Friday, April 09, 2010

melayu, melayu, melayu

saya terbaca artikel berjudul berhujah, berjuang tentang hak melayu oleh guru saya, senator dr firdaus hj abdullah, dalam laman web berita the malaysian insider dan juga akhbar utusan malaysia hari ini. berikut adalah respons saya terhadapnya:

-----------------------------

salam. saya suka dengan analisis ym prof dalam insider dan utusan terbaru. penggunaan ungkapan interest articulation /pengungkapan kepentingan(?) juga menarik.

akan tetapi, bukankah kekurangan yang dimaksudkan itu adalah hasil budaya pengerdilan dan pelumpuhan upaya dan harga diri bangsa melayu oleh orang-orang yang sama selama ini, sehingga mereka seolah-olah memerlukan tampang melayu darat, dangkal dan lucah, yang juga serupa orang-orangnya, hari ini untuk membelanya pula?

bangsa melayu harus kembali jauh ke dalam akar agama, bahasa dan budayanya sendiri untuk menemui kembali diri, maruah, akal, jiwa, lidah, budi dan pencak asalnya yang halus dan lunak tetapi gagah dan mengena, bukannya menghambur-melolong seperti orang berguru kepalang ajar begini; membikin onar, menconteng arang serata negeri.

bukankah dalam sejarah dan hati nurani bangsa melayu itu sendiri telah termeteri bahawa:

Melayu bukan kulit tapi rupa bangsa
Melayu itu budaya buah agama
Semuanya terjelma dalam bahasa
Budi yang halus falsafah mulia
Dianyam dihampar dalam kata-kata
Dalam berbuat peradaban terbina
Melayu itu millah di daerah nusantara
Melayu itu kalam yang terlaksana
Melayu itu peribadi nusa yang percaya
Syariat dan makrifat pengatur hala
Adab dan akhlak penyusun cara
Seperti teladan kitab yang aulia
Tertutur oleh lidah pembawa
Terukir pada tingkah baginda
Ketika sedih ketika ketawa
Ketika berkawan ketika berkelana
Ketika seorang ketika berlaksa
Ketika daif ketika bertakhta
Menjunjung titah tuhan semesta
Tertunduk hati terbuka mata
Lurus amanah mendengar kata
Awan peneduh untuk semua.

Melayu itu adil tak kenal siapa
Melayu itu jujur bertimbang tara
Melayu itu berani terkena gaya
Melayu itu pemberi bukan penerima
Melayu itu waras akal kepala
Melayu itu hikmah bertelus mata
Melayu itu tenang berlapang dada
Melayu itu luas berbesar jiwa
Melayu itu kawan tempat bersetia
Melayu itu muafakat tegak bersama
Melayu itu terharap bagai pelita.

Melayu itu timbul dengan agama
Melayu itu penunjuk alur dunia
Melayu itu pewaris jejak peneroka
Melayu itu budi bukan kuasa
Melayu itu bakti bukan harta
Melayu itu benar bukan dusta
Melayu itu pahala bukan dosa
Melayu itu ihsan bukan noda
Melayu itu ingat bukan lupa
Melayu itu sedar bukan alpa
Melayu itu kasih bukan murka
Melayu itu hemat bukan haloba
Melayu itu bela bukan nista
Melayu itu pimpin bukan tunda
Melayu itu tertib bukan cempera
Melayu itu damai bukan sengketa
Melayu itu rahmat bukan angkara
Melayu itu aman bukan bencana
Melayu itu fikir bukan sangka
Melayu itu kerja bukan seloka
Melayu itu hakikat bukan cereka
Melayu itu merdeka bukan hamba
Melayu itu bangga walau dihina
Melayu itu hormat walau dicerca
Melayu itu bukan musuh sesiapa
Melainkan penjaja pencak berbisa
Melainkan penyambung lidah derhaka
Dilambung ombak dibanting segala
Tekadnya menunjang silalah duga
Biar putih tulang berpantang putih mata
Melayu itu wajah tulus bijaksana
Melayu itu pemikul obor manusia
Penyampai berita pelaksana warta
Pemakmur alam saya, tuan dan kita.

* * *

sungguh, melayu yang berpencak
di luar gelanggang peribadinya hakiki,
akan kecundang oleh sumbang langkahnya sendiri.


* * *

hei, ketahuilah segala diri,
semua bangsa yang pernah berikrar setia
mendukung muhammad dulu satu ketika,
tetapi mengkhianati ikatan itu kemudiannya,
telah disumpah dan dilaknat oleh pengutus baginda,
untuk hidup berangkara, bersengketa, tumbang,
hidup berangkara, bersengketa, tumbang,
berangkara, bersengketa, tumbang,
sehinggalah mereka membersih diri, memutih hati,
lalu mengambil jalan pulang yang luas terbentang,
maka semua ikrar dan janji baginda akan kembali,
memagari segala yang ada hingga ke hujung hari.

No comments: