Wednesday, May 05, 2010

pak andak manaf kembali...

saya menerima panggilan telefon daripada kak ti atau puan fakriyatie lotfie pada jam 11.29 pagi tadi memberitahu bahawa bapa mertuanya, hj abd manaf arif@ismail atau lebih dikenali sebagai pak andak manaf, telah kembali ke rahmatullah beberapa minit sebelum itu di rumahnya di kampung buntut pulau, temerloh.

pak andak manaf adalah bapa kepada kawan-kawan sekolah saya, iaitu hj amir roslan, arwah amirul azam dan abu bakar. saya mempunyai sejarah persahabatan yang panjang dengan ketiga-tiga adik beradik ini, terutama amir roslan (suami kak ti) dan arwah amirul azam.

semasa hayatnya, pak andak bertugas sebagai pemandu di klinik kesihatan temerloh sehingga pencen. namun beliau bukan sebarangan pemandu. beliau juga merupakan aktivis masyarakat dan kesatuan sekerja yang komited dan bersuara lantang.

sikap dan fikrah itu berkekalan sehinggalah beliau pencen dan dilantik sebagai imam masjid kampungnya itu. malah ia kekal hingga ke hujung hayat beliau.

pak andak pernah mencetuskan 'kecoh besar' sedikit masa lalu di daerah temerloh apabila beliau tidak membaca khutbah maupun doa yang disediakan oleh jabatan agama islam pahang ketika menjadi khatib di situ, tetapi sebaliknya membaca siri khutbah dari masjid rusila.

pak andak merupakan pengagum soekarno dan para pemimpin berani lain yang pernah mencabar kebobrokan dunia masing-masing demi kebaikan dan keadilan masyarakat mereka.

ini tidaklah memeranjatkan kerana ketika pasukan tentera semut, angkatan pemuda insaf, berlatih berkawad di padang kampungnya - yang berkebetulan terletak betul-betul di hadapan rumah beliau - di bawah pimpinan ishak hj muhammad dan ibrahim hj yaakob, pak andak sudah remaja belia.

beliau disahkan mengidap barah paru-paru pada 30 disember tahun lepas dan hari ini pak andak telah kembali menemui tuhannya sewaktu berusia 78 tahun dengan aman dan reda.

kali terakhir saya bertemu beliau ialah ketika saya datang menziarahinya di rumah beliau sedikit masa lalu. saya berkesempatan berborak dan melayannya makan dan minum. beliau mengadu tidak selera makan. saya cuba menggiatnya supaya makan, walaupun sedikit.

pak andak adalah 'orang masyarakat'. dia biasa bersama-sama orang banyak. justeru, terlantar di katil sakit dan 'keseorangan' begitu, bukanlah idea atau keadaan yang serasi dengannya, fikir saya ketika itu.

beliau bercerita bahawa ketika di hospital, selera makannya ada dan setiap hari para misi akan datang bertanyakan menu makan yang diingininya. saya sempat berseloroh dengan isteri beliau, mak andak, supaya melakukan perkara yang sama, iaitu bertanyakan menu makan yang beliau ingini setiap hari sebegitu.

sewaktu beliau masih boleh bergerak bebas dan memandu, saya berkesempatan minum bersama-samanya di restoran al-jalal, jalan bahagia. beliau sentiasa bersemangat dan lantang bercakap tentang masyarakat, politik dan negara seperti selalu. itu kali terakhir saya minum dengannya.

beliau disemadikan selepas solat asar di tanah perkuburan kampung buntut pulau yang terletak menghadap padang kawad api itu bersama-sama ramai anak tempatan lain yang pernah mencabar dunia dengan cara masing-masing.

di situ jugalah disemadikan arwah tarmizi mat zain@mizi dengkot dan kang dua beradik, iaitu firdaus@tasan dan aizat@segar. mereka juga pernah mencabar dunia dengan cara mereka sendiri.

duduk tepi perigi
ingat jangan leka
hidup biar berani
tanda kita jaga.


duduk tepi perigi
ingat jangan alpa
ambil suluh hati
terangi kampung kita.


duduk tepi perigi
ingat jangan lupa
hidup berani berbakti
tidak mati saja.


selamat jalan pak andak dan anak-anak dunia yang berani. sehingga berjumpa lagi.

-----------------------------
Nota foto: padang kampung buntut pulau. tanah perkuburan terletak di sebelah kiri, sementara rumah arwah di sebelah kanan, di belakang barisan pokok kelapa.

4 comments:

Anonymous said...

No22 Islamic Street

Bukan senang menemui orang yang hidupnya bukan hanya utk diri sendiri tetapi hidupnya juga untuk org lain.
Bak kata cikgu saya yg sy tak tahu dia kutip ayat ini dr mana: "Orang yg hidupnya untuk orang lain (berjuang) dia tidak akan mati, umurnya sepanjang perjuangan itu walaupun jasadnya sudah tiada"
Dan...membaca kisah Pak Andak ini juga membuatkan sy teringat dialog hero poyo (Herotio) dalam CSI Miami:"Kalau kita tidak bersatu, dipenghujung hari kita akan mati sendirian" (begitula lbh kurang).
Pak Andak, walaupun sy tidak mengenali beliau seperti mana tuan pokok hujan tetapi sy yakin beliau terus hidup dan tidak bersendirian. Alfatihah dan takziah kepada Amiruslan sekeluarga.

p/s: Tuan pokok sepatutnya turut menyatakan bila dan bersama siapa gambar padang kampung buntut pulau itu diambil. Sekutu saya tuan pencuri tentu bersetuju.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Orang berani ialah orang yang menerima hidup sebagai anugerah - Mario Puzo, Fools Die.

Dan Tuan No.22IS, Horatio Cane bukan hero poyo dari aspek mana pun - dia orang yang khatam gaya pakai spek hitam.

Tuan SP acap cakap yang generasi kita sudah bermula menghantar wakil ke tanah kubur. Arwah Pak Andak sebenarnya generasi ayah-ayah kita yang semakin sedikit sebenarnya.

Saya sendiri bulan lepas menghantar adik (Solahuddin) yang meninggal ketika berusia 34 tahun. Dia yang bongsu tetapi dia yang mendahulukan.

Adapun bab padang Kg Buntut Pulau itu - keterujaan saya sebenarnya Tuan No.22IS sedikit beralih kepada rumah-rumah yang berhadapan (seberang jalan) dengan padang itu - kerana di situ pernah, atau masih? tinggal Raja Zaleha ..,

Adapun siapa atau mengapa nama Raja Zaleha ini saya sebut kembali - biarlah ia kekal dalam lipat kenangan dan sebagai suatu tanda tempa bahawa suatu ketika dahulu - saya pernah bara dan berdosa. (Pak Samad Said, Jerkah Setinggan 77)

Kerani Tua Beruban said...

Tuan SP,
Yang pergi tidak akan kembali
Yang tinggal hanyalah kenangan
Yang tinggal hanyalah harapan
Kenangan yang tinggal
Jadikanlah harapan untuk kita melangkah
Jauh ke hadapan
Semoga hidup kita dikira dihujung zaman.

ps - salam buat Tuan Pencuri Kota Baghdad. Saya akan ke kota tuan dua pekan lagi untuk bertanya siapa sebenarnya Raja Zaleha..?

syed putra ahmad said...

ya tuan ktb, molek sangatlah tu. saya pun ingat-ingat lupa tentang gerangan cik siti tuan pkb itu.