Tuesday, June 15, 2010
hassan hj shukri (1939-2010)
saya berkesempatan mengenali almarhum ustaz hassan shukri secara bersemuka beberapa kali. pertama, di balai islam kg sungai rabit, temerloh pada lewat 1970-an ketika beliau datang berceramah di markaz pertama pas di kawasan temerloh itu.
kali kedua ialah ketika saya menuntut di ibu kota pada awal 1980-an dan kali terakhir pada pertengahan tahun lepas dalam beberapa sesi mesyuarat jawatankuasa penulisan buku sejarah pas di ibu pejabat harakah, kuala lumpur.
dalam kesemua pertemuan ini dan daripada kelibat beliau dalam sejarah politik dan pergerakan islam yang panjang di negara ini, sudut dirinya yang paling memberi kesan kepada saya, ialah wajah ceria dan sikap positifnya yang seolah-olah tak bertepi itu.
sebagai antara aktivis dan pemimpin paling kanan dalam pas, keperitan zaman-zaman awal yang dilalui beliau, menjadikan positivisme dan sikap percaya diri itu sebagai sifat kekal dalam dirinya. semangat dan daya hidupnya sentiasa membuak-buak dan cergas.
ketika berpeluang beberapa kali mendengar beliau bercerita tentang kesukaran zaman tersebut, saya percaya, apa-apa yang dihadapinya pada zaman kini hanyalah buah-buah perjuangan silam yang manis-manis belaka, sehinggalah ketika beliau kembali kepada tuhannya hari ini, iaitu sehari selepas beliau pulang daripada muktamar parti yang digendong dan dipupuknya sejak sekian lama itu.
hakikat bahawa beliau masih boleh dan bersedia memandu dari kota baru pada umur 71 tahun atas nama perjuangan dan parti menceritakan segala-galanya tentang manusia bernama hassan hj shukri ini.
barangkali, sama seperti almarhum ayahanda saya sendiri yang beria-ria mahu pergi ke pertemuah para penulis di ibu kota walaupun dalam keadaan uzur, lalu pulang ke rahmatullah dua hari selepas itu, almarhum ustaz hassan shukri juga begitu - mahu melihat pohon yang ditanamnya buat kali terakhir; mahu bersua muka dengan kawan-kawan buat kali penghabisan - bagi mengesahkan komitmen masing-masing yang tak pernah padam itu kepada perjuangan dan cita-cita. mahu hidup dan mati sepuas-puasnya; tanpa ralat, tanpa kecewa.
sebagai editor di unit buku harakah, saya sudah lama merancang untuk menerbitkan memoir almarhum serta beberapa orang lain tokoh awal pas bagi merakamkan sejujurnya segala pengalaman dan sudut pandangan mereka tentang diri mereka sendiri, pas dan masyarakat serta politik malaysia amnya.
projek memoir ini sentiasa berada dalam fikiran saya kerana peri-pentingnya pengalaman tersebut dicatatkan sebagai rakaman sahih dan sah daripada mulut orang-pertama, bukannya pandangan orang lain tentangnya.
keberadaan keperluan projek itu dalam fikiran saya adalah sama kerap dan beratnya dengan keberadaan kebimbangan dalam hati saya, kalau-kalau almarhum dan tokoh-tokoh lain itu pergi dahulu sebelum sempat segala khazanah pengalaman itu dirakamkan.
malangnya, pelbagai hambatan dan, paling utama sekali, kelengahan saya sendiri telah menafikan peluang, malah tanggungjawab, menyempurnakan projek tersebut.
lalu kerananya hilang sudah antara bintang-bintang di langit bangsa dan negara sebelum sempat cahayanya diabadikan untuk ingatan, teladan dan warisan generasi berzaman. mahu tidak mahu, saya terasa berdosa atas kegagalan itu.
maaf banyak dan selamat jalan ustaz hassan hj shukri - guru, orang tua dan penunjuk jalan. assalamu'alaikum, wr, wb.
bintang di langit tinggi
berkelip tidak berhenti
tiada siapa peduli
tersilau datangnya pagi.
bintang di langit tinggi
manusia yang punya hati
hidup menabur bakti
berbudi bersetia janji
tertawar bisa berduri
mendingin laut berapi
ustaz hassan shukri
memikul garam berpeti
perginya tidak berganti.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
7 comments:
Pencuri Kota Baghdad
Kudus & sebak dada membaca.
Sebagai dagang di Kg Padang Balang sekitar tahun 90an, susuk arwah dengan baju putih pagoda di laman melewar yang menyapa dan disapa adalah manifestasi pimpinan pas generasi beliau.
Selamat pergi dulu tuan.
Dan pencuri berdosa ini pasti sari senyuman laman melewar turut pergi bersama-sama tuan.
Setiap yang berada di sini pasti akan kembali ke sana. Apa pun susuk yang kembali kali ini akan tiada penggantinya. Keperitan dan kepayahan orang lama seperti allahyarham merintis perjuangan tidak akan dapat dirasai generasi kini. Usaha Harakah untuk menerbitkan memoir para pemimpin PAS harus diberi perhatian khas oleh PAS sendiri supaya generasi baru dapat dididik erti sebenar perjuangan dan ianya bukanlah semudah yang disangka.
Selamat kembali Ustaz dan semoga rohmu ditempatkan bersama roh para solihin.
PS - Tuan PKB, di laman melewar itulah juga tuan membawa saya mendekati perjuangan PAS. Akan saya kenang sepanjang hayat.
Pencuri Kota Baghdad
Saya sekadar membawa Tuan KTB ke lokasi - namun yang mengisi jiwa tuan dengan perjuangan ialah diri tuan sendiri.
Cuma lokasi itu disebut oleh Tuan Sasterawan Negara Samad Said sebagai "orang yang mahu memahami erti perjuangan harus membilas kaki di Taman Melewar .."
Kini susuk sari lokasi itu telah kembali ke Rahmatullah.
Dan PAS sendiri sudah punya pejabat agung tersergam di tengah-tengah resam metropolis.
Saya dengar markas tarbiyyah itu akan bertukar menjadi sebuah institusi.
Barangkali tiba masanya Tuan SP menjenguk merakam gambar seraya menulis sebuah epilog kudus di pokok-hujan perihal suatu lokasi yang begit intim dengan jiwa raga PAS.
Epilog itu nanti pasti menjadi tinta tanda serta mewakili iltizam serta budi arwah Ustaz Hassan Shukri buat pedoman.
Pencuri ini sudi Tuan SP!
Huluran tangan Tuan PKB molek sangatlah disambut.
Tuan PKB yang pernah berdagang di Padang Balang, tentunya mempunyai banyak kisah silam tentang Melewar yang boleh dikongsi bersama.
Jangan lengah Tuan SP. Esok belum tentu kita berada di sini.
seharusnya tuan PKBlah yang merakamkan semuanya, dia pernah bermukim di sana tuan KTB. saya bersedia memberi ruang.
Samada Tuan SP atau Tuan PKB merakamkan kisah silam Melewar itu pada saya tidaklah sepenting sejarah itu sendiri. Walau bagimanapun tentunya dalam hal ini, sebagai editor buku Harakah, Tuan SP punyai autoriti untuk memulakan projek. Mungkin muktamar akan datang sebagai target.
ya tuan ktb, saya pun memang berharap dan berfikir begitu. terima kasih.
Post a Comment