan
laba tidak membutakan
sedap tidak menggelapkan
pahit tidak memeritkan
kasih tidak mencelakakan
sayang tidak mencederakan.

------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

apa tanda melayu (4)

apa tanda melayu jati
di kaki sendiri dia berdiri

apa tanda melayu jati
hidup menumpang dia tak sudi

apa tanda melayu terbilang
pantang menyelit di ketiak orang

apa tanda melayu terbilang
berani tegak dalam gelanggang

apa tanda melayu bertuah
tegaknya tidak harap dipapah

apa tanda melayu bertuah
duduk berdiri hatinya tabah

apa tanda melayu bermaruah
tegaknya kukuh sikapnya gagah

apa tanda melayu bermaruah
seorang diri ke tepi ke tengah

apa tanda melayu beradat
besarnya bukan kerana diangkat

apa tanda melayu beradat
percaya diri menjadi sifat

apa tanda melayu beriman
diri sendiri jadi sandaran

apa tanda melayu beriman
dengan kakinya dia berjalan

apa tanda melayu berakal
duduk berdiri hatinya pukal

apa tanda melayu berakal
percaya diri menjadi bekal

apa tanda melayu berilmu
menumpang orang dia malu

apa tanda melayu berilmu
kemampuan diri dia tahu.

---------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

Monday, May 10, 2010

ada lilin di hati tuan

ada lilin di hati tuan,
sedia untuk dinyalakan.
ada lompong di jiwa tuan
sedia untuk diisi.
tuan rasainya, bukan?
tuan rasai perpisahan
daripada kekasih?
jemput dia ke dalam tuan,
nyalakan api itu.
ingatkan semua yang berkata sebaliknya, bahawa
kasih
datang kepada tuan dengan sendiri,
dan rindu akannya
tidak dapat dipelajari di mana-mana madrasah pun.

----------------------------
Hush, don’t say anything to God: Passionate poems of Rumi, terjemahan Sharam Shiva.

...jangan sesekali patah hati

kawan
jangan sesekali patah hati
jika si kekasih
menyuruh tuan pergi

jika tuan ditinggalkan
jika tuan dibiarkan
esok pasti
tuan akan dipanggil semula

jika pintu ditutup
di muka tuan
teruslah sabar menunggu
jangan segera pergi.

melihat sabar tuan
kekasih tuan akan segera
datang memanggil dengan mesra
menatang tuan seperti pahlawan.

dan jika semua jalan
berakhir dengan kebuntuan
tuan akan ditunjukkan lorong rahsia
tiada siapa yang akan tahu.

si kekasih yang kukenali
tidak teragak-agak memberi
kepada sang semut yang kerdil
kerajaan sulaiman.

hatiku telah kembara
berkali-kali serata dunia
tetapi tidak pernah kutemui
atau akan kutemui
kekasih sedemikian sekali lagi.

ah biarkanku berdiam diri
kutahu kasih tak bertepi ini
akan tiba jua
untuk tuan dan tuan dan tuan.

-----------------------
Rumi, terjemahan Nader Khalili.

Friday, May 07, 2010

apa tanda melayu (3)

apalah tanda melayu jati
tahu asal kejadian diri
tahu hidup akan mati
tahu akhirat tempat berhenti
tahu hamba akan tuhannya
tahu makhluk akan khaliknya
tahu syahadah pangkal ibadat
tahu iman jadi pegangan
tahu islam penyelamat alam
tahu kaji sempurna budi.

apalah tanda melayu bertuah
imannya tiada menyeman
ibadahnya tiada menyalah
ilmunya tiada keliru
sifatnya tiada menyesat.

apalah tanda melayu bermaruah
kerjanya banyak membawa faedah
elok di tepi, elok di tengah
menyebut allah lidahnya basah.

apalah tanda melayu bijak
imannya teguh tiada berkocak
berbuat baik tiada mengelak
di atas benar ianya tegak.

apalah tanda melayu handal
ia berilmu dalam beramal
terhadap dirinya ianya kenal
pada kebajikan ianya kekal.

---------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

apa tanda melayu (2)

apa tanda melayu benar
terhadap islam ia tak ingkar

apa tanda melayu benar
kepada islam ia bersandar

apa tanda melayu benar
membela islam tahan dibakar

apa tanda melayu benar
ajaran islam ia mengakar

apa tanda melayu terhormat
kepada allah ianya taat

apa tanda melayu terhormat
kepada syarak ia menepat

apa tanda melayu terhormat
membela islam tahan dipepat

apa tanda melayu senonoh
memeluk islam ianya sungguh

apa tanda melayu senonoh
mengerjakan ibadah tiada bertangguh

apa tanda melayu senonoh
membela islam tahan dibunuh

apa tanda orang melayu
kepada islam ia bertumpu

apa tanda orang melayu
dengan islam ia menyatu

apa tanda orang melayu
islam menjadi kain dan baju

apa tanda orang melayu
islam semata di dalam kalbu.

----------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

Wednesday, May 05, 2010

pak andak manaf kembali...

saya menerima panggilan telefon daripada kak ti atau puan fakriyatie lotfie pada jam 11.29 pagi tadi memberitahu bahawa bapa mertuanya, hj abd manaf arif@ismail atau lebih dikenali sebagai pak andak manaf, telah kembali ke rahmatullah beberapa minit sebelum itu di rumahnya di kampung buntut pulau, temerloh.

pak andak manaf adalah bapa kepada kawan-kawan sekolah saya, iaitu hj amir roslan, arwah amirul azam dan abu bakar. saya mempunyai sejarah persahabatan yang panjang dengan ketiga-tiga adik beradik ini, terutama amir roslan (suami kak ti) dan arwah amirul azam.

semasa hayatnya, pak andak bertugas sebagai pemandu di klinik kesihatan temerloh sehingga pencen. namun beliau bukan sebarangan pemandu. beliau juga merupakan aktivis masyarakat dan kesatuan sekerja yang komited dan bersuara lantang.

sikap dan fikrah itu berkekalan sehinggalah beliau pencen dan dilantik sebagai imam masjid kampungnya itu. malah ia kekal hingga ke hujung hayat beliau.

pak andak pernah mencetuskan 'kecoh besar' sedikit masa lalu di daerah temerloh apabila beliau tidak membaca khutbah maupun doa yang disediakan oleh jabatan agama islam pahang ketika menjadi khatib di situ, tetapi sebaliknya membaca siri khutbah dari masjid rusila.

pak andak merupakan pengagum soekarno dan para pemimpin berani lain yang pernah mencabar kebobrokan dunia masing-masing demi kebaikan dan keadilan masyarakat mereka.

ini tidaklah memeranjatkan kerana ketika pasukan tentera semut, angkatan pemuda insaf, berlatih berkawad di padang kampungnya - yang berkebetulan terletak betul-betul di hadapan rumah beliau - di bawah pimpinan ishak hj muhammad dan ibrahim hj yaakob, pak andak sudah remaja belia.

beliau disahkan mengidap barah paru-paru pada 30 disember tahun lepas dan hari ini pak andak telah kembali menemui tuhannya sewaktu berusia 78 tahun dengan aman dan reda.

kali terakhir saya bertemu beliau ialah ketika saya datang menziarahinya di rumah beliau sedikit masa lalu. saya berkesempatan berborak dan melayannya makan dan minum. beliau mengadu tidak selera makan. saya cuba menggiatnya supaya makan, walaupun sedikit.

pak andak adalah 'orang masyarakat'. dia biasa bersama-sama orang banyak. justeru, terlantar di katil sakit dan 'keseorangan' begitu, bukanlah idea atau keadaan yang serasi dengannya, fikir saya ketika itu.

beliau bercerita bahawa ketika di hospital, selera makannya ada dan setiap hari para misi akan datang bertanyakan menu makan yang diingininya. saya sempat berseloroh dengan isteri beliau, mak andak, supaya melakukan perkara yang sama, iaitu bertanyakan menu makan yang beliau ingini setiap hari sebegitu.

sewaktu beliau masih boleh bergerak bebas dan memandu, saya berkesempatan minum bersama-samanya di restoran al-jalal, jalan bahagia. beliau sentiasa bersemangat dan lantang bercakap tentang masyarakat, politik dan negara seperti selalu. itu kali terakhir saya minum dengannya.

beliau disemadikan selepas solat asar di tanah perkuburan kampung buntut pulau yang terletak menghadap padang kawad api itu bersama-sama ramai anak tempatan lain yang pernah mencabar dunia dengan cara masing-masing.

di situ jugalah disemadikan arwah tarmizi mat zain@mizi dengkot dan kang dua beradik, iaitu firdaus@tasan dan aizat@segar. mereka juga pernah mencabar dunia dengan cara mereka sendiri.

duduk tepi perigi
ingat jangan leka
hidup biar berani
tanda kita jaga.


duduk tepi perigi
ingat jangan alpa
ambil suluh hati
terangi kampung kita.


duduk tepi perigi
ingat jangan lupa
hidup berani berbakti
tidak mati saja.


selamat jalan pak andak dan anak-anak dunia yang berani. sehingga berjumpa lagi.

-----------------------------
Nota foto: padang kampung buntut pulau. tanah perkuburan terletak di sebelah kiri, sementara rumah arwah di sebelah kanan, di belakang barisan pokok kelapa.

Tuesday, May 04, 2010

kickdefella: siapa tendang siapa?

saya mengikuti isu pendedahan penulis kickdefella tentang peranannya sebagai propagandis kerajaan kelantan sedikit masa dulu. berikut adalah komen dan respons saya terhadap beliau:

--------------------------------

setelah membaca isu rm4 juta yang 'didedahkan' oleh tuan, beberapa persoalan timbul di kepala:

a. sekiranya perbuatan itu salah, apa pula alasan tuan ketika menerima tugasan itu pada awalnya? apakah tuan dipaksa berbuat demikian atau apakah tuan ditipu atau diperdaya untuk mempercayai bahawa ia tidak salah?

b. apakah tuan secara peribadi percaya bahawa bekas pm, tun abdullah, bukan merupakan pemimpin yang lemah lalu perlu digantikan, tetapi telah berbohong tentang beliau kerana wang? jika begitu, bukankah tuan merupakan penulis upahan yang sama tarafnya dengan sundal, malah lebih buruk daripada itu kerana tuan berkhianat pula terhadap 'pelanggan' tuan setelah tuan ambil wangnya sedangkan sundal tidak?

c. ekoran daripada (b), tidakkah ini juga bermakna saya berhak bertanya siapa pula yang mengupah tuan sekarang untuk mendedahkan 'dosa' pelanggan tuan yang lepas dan berapa banyak pula tuan dibayar untuk khidmat itu?

d. apakah bezanya peranan tuan di kelantan itu dengan peranan apco atau utusan malaysia atau apa-apa jua agensi 'propaganda' yang dibayar untuk menaikkan imej 'majikan' mereka dan menjatuhkan imej musuh-musuhnya?

e. apakah sebenarnya 'pembohongan' yang telah tuan lakukan tentang tun abdullah? bukankah semua 'pembohongan' itu adalah hasil idea dan 'penyelidikan' tuan sendiri? apakah majikan tuan campur tangan dalam pembikinan 'pembohongan' itu? jika ya, 'pembohongan' yang mana? jika tidak, bukankah ia bermakna, tuanlah yang berbohong, bukan majikan tuan ketika itu? justeru, tuanlah yang bertanggungjawab sepenuhnya ke atasnya. malah, tuan juga sebenarnya telah berbohong terhadap bekas majikan tuan itu sendiri dengan memberi hasil kerja palsu walaupun setelah tuan mengambil wang dan gaji daripadanya?

f. bukankah 'pendedahan' yang tuan lakukan sekarang sebenarnya bertujuan untuk membiaskan tumpuan dan mengurangkan kesan buruk terhadap kerajaan pusat dan imej najib razak ekoran pendedahan pembangkang tentang peranan apco dan elemen zionis israel dalam pentadbiran beliau lalu tuan dibayar untuk berbuat demikian? tun abdullah hanyalah bom asap dan anak kambing korban yang dipergunakan untuk mencapai tujuan itu. seperti dahulu ketika tuan 'berbohong' untuk kerajaan kelantan, tun abdullah bukanlah pemimpin yang muluk dan hebat di mata tuan, tetapi beliau berguna sebagai sandaran kini untuk mencapai matlamat semasa tuan.

g. siapa sebenarnya yang berbohong kepada siapa? bagi saya, tuanlah yang berbohong. tuan berbohong kepada semua orang dan pihak, baik kerajaan kelantan dulu, maupun majikan tuan sekarang. tuan berbohong kepada rakyat semuanya, juga pembaca. tuan pembohong. tuan tukang wayang.

h. bukankah nama blog tuan, kickdefella, itu sebenarnya telah wujud lama sebelum tuan bekerja dengan kerajaan kelantan dan ia sememangnya menggambarkan sikap dan tujuan sebenarnya tuan tentang diri dan kepimpinan tun abdullah. tuan mahu beliau 'ditendang keluar'. sikap itu wujud jauh lebih awal dan tidak ada kena mengena dengan 'pengaruh' tugasan rasmi tuan di kelantan, malah tuan diambil bekerja oleh kerajaan negeri itu juga adalah disebabkan oleh sikap itu sendiri. jadi tuanlah yang sebenarnya menggunakan kerajaan kelantan untuk membiayai kerja-kerja propaganda anti-abdullah tuan, bukan sebaliknya, dan setelah matlamat tuan itu tercapai, maka tuan merekayasa cerita-cerita buruk tentang kelantan dan lain-lain bagi menutup jejak beracun tuan itu, bukan begitu?

i. ekoran semua di atas, bersetujukah tuan jika saya simpulkan bahawa tuan bukanlah seorang yang berintegriti dan boleh dipercayai baik secara peribadi maupun profesional? tuan akan mengkhianati sesiapa jua atas kepentingan peribadi tuan. tuan samalah dengan pencacai puak-puak yang tewas pada zaman dahulu lalu bertindak membunuh ketua puak sendiri dan menyerahkan kepalanya kepada puak yang menang sebagai tanda 'kesetiaan' mereka kepadanya seperti yang pernah berlaku kepada genghiz khan ketika dia menang. tuan tahu apakah yang dilakukan oleh genghiz kepada orang-orang seperti tuan dan kenapa? dia memenggal kepala pencacai sebegitu ketika itu juga lalu berkata, "jika mereka bersedia mengkhianati puak sendiri, maka mereka juga akan mengkhianati aku bila tiba waktunya".

j. sekiranya tuan benar-benar berprinsip dan anti-rasuah, dan wang pembiayaan rm4 juta bagi kerja-kerja tuan di kelantan itu tidak telus atau diragui sumbernya, maka bukankah tuan seharusnya menolak dan mendedahkan tentangnya pada hari pertama tuan menerima pembiayaan tersebut, bukannya setelah semuanya usai dan tuan pula mendapat faedah terbanyak daripadanya? jika ini bukan puncak kepura-puraan, maka apakah ia?

k. pada aras yang lebih peribadi, tuan benar-benar memalukan keturunan syed. speak the truth and peace or hold your tongue. they lick no boots, and surely not for money.

----------------------------
Nota: bagi saya, inilah kes kalah sebarau kerana kilat dan ia adalah sesuatu yang menjadi fenomena kepada pas khususnya dan pembangkang amnya, terutama sekarang. ia juga tidak terkecuali pada mana-mana pihak yang selalu kalah, tetapi tiba-tiba menang, jika ia tidak berhati-hati.

barangkali kisah keutamaan golongan muhajirin dan ahli badar ke atas orang-orang selepas mereka dalam falsafah hierarki rasul SAW harus menjadi iktibar kepada semua pihak yang mempunyai hati dan mahu berfikir.

apa tanda melayu (1)

apa tanda melayu jati
bersama islam hidup dan mati

apa tanda melayu jati
islam melekat di dalam hati

apa tanda melayu jati
dengan islam ia bersebati

apa tanda melayu bertuah
sebarang laku menurut sunnah

apa tanda melayu bertuah
hidup takwa kepada allah

apa tanda melayu bertuah
hidup mati bersama akidah

apa tanda melayu berakal
memeluk islam ia kekal

apa tanda melayu berakal
di dalam islam ia beramal

apa tanda melayu berakal
membela islam tahan dipenggal

apa tanda melayu pilihan
hidup mati dalam beriman

apa tanda melayu pilihan
taat setia menyembah tuhan

apa tanda melayu pilihan
di dalam islam tiada menyeman

apa tanda melayu bijak
memeluk islam tiada berganjak

apa tanda melayu bijak
membela islam tahan dipijak

apa tanda melayu bijak
di dalam islam beranak pinak

apa tanda melayu beradat
kepada allah dia beringat

apa tanda melayu beradat
mengingat allah tiada bertempat

apa tanda melayu beradat
terhadap islam hatinya lekat.

-----------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

Monday, May 03, 2010

pdrm oh pdrm...


saya terdengar kenyataan ketua polis negara, tan sri musa hassan, berhubung isu kematian amirnurrasyid dalam berita utama tv3 sebentar tadi. gaya cakapnya begitu personal dan sarcastic sekali. antara lain, katanya, "hari ini ada pegawai polis yang dilanggar oleh anak orang yang baik-baiklah kan. cakap anak orang jahat nanti orang marah pulak..." raut wajahnya juga begitu combative sekali.

secara jujur dan sebagai orang awam, saya tidak selesa mendengar seorang ketua polis bercakap sedemikian. pengalaman peribadi saya dengan anggota polis juga tidak menggembirakan. saya tertanya-tanya, apakah pasukan polis sudah menjadi begitu kacau-bilau sekali sehingga ketuanya bersikap dan bercakap sedemikian?

tanpa menafikan kemuliaan tugas dan fungsi pasukan itu, angka purata kematian 'tak sengaja' orang awam sebanyak 40 kematian setahun amat menakutkan dan bukan pula perkara main-main.

terbayang saya, seolah-olah pdrm telah menjadi seperti murder incorporated lucky luciano daripada lima keluarga mafia new york pada tahun-tahun 1920-30 dulu. malah, lucky luciano pun tidak begitu produktif seperti pdrm sekarang!

saya percaya, kerajaan wajib berbuat sesuatu secara telus dan berani bagi mengembalikan pdrm kepada landasan, sikap, falsafah, pemikiran dan peranannya yang mulia itu - iaitu sebagai pihak yang bertanggungjawab terhadap keamanan dan keselamatan rakyat sepenuhnya. sebagai pihak yang dihormati dan dipercayai hatta oleh orang yang paling daif di kalangan rakyat sekalipun.

saya tidak mahu menuding jari membuat tuduhan atau andaian mengapa pdrm menjadi sebegini, walaupun saya mempunyai jangkaan sendiri tentangnya. janganlah kerajaan membiarkan keadaan ini berterusan lagi.

janganlah menunggu sehingga ada anak menteri atau raja yang mati katak seperti amirnurrasyid dan lain-lain sebelum itu baru hendak bertindak!

--------------------------
Nota: gambar hiasan.

Sunday, May 02, 2010

...selamat jalan kawan


Pagi Sabtu tadi, saya menziarahi rumah mendiang seorang kawan lama, Sivanesan, yang berkebetulan tinggal berjiran dengan saya sekarang, yang meninggal dunia malam Jumaat lepas kerana serangan jantung sewaktu sedang bercuti di Semporna, Sabah, bersama-sama isteri dan kawan-kawan beliau.

Percutian itu dirancang selepas beliau pulih daripada pembedahan pintasan jantung yang dijalaninya akhir tahun lepas.

Saya mengenali mendiang sejak sekian lama, iaitu ketika kami masih bersekolah rendah lagi. Kami ke sekolah yang sama, malah tinggal di kejiranan yang sama. Dia lebih tua setahun daripada saya.

Beliau, semasa hayatnya adalah seorang peguam yang berpejabat di Mentakab. Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki yang masih belajar. Anak sulungnya sedang menghabiskan pengajian undang-undang di London dan semasa di sekolah menengah merupakan rakan sekelas anak saya yang keempat.

Saya lebih mengingati mesra Siva sebagai kawan sepermainan ketika kanak-kanak itu. Oleh sebab kami tinggal berjiran di flet empat tingkat di belakang Hotel Swiss, Temerloh, saya kerap ke rumahnya untuk bermain karom bersama-sama beliau, Zulkifli Abu, Lim Kok Choon dan Heng Zoo Gai, kerana hanya di rumahnya ada papan karom. Saya paling muda antara kami berlima. Kami semua berjiran.

Kami juga bermain bolasepak, pakau, guli, gasing dan gambar serta berlaga ikan dan spider bersama-sama sebagaimana kanak-kanak sebaya kami pada zaman itu. Kok Choon pakar menangkap spider dan bermain guli serta gasing.

Ketika cuti sekolah, kami sering keluar bersama-sama mencari spider di hutan kecil berdekatan kilang roti berhampiran kawasan kejiranan kami. Kononnya, spider yang paling kuat ialah yang bermuka putih, ditemui dalam daun pandan dan diberi makan lalat!

Saya masih ingat, papan karom itu buatan India dan Siva selalu bercerita tentang baiknya mutu papan tersebut. Oleh kerana kerap ke rumahnya, saya mengenali mendiang bapanya sebagai uncle, emak beliau, yang berumur 80 tahun sekarang, sebagai ama.

Siva mempunyai dua abang dan dua kakak, yang saya kenali sebagai anei dan baba, serta aka dan baby, sementara adik lelaki bongsunya sebagai apen.

Melainkan adik bongsunya, Sivanathan, saya tidak tahu nama sebenar adik beradiknya yang lain. Saya hanya memanggil masing-masing dengan nama panggilan keluarga mereka.

Dalam permainan karom, pakau dan gambar, kami ada undang-undang jentik jari atau telinga bagi yang kalah dan di sinilah keseronokannya. Mendiang Siva dan Lim Kok Choon adalah ‘musuh ketat’ dalam hal jentik-menjentik ini.

Pernah satu ketika, Siva terjentik lubang telinga Kok Choon sehingga berdarah (sedikit) lalu mencetuskan perbalahan dan tuduh-menuduh antara satu sama lain. Kejadian ini akhirnya menyebabkan semua pihak yang kalah mencipta strategi melindungi telinga masing-masing dengan menekapnya untuk hanya menampakkan cupingnya sahaja sebelum dijentik oleh pihak yang menang.

Siva mempunyai tekniknya sendiri ketika menjentik telinga orang lain. Beliau akan mengusap, membelai dan memuji-muji ‘kecantikan’ telinga tersebut seumpama satu jampi serapah dan dengan mengetap bibirnya dan berlagak geram, beliau akan secara tiba-tiba zapppp telinga mangsa. Jentikan beliau memang kuat. Biasanya pemenang mendapat tiga jentikan.

Telinga Kok Choon memang menjadi sasaran Siva. Sebagai kawan berketurunan Cina, satu jentikan sudah cukup untuk menjadikan telinganya ‘merah menyala’ dan itulah yang menjadi keseronokan Siva.

Malang bagi Kok Choon, Siva berkulit gelap, jadi merahnya tidak nampak apabila tiba peluang telinganya pula menjadi sasaran, lalu beliau tidak mendapat keseronokan mengejek ‘kemerahan’ telinga Siva.

Menjentik jari pula ada teknik yang lain pula. Sebaik sahaja jari mangsa dijentik, si pemenang akan menekankan sedikit tempat yang dijentik bagi 'menguatkan' lagi kesannya. Tidaklah luar biasa selepas 10-15 kali jentikan, akan ada yang pulang ke rumah dengan jari-jari yang bengkak dan lebam! Jari hantu dan kelingking adalah jari-jari sasaran yang paling digemari pemenang.

Kami bermain bolasepak di lapangan bersebelahan dengan rumah bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mat Seh dan juga Hotel Swiss pada sebelah petang selepas sekolah. Ia terletak betul-betul di tepi jalan besar. Hotel Swiss ketika itu menempatkan sebuah bar dan juga menyediakan khidmat pelacuran.

Kadang-kadang ketika kami bermain, akan ada beberapa bargirl yang duduk-duduk di sisi hotel di seberang jalan menghadap sisi padang kami. Kami lebih ghairah bermain kerana itu.

Atas giatan dan sorokan kami, ada juga wanita-wanita ‘pelayan’ itu yang sporting dan secara mengejek, membuka-buka paha mereka, yang lazimnya berskirt pendek itu, untuk menampakkan seluar dalam masing-masing. Lalu kami apa lagi, banyaklah slide dan aksi akrobatiknya untuk ‘menikmati’ pemandangan itu. Siva tidak ketinggalan.

Sebagai anak-anak sekolah yang semakin membesar, barangkali itulah jarak yang paling selamat antara kami dengan dunia dewasa yang penuh ‘misteri’ itu.

Siva dan Zulkifli amat menggemari buah mangga. Di sekeliling kawasan kejiranan kami terdapat beberapa pokok mangga besar yang berbuah lebat. Jadi, kegiatan melempar mangga turut menjadi kegemaran kami. Siva agak mujur orangnya. Sering balingannya akan menyebabkan kami berpesta makan mangga percuma.

Sebelum menjadi peguam, Siva bekerja di pejabat peguam terlebih dahulu. Beliau bekerja sambil belajar dan akhirnya berjaya membuka pejabat guamannya sendiri.

Daripada jumlah dan wajah rakan-rakan dewasa mendiang yang datang berziarah pagi ini, saya percaya, mereka turut berkesempatan mengenali Siva yang pernah saya kenali sebagai kanak-kanak itu, iaitu sebagai seorang kawan yang baik, lucu dan boleh diharap. Beliau baru berumur 50 tahun.

Jadi, selamat jalan kawan.

-----------------------------------
Nota foto: Ini flet kami. Rumah mendiang di No 92B Tingkat Satu (tingkat satu paling hujung sebelah kiri), sementara rumah saya di No 88A Tingkat Bawah (pintu pagar warna biru dan pintu coklat). Dulu flet ini hanya dikenali sebagai flet belakang Hotel Swiss, tapi sekarang ada nama jalannya, tak silap saya, Jalan Sinar. Di anjung rumah mendianglah kami bermain, ketawa, bergaduh, menangis dan berkomplot sebagai anak-anak yang bebas lepas dan gembira.)