Thursday, August 06, 2009

Cahari olehmu akan sahabat (1)

Gurindam VI

Cahari olehmu akan sahabat,
yang boleh dijadikan obat.

Cahari olehmu akan guru,
yang boleh tahukan tiap seteru.

Cahari olehmu akan isteri,
yang boleh dia menyerahkan diri.

Cahari olehmu akan kawan,
pilih segala orang yang setiawan.

Cahari olehmu akan abdi,
yang ada baik sedikit budi.

* * * * * * *

Gurindam VII


Apabila banyak berkata-kata,
di situlah jalan masuk dusta.

Apabila banyak berlebih-lebihan suka,
itulah landa hampirkan duka.

Apabila kita kurang siasat,
itulah tanda pekerjaan hendak sesat.

Apabila anak tidak dilatih,
I’ika besar bapanya letih.

Apabila banyak mencela orang,
itulah tanda dirinya kurang.

Apabila orang yang banyak tidur,
sia-sia sahajalah umur.

Apabila mendengar akan khabar,
menerimanya itu hendaklah sabar.

Apabila menengar akan aduan,
membicarakannya itu hendaklah cemburuan.

Apabila perkataan yang lemah-lembut,
lekaslah segala orang mengikut.

Apabila perkataan yang amat kasar,
lekaslah orang sekalian gusar.

Apabila pekerjaan yang amat benar,
tidak boleh orang berbuat onar.

----------------------------------
(1) Gurindam Duabelas, Raja Ali Haji.

1 comment:

akbajalil said...

Gurindam nasihat sebegini sudah mulai dilupakan orang. Usaha saudara menyiarkannya kembali patut dipuji dan pada hemat saya ianya adalah satu tindakan sungguh bernas.

Remaja kini mungkin sudah ada yang tidak kenal dengan khazanah lama
tinggalan nenek-moyang mereka. Lirik lagu cinta murahan dan alam fantasi yang bersifat sementara lebih mesra kepada mereka hari ini.

Saya berharap semoga tindakan saudara ini akan memberi sedikit peransang dan membuka minda generasi baru untuk menggali tinggalan orang lama yang amat tinggi nilainya. Apatah lagi dalam suasana kehidupan yang semakin jauh dari adab dan sopan kini. Penawarnya harus dicari. Di mana?

Gurindam lama berbentuk nasihat seperti ini harus disebarluaskan untuk menjadi panduan hidup kepada kita semua terutamanya para remaja. Tugas siapa sebenarnya?

Pihak kerajaan dan swasta harus berperanan positif dalam mempromosi hal seperti ini untuk memenuhi tanggungjawab sosial dalam membina generasi yang seimbang antara dunia dan akhirat. Nilai hidup yang murni harus dipupuk dari peringkat awal dan sentiasa diamalkan. Ah! Mungkin terlalu ideal kelihatannya tetapi itulah hakikat yang harus kita semaikan mulai sekarang.

Jika nilai hidup positif dikesampingkan, tidak dapat tidak kita akan memperolehi generasi yang semakin runtuh akhlaknya. Krisis nilai kini semakin membarah. Bukan sahaja remaja malah generasi lama sendiripun masih ada yang tidak kenal antara hak dan batil.

Anak-anak kini semakin hanyut dengan budaya yang mengagungkan dan mendewakan benda. Contohnya, jika seseorang hatta murid sekolah rendah sekalipun, jika dia tidak punyai HP akan dianggap ketinggalan oleh rakan-rakannya. Siapakah yang harus bertanggungjawab dalam penerapan budaya seperti ini?

Fikir-fikirkanlah.