Tuesday, April 13, 2010

melayu lagi

berikut adalah respons saya terhadap artikel berjudul pas disaran keluar pakatan pembangkang oleh jamhariah jaafar dalam laman web the malaysian insider dan akhbar berita harian hari ini.

---------------------------

saya percaya pembahagian yang dibuat oleh khalid samad dan kesimpulan penulis tentang melayu dan islam itu adalah lompang dan tidak berakar dalam sejarah maupun hati budi orang melayu. melayu dalam konteks sejarah dan budayanya adalah orang islam yang berbahasa melayu dan berasal dari wilayah budaya serta geografi nusantara ini.

orang melayu dalam konteks ini adalah sama dengan orang hui di china, malabari di india, kashmiri di himalaya, chechnya di kaukasia, berber di utara afrika, saracen di tanah arab, turki di anatolia dan sebagainya. mereka semua adalah rupa bangsa islam dalam konteks wilayah geografi, budaya dan bahasa masing-masing.

jadi, untuk menyebut melayu itu berbeza dengan islam adalah lompang dan serong. sebelum kedatangan islam dan pengembangan bahasa melayu olehnya, rupa bangsa melayu itu sendiri tidak pernah wujud. yang adanya hanyalah puak-puak atau kumpulan lokaliti kecil tempatan dengan pelbagai nama dan daerah petempatannya.

melayu dalam ertikata yang disebut oleh khalid dan juga penulis, iaitu melayu warna kulit, hanya datang dengan kedatangan penjajah dan konsep nation statesnya, sekali gus mewakili anak panah beracun penjajah untuk melemahkan tentangan terhadap imperialisme mereka dengan memecah-mecahkan penduduk tempatan menurut 'perbezaan zahiriah' sedemikian.

selain itu, ia juga merupakan racun imperialisme inggeris-kristian untuk melunturkan ikatan islam penduduk tempatan itu dengan gagasan umat islam dan tonggak ajaran islam itu sendiri.

malah jika dilihat takrif melayu yang dipakai oleh perlembagaan malaysia pun, jelas bahawa ia tidak mewakili kelompok warna kulit atau bangsa dalam takrif barat itu, sebaliknya ia adalah berasaskan 1.agama 2.bahasa 3.budaya 4.tempat dan waktu kelahiran dan 5.keibu-bapaan, tanpa apa-apa kaitan dengan warna kulit sama sekali.

dengan kata lain, sesiapa pun boleh menjadi orang melayu sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat di atas, terutamanya tiga yang pertama. oleh sebab itulah, sebelum ini kita mengenali istilah ‘masuk melayu’ bagi orang yang memeluk islam di wilayah ini.

malangnya, istilah organik dan jujur itu telah dikotorkan dan didosakan oleh orang yang melihat dunia dari kaca mata perkauman atau dari jalur fikiran terjajah, bukannya cuba memahaminya dari sudut pandangan-dunia dan budaya tempatan itu sendiri. lebih malang lagi, sikap ini jelas terlihat pada orang atau kumpulan yang bercakap atas nama islam dan melayu!

dengan kata lain, melayu adalah orang islam dalam konteks wilayah bahasa dan budayanya, bukan warna kulit. justeru, sebarang takrif atau usaha untuk membezakan islam dengan melayu itu adalah salah sama sekali dari segi sejarah serta budaya orang melayu itu sendiri dan berasal daripada pemikiran dan kaca mata penjajah semata-mata.

melayu tanpa islam, bahasa melayu serta budaya tempatan, bukanlah melayu namanya. justeru, atas sebab itulah pas ditubuhkan untuk menyanggah umno sejak awal lagi apabila umno dilihat sebagai mewakili pemikiran dan aliran budaya kelompok elit masyarakat tempatan yang mengkhianati identiti hakiki orang melayu dengan beralih kiblat ke england dan budaya inggeris, bukannya kerana sebab-sebab yang digariskan oleh penulis di atas.

oleh itu, pas adalah sebuah parti melayu seutuhnya, sedang kemelayuan umno sudah terlalu lama tercemar, malah semakin memburuk kini dengan buruk laku, rendah pekerti, celaru akal, tumpul hikmah dan gersang budi para pemimpin dan pengikutnya yang menjadi tontotan dan buah mulut semua.

dengan kata lain, umno adalah kumpulan elit berkepentingan anak tempatan yang menunggang kemelayuan bangsanya sendiri untuk matlamat dan tujuan yang berlawanan dengan doa, harapan dan mimpi orang melayu terbanyak.

hakikat jati diri melayu pas ini begitu terserlah daripada wacana politiknya dan keanggotaan asal parti itu sendiri sejak sekian lama, dengan ia didokong oleh majoriti orang melayu di desa-desa dan kawasan penanaman padi yang miskin tetapi kuat berpegang kepada agama dan wajah budaya melayunya.

ini berbeza dengan umno yang diterajui oleh kelas menengah melayu yang mendapat pendidikan inggeris, kelompok feudal atau kumpulan yang mendapat manfaat daripada pembangunan ekonomi yang berlaku.

jadi tidaklah memeranjatkan sekiranya di dunia malaysia yang tercipta oleh jalur falsafah dan fikrah yang didominasi oleh umno selama lebih 50 tahun lepas, orang melayu mendapati diri mereka lemah, terumbang-ambing, terdesak, tergugat dan terasing baik dari segi kuasa politik, kedudukan ekonomi, identiti sosial, nilai pegangan, jati diri atau lain-lain sebagainya.

dunia realiti yang tercipta itu tiba-tiba menjadi begitu berlawanan sekali dengan pandangan-hidup orang melayu terbanyak tentang diri dan dunia mereka. ia menghasilkan kontradiksi yang begitu tajam dalam hati budi orang melayu sehingga melumpuhkan daya hidup dan keberkesanan mereka sebagai sebuah kumpulan manusia yang pernah mengibarkan bendera sebuah rupa bangsa islam kontekstual yang bangga dan berjaya ke kesemua lautan dunia suatu masa dulu.

orang melayu dengan umno seperti orang berkawan dengan hantu raya. tampak seperti bergaya, tapi sengsara menunggu masa. semakin banyak dia memberi, lebih banyak dia meminta. isteri di rumah menjadi mangsa, jika tidak terkena gaya.

dari sudut yang lebih luas, orang melayu adalah orang islam tempatan yang menjunjung agama, sekali gus berbangga dengan bahasa dan budaya organik mereka, bukannya yang tercabut dari peribadi atau akar tersebut, sama ada kerana berkiblat ke timur tengah atau farsi atau barat maupun kepada akar sejarah sebelum islam mereka atau sebagainya.

berburu ke padang datar
dapat rusa berbelang kaki
berguru kepalang ajar
bagai bunga kembang tak jadi.

13 comments:

Anonymous said...

"Lebih mudah berkerjasama untuk matlamat berbeza daripada bertolak ansur untuk tujuan serupa"

Nampaknya ungkapan ini semakin ada benarnya...


No22 Islamic Street

syed putra ahmad said...

hahaha, nampaknya kekasih lama masih bermain di mata dan berdetik di hati tuan is kita ni, walaupun musim telah berubah dan angin beralih arah.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Saya berasa entri-entri kebelakangan ini merupakan perlanjutan atau pengukuhan magnum opus Tuan SP, Orang Melayu Itu Hui Di Tanah China.

Secara peribadi saya berasa magnum opus itu sudah tetap berdirinya. Adapun perihal perbincangan lanjutan mengenainya biarlah didepani oleh bukan pengasasnya guna melihat sejauh mana kefahaman dan pemahaman orang lain terhadap gagasan itu.

Namun tentu saja Tuan SP tidak dibatasi jika mahu terus membina struktur-struktur kepada pembangunan gagasan itu.

Cuma saya terfikir ketika membina struktur baru .., apakah tiada langsung daripada struktur lama yang dapat dimanfaatkan?

Setidak-tidaknya sebagai teladan.

Justru saya memahami betapa Tuan Islamic Street memilih tidak melupakan terus kekasih lama.

syed putra ahmad said...

saya percaya bahawa manusia dan kumpulan manusia secara hakikinya hanya dapat berkongsi lautan, arah dan angin, bukan kapal, dalam kembara panjang mereka menuju 'kesempurnaan' dan 'kejayaan'.

selagi kita menyedari realiti ini, kita akan lebih mudah untuk menerima makna perbezaan dan persamaan.

kedua, perkongsian laut, arah dan angin adalah perkongsian yang tabii kerana ia memberi kebebasan kepada semua pihak untuk berhenti di destinasi masing-masing tanpa perlu menghalang atau mempersalah orang lain yang berbeza destinasinya.

perkongsian kapal tidak menjanjikan hal sedemikian.

masalah timbul apabila kita hanya melihat perkongsian kapal sebagai satu-satunya cara untuk berkongsi.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Jalur perpaduan ungkapan Tuan Islamic Street, saya kira bukan bermaksud berkongsi kapal, malah mendepani sekadar perkongsian lautan, arah dan angin.

Apa yang mahu dan harus dikongsi ialah pelayaran itu sendiri.

Banyak bangsa maka banyak kapalnya. Banyak nakhoda berbeza muatannya. Armada dagang tidak sama dengan armada perang.

Walau mungkin isi kapal UMNO/BN itu sudah layak menjadi tukun di dasar laut - hakikatnya kapal itu masih berada di atas paras air iaitu ia belum tenggelam.

Kapal PAS pula walau sarat isi berharga namun berlubang di buritan hingga ke kemudi.

Ia bukan perkongsian kapal - ia kerjasama atau perpaduan dalam mengharungi samudera raya walau di mana tambat pelabuhannya.

Saya bersikap untuk tidak kesumat membenci saudara sendiri yang dianggap musuh walhal dalam waktu yang sama memejam mata menutup telinga terhadap orang yang dianggap sahabat namun sentiasa mengacah tikaman.

syed putra ahmad said...

umno/bn adalah kapal dagang tuan pkb, seperti mana kapal dagang silam, yang sememangnya bertujuan itu. ia dengan segala kepentingan para pelaburnya, dengan para pegawai dan pengawalnya juga mubaligh agamanya serta bomoh dan tukang-tiliknya.

laut mungkin sama, malah destinasi juga mungkin sama, tapi tujuannya tidak pernah sama. dan tujuan inilah yang menyebab porak-peranda.

sedang pas adalah kapal penumpang atau lebih tepat lagi kapal penghijrah, yang bermatlamatkan pulau idaman kerana lari daripada porak-peranda angkara kapal dagang yang melabuh sauh sekian lama di kampung asal.

syed putra ahmad said...

malah, dari sudut yang lain, umno/bn bukan lagi kapal, ia istana, yang telah bertapak dan mengukuh serta tidak mungkin ke mana-mana lagi. ia malah, merupakan penghalang kepada penghijrah yang mahu belayar ke pulau idaman.

justeru, perbandingan tuan pkb, tidak bertempat di sini.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Apabila Tuan SP memilih untuk mengikat dan membataskan ruang perbandingan - mungkin juga perbandingan saya jadi tidak bertempat di pokok-hujan.

Namun di rimba raya realiti yang beragam penghuni serta beraneka landskapnya - sebenarnya tidak wujud permusuhan abadi.

Tuan SP bercakap bahasa pokok.

Saya bicara resam rimba raya.

syed putra ahmad said...

apa pun perbandingan yang mahu dibuat, ia harus bertempat. telur dengan telur, terung bulat dengan terung bulat, rumah pangsa dengan rumah pangsa, orang awam dengan orang awam dst dst.

perbandingan yang tidak bertempat akan hanya menghasilkan rumusan yang salah dan juga tidak adil.

malah, bagi saya, kesalahan perbandingan inilah yang dalam banyak hal merupakan punca kepada banyak bencana yang menimpa.

almarhum guru saya sering mengingatkan tentang dua orang yang pergi berburu bersama-sama, seorang beriman dan seorang kufur.

perbandingan kejayaan berburu tidak boleh dibuat berdasarkan banyaknya hasil buruan yang dibawa pulang, kerana jika itu ukurannya, maka si beriman pasti gagal setiap kali.

dan lupakah tuan pkb akan perbandingan antara dua pemilik kebun yang dibuat oleh tuhan dalam kitabnya?

atau apakah kita melihat dunia dan isinya dari sudut dan sisi yang berbeza? jika begitu, maka seperti yang saya sebutkan dalam komen lebih awal, manusia hanya berupaya berkongsi laut, angin dan arah, bukan kapal atau destinasi tepat masing-masing. tidak ada pertikaian di situ.

syed putra ahmad said...

dalam isu yang dibangkitkan dan dengan kata lain, saya tiada masalah dengan orang yahudi, tapi saya bermasalah dengan zionisme; begitu juga dengan orang kristian, hindu, pagan dan lain2, termasuk umno/bn.

'seserong' manapun kepercayaan/ nilai seseorang, ia tiada masalah dengan saya selagi ia kekal sebagai sesuatu yang bersifat peribadi/kelompok, tapi ia akan mula menimbulkan masalah apabila ia mengambil wajah sosial dan politikal kerana ia turut melibatkan saya.

Anonymous said...

No22 Islamic Street


1) Rupa-rupanya ada perang di pokok hujan dek kerna ungkapan sy yang disimpulkan oleh tuan PH bahawa kekasih lama masih berdetik dihati saya, walaupun katanya musim dan arah angin sudah berubah.

Tidak lah mau sy menafikan atau mengiyakan kesimpulan itu selain hanya tertanya-tanya adakah 'cinta' pada tuan ph setianya hanya semusim? Dan, apabila musim itu kembali dan angin sekali lagi menukar arah, bagaimana?

2) Selebihnya tidak la mau sy menganggu tuan ph dan tuan pencuri buat seketika kerana nampaknya riwayat ini akan perpanjangan lagi dek jawapan terakhir tuan ph yang sy percaya tidak akan mendamaikan tuan pencuri...

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Buat pengetahuan Tuan Islamic Street, damai atau ribut di hati saya tidaklah begitu tertakluk kepada jawapan orang lain, terutama apabila orang lain itu gemar mengguna dalil fikkiyah walhal destinasi kapal penumpang pelayarannya sebuah utopia pulau idaman ..., yang barang pasti menerima segala kepelbagaian selagi bertunjang keEsaan yang mutlak.

Dan kerana saya belum berada di pulau idaman serta tidak menganggap planet ini ibarat sebuah pulau yang terasing lagi tersendiri - saya kira sama ada individu atau kelompok; dalam wajah sosial atau politikal; penganut kepercayaan dan nilai serong atau beriman yang hak - kita masih di sini.

Bersama-sama.

Saya melihat di samudera luas itu sebuah bahtera besar bangsa Melayu yang mengibarkan panji hijau bermotif bulan penuh begitu akrab sambil saling bekerjasama dengan sebuah lagi bahtera yang majoriti bangsa Melayu juga dengan panji biru muda anak mata.

Saya tertanya-tanya kenapa ketika bahtera hijau itu boleh turut akrab dan bekerjasama dengan sebuah bahtera bangsa lain berpanji roket yang sudah amat terang lagi bersuluh nawaitu dan tindakan sosial politik mereka yang begitu serong lagi kesumat - bahtera hijau tadi bersikap sangat berkontradiksi terhadap sebuah bahtera lain berpanji merah keris yang sarat dengan bangsanya sendiri?

Hakikatnya bahtera berpanji biru muda tadi adalah berasal daripada bahtera merah keris itu juga.

Kata mereka, bahtera merah keris itu sarat munafiq yang sesat dan pasti karam lalu bukan sahaja tidak boleh dibiarkan berlalu malah harus disegerakan tenggelamnya.

Pada waktu yang sama, saya masih mendengar berita bahawa ada lagi di kalangan penumpang bahtera merah keris itu ketika sempat berlabuh di Makkah Mukarammah - meninggalkan dunia fana ini dengan senyuman menguntum di bibir mereka.

Perbandingan?

Tidak bertempat??

Saya kekal bicara resam dunia dan melihat laut serta langit terbuka.

Anonymous said...

No22 Islamic Street

Sejarah yang terus berulang-ulang. Sebabnya tetap sama, kesombongan, ketamakan, pengkhianatan, tidak sabar dan nafsu besar mahu menjadi 'orang' yang sepatutnya 'dia tidak boleh jadi'. Lalu hilang pedoman dan kewarasan...penipu dan pencuri di bawa masuk kerumah...sedangkan anak dibiarkan tidur di serambi.
Dengan harapannya teratak kecil bertukar istana...malangnya rumah pula dicucuh api. itupun selepas padi habis di'kepok'dan ikan salai licin di'para'.

p/s (1) Ratusan tahun dulu bangsa kita pernah hilang negara kerana adanya manusia rakus seperti itu!!

p/s (2) 'Kejahatan' itu tidak akan berhenti berusaha, hanya kita masih bebal untuk belajar bagaimana untuk membuka dan menutup pintu.

p/s (3) Mungkin boleh difikirkan kembali apa yg sy lemparkan sebelum ini: "Lebih mudah berkerjasama untuk matlamat berbeza daripada bertolak ansur untuk tujuan serupa"

p/s (4) Dalam diri kita ada syaitan dan raksasa...ada masanya mereka menang. (Criminal mind)