Friday, July 30, 2010

manifesto 1955*

Politik
1.Menyemak dan menyusun semula perjanjian Persekutuan Tanah Melayu bagi disesuaikan dengan hasrat rakyat.

2.Berusaha supaya sekalian Ahli-ahli Majlis Mesyuarat, sama ada Majlis Mesyuarat Persekutuan, Negeri, Jajahan, Selat dan Bandaran, hendaklah semua sekali dipilih oleh rakyat.

3.Mengakui kedaulatan Duli-duli Yang Maha Mulia sebagai raja-raja berperlembagaan.

4.Berusaha menghapuskan dasar pintu terbuka, yakni menahan kemasukan orang-orang dagang ke Tanah Melayu, yang membahayakan kedudukan anak negeri.

5.Menjamin kebebasan beragama dan hak asasi manusia.

6.Berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya Bahasa Melayu diamal benar-benar sebagai bahasa rasmi kerajaan dan kebangsaan.

7.Berusaha supaya tiap-tiap orang hanya mempunyai satu taraf kerakyatan sahaja.

8.Berusaha dan berikhtiar dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai kemerdekaan Malaya dengan secepat mungkin.

9.Berikhtiar bersungguh-sungguh supaya peraturan-peraturan Islam dapat dijalankan dalam masyarakat dan urusan pemerintahan dari satu masa ke satu masa hingga terlaksana cita-cita Islam.

Ekonomi
1.Berikhtiar dengan bersungguh-sungguh supaya dapat didirikan usaha-usaha untuk memajukan pertanian, perusahaan,perniagaan dan pelayaran.

2.Menghapuskan perniagaan yang berupa pembolotan ekonomi (monopoli).

3.Berikhtiar supaya negara tidak berharap semata-mata kepada luar negeri untuk kehidupan rakyatnya.

4.Berikhtiar mengadakan rancangan dan usaha yang tegas bagi membantu perkembangan ekonomi orang-orang Melayu.

5.Berikhtiar supaya penanaman modal luar dapat dihadkan.

6.Berikhtiar mengecilkan perbelanjaan negara dengan seberapa kecil yang boleh dengan memotong segala perbelanjaan yang tidak mustahak.

7.Berikhtiar mengadakan peraturan-peraturan untuk melindungi hak-hak tani, nelayan, buruh, perniagaan, perusahaan dan sebagainya.

Ketenteraan
1.Berusaha supaya diadakan satu askar kebangsaan sahaja untuk menjamin keselamatan negara.

2.Berusaha supaya askar-askar luar dikurangkan dengan seberapa banyak yang boleh dan supaya tempat mereka diganti dengan askar-askar kebangsaan sahaja.

3.Berikhtiar dengan sehabis tenaga supaya Darurat dapat ditamatkan dan supaya undang-undang darurat dihapuskan.

4.Berusaha supaya diadakan perkhidmatan negara untuk menjaminkan keselamatan negara.

5.Menggalakkan supaya rakyat mula mengambil sebahagian dalam pertahanan negara ini,

Pelajaran dan pendidikan
1. Mengambil langkah supaya tiap kanak-kanak mendapat pelajaran percuma yang bersesuaian dengan kemajuan.

2. Pelajaran agama Islam hendaklah diberikan kepada kanak-kanak beragama Islam.

3. Berikhtiar supaya pemerintah dapat mengadakan sekolah-sekolah dewasa dengan seberapa segera, terutama pada bahagian pertukangan dan ekonomi.

4. Berikhtiar dan berusaha supaya sekolah-sekolah Melayu yang ada sekarang ini menjadi pokok bagi sekolah negara dengan memperluaskan dan mempertinggikan tingkatan darjah pelajarannya bersesuaian dengan dasar negara.

5. Berikhtiar mengambil perhatian yang berat terhadap perkembangan pendidikan akhlak bagi meninggikan mutu dasar pelajaran.

Kebajikan
1. Berikhitiar dengan bersungguh-sungguh supaya tahanan-tahanan Darurat dapat dibebaskan dengan segera atau dihadapkan ke muka pengadilan.

2. Berikhtiar supaya dapat menjalankan undang-undang terhadap perkara-perkara pelacuran, perjudian, minuman keras, pemakanan riba dan sebagainya.

3. Mengadakan peraturan-peraturan yang tegas mengenai penghiburan, pertunjukkan, bacaan, filem-filem dan sebarang apa juga yang boleh menyebabkan jatuhnya akhlak rakyat.

4. Berikhtiar membaiki kesihatan, terutama di kawasan luar bandar.

5. Berikhtiar memperbaiki nasib fakir miskin dengan mengadakan rancangan-rancangan yang menjamin hak hidup mereka.

6. Berikhtiar dan berusaha supaya hal-hal kebajikan tempatan diselenggarakan dengan sebaik-baiknya.

-------------------------------------
*Manifesto PAS bagi menghadapi Pilihan raya Umum 1955, dalam Kamarul Zaman Haji Yusoff, 1999, Perjuangan Penuh Cabaran, Kota Bahru: Qamar Publishing, hlm 5-6.

3 comments:

pak yeh said...

Thank you for enlightening me on PAS origina Manefesto.
Does modern PAS have the same Manifesto or have they amended it.?

pak yeh said...

Saya telah CnP Manesfesto PAS dan jadikannya isi rencana saya "Monopoli pt4: Anti Trust/Anti Lintah darat.
Harp di izinkan.
Salam. Selamat berpuasa.

syed putra ahmad said...

silakan tuan, memang itu pun tujuannya. dan tajuk rencana tuan itu amat kena sekali. secara peribadi, bagi saya, itulah kandungan manifesto tersebut yang amat bererti sekali, malangnya ia seolah-olah terlepas pandang oleh pewaris pas awal itu sekarang ini.