Tuesday, February 14, 2012

Selasa bersama Morrie (5)

…sambungan, Pelajarnya

Selepas pengebumian pakcik, hidup saya berubah. Saya berasa seolah-olah masa tiba-tiba menjadi amat berharga, air tercurah di longkang terbuka, dan saya pula tidak boleh bergerak cukup cepat. Tiada lagi muzik di kelab-kelab malam separuh-penuh. Tiada lagi penulisan lagu di apartmen saya, lagu-lagu yang tidak akan didengari sesiapa.

Saya kembali belajar. Saya memperoleh ijazah sarjana dalam bidang kewartawanan, dan menerima kerja pertama yang ditawarkan, sebagai penulis sukan. Daripada mengejar kemasyhuran diri sendiri, saya menulis tentang atlet-atlet terkenal mengejar impian mereka. Saya bekerja untuk akhbar-akhbar, dan menulis bebas dengan majalah.

Saya bekerja pada kelajuan yang tidak mengenal waktu, tiada had sempadan. Saya akan bangun pagi, menggosok gigi dan duduk mengadap mesin taip dengan pakaian yang sama semasa saya masuk tidur. Pakcik saya bekerja untuk sebuah syarikat dan membencinya – perkara yang sama, setiap hari – dan saya bertekad untuk tidak berakhir sepertinya.

Saya berkejaran dari New York ke Florida dan akhirnya bekerja di Detroit sebagai kolumnis di Detroit Daily Press. Selera sukan di kota itu amat luar biasa – mereka ada pasukan profesional dalam futbal, bola keranjang, besbol dan hoki – dan ia bertepatan dengan cita-cita saya.

Dalam tempoh beberapa tahun, saya bukan sahaja menulis kolum, tetapi turut menulis buku-buku sukan, mengadakan program radio, muncul secara kerap dalam TV, mengemukakan pandangan tentang pemain futbal yang kaya atau program sukan kolej yang indah khabar daripada rupa. Saya adalah sebahagian daripada ribut media yang kini melanda negara. Saya orang penting yang dikejar ramai.

Saya berhenti menyewa. Saya mula membeli. Saya membeli sebuah rumah di atas bukit. Saya beli beberapa buah kereta. Saya melabur dalam stok dan membina portfolio. Saya meluncur pada gear lima, dan semua yang saya buat, saya buat tepat waktu. Saya bersenam seperti pelari Olimpik. Saya memandu kereta seperti pelesit. Saya membuat wang lebih daripada apa yang dapat saya gambarkan.

Saya bertemu dengan seorang wanita berambut gelap bernama Janine, yang mengasihi saya walaupun jadual saya ketat dan saya pula sering tiada. Kami berkahwin selepas tujuh tahun bercinta. Saya kembali bekerja seminggu selepas perkahwinan kami. Saya memberitahunya – dan juga diri sendiri – bahawa suatu hari kelak kami akan mempunyai keluarga, sesuatu yang begitu diinginya. Tetapi hari itu tidak kunjung tiba.

Sebaliknya, saya tenggelam dalam pencapaian demi pencapaian, kerana dengan pencapaian saya percaya saya dapat mengawal keadaan. Saya boleh memerah setiap titik kegembiraan sebelum saya sakit dan mati, seperti pakcik sebelum saya, yang berdasarkan perkiraan saya adalah takdir diri saya juga.

Berkenaan Morrie pula? Saya adalah terfikir tentang dia sekali sekala, perkara-perkara yang diajarnya mengenai ‘menjadi manusia’ dan ‘berhubungan dengan orang lain’, tetapi ia sentiasa terasa begitu jauh, seolah-olah daripada kehidupan yang lain. Sejak sekian lama, saya membuang sahaja semua surat yang datang dari Universiti Branders, dengan andaian bahawa mereka hanya mahu meminta wang.

Jadi saya tidak tahu tentang penyakit Morrie. Orang-orang yang mungkin boleh memberitahu saya tentangnya telah lama dilupakan, nombor telefon mereka tertimbus dalam kotak-kotak barang lama di atas loteng.

Ia mungkin kekal begitu, sekiranya saya tidak memetik-metik saluran TV pada suatu lewat malam, apabila sesuatu menarik pendengaran saya…

...bersambung, Audiovisual

No comments: