Wednesday, July 07, 2010

pada waktu ini tahun lepas...


pada waktu ni, satu tahun yang lepas, ayahanda abah saya kembali ke rahmatullah di hospital sultan hj ahmad shah, temerloh. beliau meninggal dunia di katil hospital selepas minum pagi. arwah sempat bergurau dengan emak, betapa 'sedapnya' kalau dapat merokok ketika itu.

petang sehari sebelumnya saya membawanya ke wad kecemasan hospital berkenaan kerana beliau mengadu sakit-sakit belakang. itu bukan kali pertama saya membawanya ke hospital atas sebab yang sama, tetapi pada petang itu, keadaannya agak cemas sehingga beliau dimasukkan ke zon merah wad berkenaan.

menyedari keadaan tersebut, saya bergegas balik ke rumah emak untuk memberi makluman, sekali gus meminta keluarga bersiap-siap kalau-kalau ajal abah tiba. keadaan abah agak pulih selepas itu, tetapi dimasukkan ke wad untuk pemerhatian. keadaannya stabil sepanjang malam.

pada pagi keesokan harinya, kakak, yang bermalam di hospital bersama-sama emak, menghantar pesanan ringkas menyatakan tekanan darah abah jatuh sedikit, saya menjangka barangkali itu kesannya ubat penahan sakit yang diterima beliau dan juga kerana keletihan.

justeru, ketika tiba di hospital, saya agak lengah di tempat parkir. akhirnya, ketika masih di tempat parkir, saya sekali lagi menerima pesanan ringkas daripada kakak bahawa abah telah kembali menemui tuhannya dengan mudah dan pantas di katil sakit. emak dan kakak berada di sisinya.

lalu saya mula menghantar pesanan ringkas kepada saudara-mara, keluarga dan rakan-taulan arwah abah seingat mungkin. rakan-rakannya ramai, jadi tak berupayalah saya menghubungi semuanya. saya hanya menghubungi rakan-rakannya yang saya jangka akan dapat menghubungi rakan-rakan yang lain pula.

alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan pantas sekali. terasa seperti arwah tidak lagi mahu menunggu lama. beliau seperti mahu berlumba kembali ke bumi. daripada pengurusan jenazah, penyediaan tanah kubur, perjalanan terakhir ke rumah, lalu ke masjid, semuanya seperti air jeram sungai tembeling, deras dan bersih.

arwah sempat disembahyangkan sebanyak tiga kali, iaitu di bilik jenazah hospital, di rumah dan di masjid. akhirnya arwah telah disemadikan di tanah perkuburan masjid kg tanjung besar selepas solat asar. semuanya kemudiannya selesai sebelum maghrib.

mati mudah di sisi keluarga dan dihantar ke kubur oleh rakan-taulan. datok abd rahim bakar, rakan rapat arwah abah sejak sekian lama, yang telah menjejakinya ke perkampungan abadi selang dua bulan selepas itu, turut hadir mengucapkan selamat jalan. indah.

-----------------------------
Nota foto: Jeram Perahu, Ulu Tembeling.

5 comments:

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Baris akhir entri Tuan SP membaling ingatan kepada sebuah puisi lama ditulis ketika masih muda, bara dan berdosa .., circa U-Thant gitu.

*
seperti orang lain
aku juga mahu
makan lazat minum pekat
pakai hanya kain kapas
mandi jangan telanjang
lena di empuk tilam
bukan papan tak berketam
mahu juga
keluarga bahagia
membina rumah di pergunungan
tua di perdesaan
mahu menang yang adil
mahu itu mahu ini

kalau hanya diberi satu pilihan

biarlah hidupmatiku
didakap redhaNYA

* al-Fatihah utk semua arwah

syed putra ahmad said...

saya hanya mahu mati sendiri di rumah sunyi di tepi paya, berlamankan kemboja dan cempaka. itu cukup buat saya.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

.., itu bunyi merajuk.

hari ribut said...

saya mahu mati dan diuruskan dengan paling mudah.

tidak mahu berpesan apa-apa cukuplah disegerakan segalanya

ahmadnizamhamid said...

alfatihah.ya,kami anak-anak muda masih terasa kehilangan arwah Abah.saya selalu berbual-berdiskusi seputar sastera,politik dan sejarah.Arwah 'jemput' saya menjadi AJK persatuan sejarah pahang yg kemudiannya saya mendapati jiwa para petingginya tidak bersesuaian dgn jiwa saya-masih lagi menebal feudalisme-lngsung saya tidak aktif lagi.
Alfatihah