Wednesday, November 10, 2010
sejarah, sejarah, sejarah...
Dalam sejarah Islam ada banyak peperangan yang terkenal seperti Badar, Uhud, Khandak dan sebagainya. Antara perang yang berlaku pada zaman Rasulullah adalah perang Muktah yang terletak di Jordan.
Dalam perang Muktah yang berlaku pada awal tahun kelapan Hijrah, kaum Muslimin seramai hanya 3,000 orang telah berhadapan dengan tentera Rom yang diketuai oleh Heraklius dengan kekuatan 200,000 tentera lengkap bersenjata.
Berdasarkan logik akal memang angkatan tentera Islam tidak mampu melawan tentera Rom yang ramai itu, tetapi dengan kekuatan iman yang mantap bala tentera Rom mampu dikalahkan.
Dalam perang ini, kisah yang masyhur ialah apabila seramai tiga panglima Islam telah gugur syahid dan mereka berganti-ganti mengetuai barisan tentera Islam, iaitu Zaid Ibn Harisah, Jaafar bin Abi Talib (Jaafar Attayar) dan Abdullah Arrawahah atas arahan Rasulullah s.a.w yang berbunyi:
"Sekiranya Zaid Bin Harisah terbunuh ketika memimpin peperangan itu, Jaafar hendaklah mengambil tempat sebagai gantinya. Sekiranya Jaafar terbunuh juga, tempatnya hendaklah diganti dengan Abdullah Bin Rawahah. Jika dia juga terbunuh maka terserahlah kepada kaum Muslimin untuk melantik penggantinya" .
Tentera Islam bergerak ke Muktah dengan diketuai Panglima Zaid. Setelah peperangan bermula, Panglima Zaid telah terbunuh dek tombak tentera Rom, setelah itu Jaafar mengambil alih kepimpinan. Dia memegang panji Islam dengan tangan kanannya dan menyerbu ke tengah batalion Rom.
Kemudian tangan kanannya ditetak putus, panji Islam dipegang pula dengan tangan kirinya juga kemudian ditetak putus tetapi beliau enggan mengalah lalu dikepitnya panji Islam sehingga menyebabkan beliau akhirnya syahid dengan badannya ditetak sehingga terbelah dua.
Dikatakan air mata Rasulullah berlinang semasa kematian sepupunya Jaafar seolah-olah kejadian itu tergambar di depan mata baginda. Begitulah ketaatan dan kepahlawanan sahabat Nabi SAW atas amanah yang diberikan sehingga dia diberi gelaran Attayar.
Abdullah Arrawahah pula mengambil kepimpinan daripada Jaafar dan mengetuai peperangan, walaupun ada rasa keraguan di hatinya melihat tentera Rom yang ramai, tetapi beliau cuba mengatasi perasaan yang timbul dengan berseru:
"Aku telah bersumpah wahai diri, maju ke medan laga, tapi kenapa kulihat engkau menolak syurga… Wahai diri, bila kau tak tewas terbunuh, kau kan pasti mati. Inilah kematian sejati yang sejak lama kau nanti”.
Beliau seterusnya menyerbu ke arah tentera Rom dan akhirnya beliau juga syahid.
Akhirnya, tentera Islam memilih Khalid Ibnu Walid sebagai panglima, dan beliau berjaya mengucar-kacirkan tentera musuh sehingga mereka menyangka ada bantuan tentera Islam telah sampai untuk membantu sehinggakan tentera Rom menyatakan jika 3,000 tentera sudah begini hebat apatah lagi sekiranya jumlahnya bertambah. Ada riwayat menyatakan hanya 12 tentera Islam gugur syahid.
Inilah peperangan pertama Islam terhadap kuasa besar dunia pada masa itu. Rasulullah mengelar Panglima Khalid sebagai Syaifullah Al Maslul (pedang Allah yang terhunus).
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment