saya terbaca artikel terbaru helen ang bertajuk Why M'sian First is a joke di lamanweb malaysiakini baru-baru ini. berikut adalah komen dan respons saya terhadap artikel tersebut.
-------------------------
Saya mengucapkan terima kasih dan setinggi-tinggi tahniah kepada cik Helen kerana menyahut cabaran saya sebelum ini supaya turut mencadangkan jalan keluar bagi isu-isu atau masalah-masalah masyarakat kita yang ditimbulkannya lewat artikel artikel beliau dan tidak sekadar mengemukakannya sebagai polemik yang suram dan hodoh.
Sememangnya bahasa merupakan jambatan dan wahana yang paling praktis dan berkesan dalam membina dan memupuk kefahaman, persefahaman, sikap saling menghormati dan menerima, semangat kekitaan dan lain-lain seterusnya.
Malangnya dalam pengalaman kita bernegara, bahasa kebangsaan telah tidak diberi peluang dan kepercayaan yang penuh serta tidak berbelah bagi dalam memenuhi peranannya itu sejak hari pertama kita wujud sebagai sebuah negara Merdeka.
Lebih malang lagi, keadaan ini menjadi semakin buruk sejak akhir-akhir ini apabila sisi-sisi parokial masyarakat kita yang bertegas dengan jati diri parokial mereka lama dahulu, kini telah tumbuh dan matang dalam kerangka itu dan menerimanya sebagai kerangka yang sah, benar dan bermanfaat, sekali gus mencurigai kerangka bersama yang lebih besar dan inklusif. Malah, ia kadang-kadang dilihat sebagai ancaman kepada keselamatan dan kejayaan kerangka parokial masing-masing.
Akibatnya bahasa kebangsaan, sebagai organisme kemanusiaan yang hidup, terus berkembang melalui penggunaan, pengalaman dan kegunaannya di kalangan penutur penuturnya yang lazim dan teramai.
Justeru parokialisme yang wujud dalam masyarakat kita mengambil bentuk kelompok-kelompok etnik bahasa dan budaya, maka bahasa kebangsaan yang seharusnya menjadi bahasa bersama turut menerima kesan buruk daripadanya dalam bentuk ia tidak sepenuhnya berkembang sebagai bahasa ekspresi simbol-simbol budaya, kepercayaan, nilai dan lain-lain yang bersifat eksklusif bagi sebahagian masyakat kita yang tidak menggunakannya secara lazim dan pada aras penggunaan yang lebih tinggi dan ilmiah. Ia sebaliknya hanya digunakan di aras basahan atau pasar semata-mata.
Lanjutan daripada itu, bahasa kebangsaan itu sendiri kemudiannya dilihat sebagai bahasa eksklusif satu kumpulan etnik pula - akibat perkembangannya yang sedemikian rupa dan juga kegagalan menguasainya di pihak yang lain - sekali gus semakin merendahkan upaya dan peranannya sebagai bahasa bersama dengan peranan dan sifat bersama juga.
Cadangan cik Helen supaya DAP belajar untuk menguasai dan menghormati bahasa kebangsaan adalah cadangan ke arah yang betul dan tepat. Malah bagi saya, cadangan itu tidak tertakluk kepada DAP semata-mata, tetapi semua orang, supaya suatu hari nanti masyarakat kita bukan sahaja akan dapat berkomunisasi dalam bahasa kebangsaan pada aras bahasan dan pasar sahaja, tetapi turut berupaya mengungkap konsep-konsep falsafah, agama, sains dan ilmu yang tinggi dan halus dalam bahasa Malaysia yang menjadi milik bersama dan dibina pula secara bersama-sama.
Wednesday, September 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
5 comments:
Menguasai dan menghormati bahasa kebangsaan? Siapa? Bila? Di mana? PM dan TPM perlu mula dulu. Barulah yang lain akan ikut serta.
Pencuri
Membaca saran Tuan Pokok - saya hampir terkesima berada di lokasi utopia.
Saran tuan sebenarnya hanya layak di khalayak ningrat lagi cendikia yang prihatin terhadap warga dan tanah sari.
Seperti hemat tuan, kita telah bermula dengan langkah tempang lagi dengkot.
Entah mengapa saya kini mengalu-alukan kebrobokan segala.
Salam buat para ayahanda saya di sini.
Maafkan komen ini, ayahanda KTB.
Fikirku,tiada perlu diusik gelagat Memanda Menteri Perdana atau Timbalannya kerana hal seperti itu hanya mengusir ria di hati, anakanda cadangkan elok kita mula menyambut cadangan mulia nan tersurat di entri ini melalui apa cara sekalipun, walau skop liputan kita mungkin tidak sampai sekangkang kera.
Jika bukan kita, siapa? Jika bukan kini, bila? Jika bukan di sini, di mana pula?
Yang lain-lain itu juga elok dibiarkan mereka mahu ikut atau tidak, mari sama-sama kita mulakan dengan diri kita sendiri dan mungkin juga kelompok kecil di sekeliling kita, bukankah itu lebih bahagia?
Bahagianya perjuangan tidak hanya berlaku andai PM atau TPM itu gerak geri politiknya seiringan dengan kita, bahagia ternyata lebih bermakna jika mereka berdua itu dihumbankan keluar dari kamus perjuangan kita.
Kita ini masih lagi kita, sedangkan mereka berdua mungkin sudah selesa di liga berbeza. Bahasa bukan alat semata, bahasa harus punya jiwa, dan jiwa kita tidak harus tersandar pada mana-mana Menteri Perdana atau Timbalannya.
Memetik kata-kata perenggan akhir ayahanda Pencuri, anakanda juga sebenarnya sudah sekian lama berlegar mencari nikmat tersembunyi di sebalik kebobrokan segala.
Wassalam.
Pencuri
Nah ... bila mana ada orang muda yang bara dada lagi lahar darahnya membuat saran perjuangan persis kembali ke medan Badar bersama-sama 313 - maka saran itu sebenarnya kesinambungan segala yang pernah ditutur ditegah dipekertikan penuh sabar lagi sarat hemahnya oleh seorang sang ayahanda - yang kini sudah tua.
Maha Besar Allah!
Sang pencuri seperti saya jadi saksi betapa pertalian antara manusia adalah anugerah yang tidak dapat dihimpun imbalan emasnya.
Dipanjat doa ke langit tinggi agar Kerani Tua Beruban itu kembali pulih lagi sihat dan kekal menjadi dirinya selama ini.
Mohon laluan Tuan SP.
Sebenarnya hamba sekadar melontar umpan sambil meninjau ikan di kali.
Anakanda BKM...teruskan perjuangan. Jangan banyak pandang belakang...
Tuan Pencuri...terima kasih kerana mendoakan kesihatan hamba...
Post a Comment