Friday, February 10, 2012

Selasa bersama Morrie (3)

…sambungan, Silibus

ALS adalah umpama lilin yang terpasang; ia mencairkan saraf anda dan menjadikan tubuh anda segumpal lilin. Selalunya, ia bermula pada bahagian kaki dan beransur-ansur naik ke atas. Anda hilang kawalan ke atas otot peha, lalu menyebabkan anda tidak dapat menyokong tubuh untuk berdiri. Anda hilang kawalan ke atas otot badan, lalu menyebabkan anda tidak boleh duduk tegak.

Dan akhirnya, jika anda masih hidup, anda akan bernafas melalui tiub melalui lubang di tekak, sementara jiwa anda, yang penuh sedar, terpenjara dalam sebuah kelongsong yang lumpuh. Anda mungkin boleh mengenyitkan mata, atau mengecap lidah, seperti dalam filem fiksyen sains, seorang manusia yang terpenjara dalam tubuhnya sendiri. Keadaan ini akan berlaku dalam tempoh tidak lebih lima tahun dari hari anda mula mengidap penyakit itu.

Doktor Morrie menjangka dia ada dua tahun lagi.

Morrie tahu dia ada kurang daripada itu.

Tetapi profesor tua saya telah membuat keputusan yang penting, iaitu setelah dia merumuskan pada hari dia keluar dari pejabat doktor dengan sebilah pedang terhunus di tengkoknya. Apakah saya akan mereput lalu hilang, atau saya memanfaatkan sepenuhnya masa yang berbaki? Dia bertanya dirinya.

Dia tidak mahu mereput. Dia tidak akan berasa malu untuk mati.

Sebaliknya, dia akan menjadikan kematian projek terakhirnya, titik tumpuan hari-hari akhirnya. Oleh sebab semua orang akan mati, dia boleh menjadi sangat bernilai, bukan begitu? Dia boleh menjadi kajian. Sebuah buku nota manusia. Kajilah saya dalam perjalanan menuju kematian yang perlahan dan penuh sabar. Lihatlah apa yang berlaku kepada saya. Belajarlah bersama-sama saya.

Morrie akan berjalan di jambatan terakhir antara hidup dan mati, dan akan mengisahkan perjalanan itu.

Semester musim luruh itu berlalu dengan cepat. Bilangan pilnya bertambah. Terapi menjadi rutin tetap. Para jururawat mengunjungi rumah Morrie bagi merawat kakinya yang semakin lemah, bagi mengekalkan keaktifan otot-ototnya, membengkokkannya ke belakang dan ke depan seperti orang mengepam air dari perigi.

Pakar urut datang seminggu sekali bagi melunakkan kekejangan yang keras dan konstan yang dirasainya. Dia menemui guru-guru meditasi, menutup mata dan menjuruskan fikirannya sehingga dunianya mengecil ke dalam satu nafas, masuk dan keluar, masuk dan keluar.

Pada suatu hari, dengan tongkat di tangan, dia terlanggar susur jalan lalu jatuh ke tengahnya. Tongkat digantikan dengan walker. Semakin badannya melemah, perjalanan dari dan ke tandas menjadi terlalu meletihkan, jadi Morrie mula membuang air kecil ke dalam sebuah bikar besar. Dia perlu menyokong dirinya ketika itu, bermakna orang lain harus memegang bikar tersebut sementara Morrie memenuhkannya.

Kebanyakan kita akan berasa malu akan semua itu, terutama pada usia Morrie. Tetapi Morrie tidak seperti kebanyakan kita. Apabila sesetengah kawan rapatnya datang menziarah, dia akan berkata, “Dengar, saya hendak kencing. Boleh anda tolong? Anda ok dengan itu?”

Selalunya, dan ini memeranjatkan diri mereka sendiri, mereka ok.

Malah, Morrie menerima semakin ramai pelawat. Dia ada kumpulan perbincangan tentang kematian; apa maknanya yang sebenar, bagaimana masyarakat sentiasa takutkannya tanpa benar-benar memahaminya. Dia memberitahu kawan-kawan bahawa, jika mereka sememangnya mahu membantunya, mereka tidak harus meladeninya dengan rasa simpati, tetapi dengan ziarah, panggilan telefon, berkongsi masalah – sebagaimana mereka selalu berkongsi masalah, kerana Morrie memang seorang pendengar yang sangat baik.

Di sebalik apa yang sedang berlaku kepada dirinya, suara Morrie sentiasa kuat dan mengasyikan, dan mindanya membuak-buak dengan pelbagai perkara. Dia bertegas mahu membuktikan bahawa perkataan ‘menghampiri mati’ tidaklah sama maknanya dengan ‘tidak berguna’.

Tahun baru datang dan pergi. Walaupun dia tidak pernah menyatakan kepada sesiapa pun, Morrie tahu bahawa tahun itu adalah tahun terakhir hidupnya. Dia menggunakan kerusi roda sekarang, dan dia melawan waktu untuk menyebutkan semua perkara yang mahu diperkatakannya kepada semua orang yang dikasihinya. Apabila seorang kawan di Brandiers mati mengejut kerana serangan sakit jantung, Morrie pergi ke majlis pengebumiannya. Dia kembali ke rumah dalam keadaan sugul.

“Sayang sekali”, katanya, “semua kata-kata yang indah daripada semua orang itu, tetapi Irv tidak mendengarnya sama sekali”.

Morrie ada idea yang lebih baik. Dia membuat beberapa panggilan telefon. Dia memilih tarikhnya. Dan pada suatu petang Ahad yang dingin, dia disertai di rumahnya oleh sekumpulan kecil kawan dan keluarga untuk upacara ‘pengebumian hidup’. Setiap mereka bercakap dan menyuarakan penghargaan kepada profesor tua saya. Sebilangan mereka menangis. Sebilangan yang lain ketawa. Seorang wanita membaca sajak:

“Sepupuku yang dikasihi dan mengasihi…
Hatimu yang abadi
Sedang kau bergerak melalui masa, selapis demi selapis
Tunas sequoia…”


Morrie menangis dan ketawa bersama-sama mereka. Dan semua rasa hati yang tidak pernah dapat kita luahkan kepada orang yang kita kasihi, Morrie luahkan pada hari itu. Upacara ‘pengebumian hidupnya” sangat berjaya.

Cuma Morrie belum mati lagi.

Malah, bahagian paling luar biasa kehidupannya baru sahaja hendak bermula.

--------------
…bersambung, Pelajarnya

No comments: