Monday, August 03, 2009

satu lapan kosong sembilan


setelah meneliti pelbagai laporan tentang perhimpunan membantah ISA anjuran gmi semalam di ibu kota, beberapa kesimpulan keras melintas di kepala, iaitu:

• kerajaan dan polis tidak pernah, tidak bersedia, tidak mahu dan tidak akan belajar apa-apa daripadanya;

• bahawa ia tetap mahu bersikap kepala batu dan buta-tuli terhadap perubahan yang berlaku dalam masyarakat serta tuntutan serta suara rakyat;

• bahawa ia terus beriman kepada pendekatan undang-undang dan kuasa dalam menghadapi pandangan yang berbeza daripada pandangannya sendiri;

• bahawa ia mahu terus bermain kata-kata dan silap-mata media dalam menghadapi fakta-fakta keras berhubung kelemahan, kezaliman, penganiayaan dan penyalahgunaan kuasa dalam pelaksanaan undang-undang terbabit;

• bahawa ia mahu terus mengekalkan akta itu, walau apa pun kata-kata manis yang pernah dan akan dijanjikannya;

• bahawa polis adalah badan penguatkuasa yang paling tolol, tiada hati budi, tiada hemah, tiada kebijaksanaan dan cenderung berniat jahat;

• bahawa polis adalah sebuah mesin, yang apabila terpasang, tidak dapat mengawal dirinya sendiri;


• bahawa kerajaan dan polis melihat dan mahu dirinya dilihat sebagai tuhan, iaitu sebagai entiti yang tidak tertakluk kepada apa-apa nilai dan undang-undang yang lebih tinggi daripadanya, atau dengan perkataan lain, sebagai sumber dan matlamat semua nilai dan undang-undang yang tunggal dan muktamad.

• bahawa kerajaan berterusan mahu membentuk budaya materialistik UMNO yang mengutamakan wang ringgit mengatasi segala-galanya, hatta nilai, keadilan, hak, agama, undang-undang dan lain-lain di kalangan rakyat melalui pendekatan medianya membentuk pandangan umum supaya menolak perhimpunan membantah ISA ini sebagai sesuatu yang merugikan kepentingan-kepentingan ‘perniagaan’, ‘pelaburan’, 'keselesaan' dan sebagainya.

• bahawa budaya ini jika tidak ditentang habis-habisan akan melahirkan sebuah bangsa yang lemah, oportunistik, mata-duitan, jahat dan korup, yang akan bersedia untuk menjual ibunya sendiri untuk keselesaan diri;

• bahawa inilah yang dimaksudkan oleh dato' dr hassan ahmad ketika beliau menyuarakan kebimbangan dan amarannya tentang bahaya budaya dalam UMNO merebak dan meluas dalam masyarakat, khususnya dalam institusi-institusi utama negara.


• bahawa PAS dan ahli-ahlinya yang daif dan tidak sofistikated itu adalah tulang belakang perubahan di negara ini. mereka harus berbangga, terus komited serta jujur dengan hakikat itu, sementara orang lain harus berterima kasih kerana masih terdapat segolongan daripada rakyat negara ini yang bersedia menghadapi segala bentuk ‘kesakitan’ peribadi untuk nilai dan cita-cita yang lebih tinggi, juga untuk kesejahteraan semua.

secara peribadi, kesemua ini sudah cukup untuk saya membulatkan tekad dan memuktamadkan penilaian bahawa kedua-dua entiti (kerajaan dan polis) atau tangan dan sarung tangan ini adalah wabak, jembalang dan raksasa yang mesti dibanteras hingga ke akar dan terasnya. ia sudah begitu memburuk sehingga ‘pemulihan’ bukan lagi suatu kemungkinan. noktah.

wallahu a’lam.

* * * * *

Gurindam V (1)

Jika hendak mengenal orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa.

Jika hendak mengenal orang berbahagia,
sangat memeliharakan daripada yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat ketika bercampur dia dengan orang ramai.

______________________
(1) Gurindam Duabelas, Raja Ali Haji.

No comments: