Thursday, February 16, 2012

Selasa bersama Morrie (8)

Orientasi

Sewaktu saya memusingkan kereta sewaan ke jalan rumah Morrie di Newton Barat, sebuah subbandar yang tenang di Boston, saya memegang segelas kopi di sebelah tangan dan telefon bimbit antara telinga dan bahu saya. Saya bercakap dengan penerbit TV mengenai sebuah program yang kami sedang usahakan bersama.

Mata saya bergerak dari jam digital – penerbangan balik saya dalam beberapa jam lagi – ke nombor-nombor peti surat di jalan yang dibarisi pokok itu. Radio kereta terpasang – stesen berita. Beginilah cara saya bekerja – lima perkara dalam satu masa.

“Putar balik pita itu”, kata saya kepada penerbit. “Saya mahu mendengar bahagian itu sekali lagi”.

“Ok”, katanya. “Tunggu sekejap”.

Tiba-tiba saya berada di depan rumah yang dicari. Saya menekan brek, lalu menumpahkan kopi ke riba. Apabila kereta berhenti, saya terpandang sebuah pokok maple Jepun yang besar dan tiga bentuk sedang duduk berhampirannya di jalan masuk ke rumah itu, seorang lelaki muda, seorang wanita separuh umur di sisi seorang lelaki tua yang kecil di atas kerusi roda.

Morrie.

Sebaik sahaja terpandang profesor tua saya itu, saya gamam.

“Helo?”, kata penerbit dalam kereta saya. “Kita terputus ke…?”

Saya tidak bertemunya selama enam belas tahun. Rambutnya lebih nipis, hampir putih, dan mukanya cengkung. Tiba-tiba saya berasa seperti tidak bersedia untuk pertemuan itu – paling jelas, saya di gagang telefon – saya berharap dia tidak perasan ketibaan saya, supaya saya boleh terus memandu beberapa pusingan lagi bagi menyudahkan urusan saya, sekali gus menyediakan diri.

Tetapi Morrie, versi baru lelaki yang lusuh ini yang pernah saya kenali suatu waktu dahulu, tersenyum memandang kereta saya, tangannya tertaup di pangkuan, menunggu saya muncul.

“Hei?”, kata penerbit lagi. “Anda ada tu?”

Demi masa kami bersama, demi segala kemurahan hati dan kesabaran Morrie terhadap saya masa muda, saya sepatutnya meletakkan telefon dan melompat keluar dari kereta, berlari, memeluknya dan berkata helo.

Sebaliknya, saya mematikan enjin dan menggelonsor ke bawah kusyen kereta seolah-olah mencari sesuatu.

“Ya, ya, saya ada”, bisik saya, dan meneruskan percakapan dengan penerbit TV itu sehingga kami selesai.

Saya berbuat apa yang telah terbiasa saya buat: saya uruskan kerja saya, hatta sewaktu profesor saya yang nazak sedang menunggu di laman rumahnya. Saya tidak berbangga dengan perbuatan itu, tetapi itulah yang saya buat.

Sekarang, lima minit kemudian, Morrie sedang memeluk saya, rambutnya yang menipis menggesel leher saya. Saya memberitahunya bahawa saya mencari kunci, lalu menyebabkan saya agak lama di dalam kereta tadi. Saya memeluknya lebih kuat lagi, seolah-olah saya dapat merenyukkan bohong kecil itu.

Walaupun matahari musim bunga agak panas, dia memakai jaket adang angin, sementara kakinya dilitupi selimut. Dia berbau sedikit masam. Kadang-kadang orang yang banyak makan ubat berbau begitu. Oleh sebab mukanya tertekan rapat ke muka saya, saya dapat mendengar nafasnya yang berat di telinga.

“Kawan lama”, bisiknya, “anda kembali akhirnya”.

Dia menggoncang badan kami berdua, seperti tidak mahu melepaskan, tangannya mencapai siku saya sewaktu saya menunduk ke arahnya. Setelah sekian lama, saya terkejut akan kemesraan itu. Akan tetapi, di sebalik tembok batu yang telah saya bina antara masa kini dan masa silam, saya terlupa tentang betapa rapatnya kami suatu masa dahulu.

Saya teringat hari penyampaian ijazah, beg bimbit, air matanya ketika saya pergi. Saya menelan air liur kerana jauh di sudut hati, saya tahu bahawa saya bukan lagi pelajar pemberi hadiah yang baik yang diingatinya.

Saya hanya berharap bahawa dalam masa beberapa jam akan datang itu, saya dapat membohonginya.

Di dalam rumah, kami duduk di sebuah meja makan walnut, di sisi sebuah tingkap yang memandang keluar ke rumah jiran. Morrie gelisah di kerusi rodanya, cuba mendapatkan kedudukan yang lebih selesa. Seperti biasa, dia mahu menjamu saya. Saya kata ok.

Seorang pembantu, wanita Itali berbadan tegap bernama Connie, memotong roti dan tomato, dan membawa masuk bekas makanan berisi salad ayam, humus dan tabouleh.

Dia juga membawa pil. Morrie memandangnya dan mengeluh.

Matanya lebih cengkung daripada daripada apa yang saya ingat, tulang pipinya juga lebih tertonjol. Ini menjadikan wajahnya nampak lebih keras, tua – sehinggalah dia senyum, tentu-tentunya, dan pipinya yang merebeh itu terangkat seumpama tirai.

“Mitch", katanya perlahan, “anda tahu saya nazak”.

Saya tahu.

“Baik”, Morrie menelan pili-pilnya, meletakkan gelas kertasnya, bernafas dalam-dalam, lalu melepaskannya keluar.

“Mahu saya beritahu bagaimana rasanya?”

Bagaimana rasanya? Mati?

“Ya”, katanya.

Tanpa saya sedari, kelas terakhir kami baru saja bermula.

@ @ @

Waktunya tahun pertama saya. Morrie lebih tua daripada kebanyakan pensyarah, dan saya lebih muda daripada kebanyakan pelajar, kerana meninggalkan sekolah tinggi setahun lebih awal. Bagi menebus umur muda saya di kampus, saya memakai baju peluh lama, bertinju di gim berhampiran dan berjalan dengan rokok yang tidak bernyala di bibir saya, walaupun saya tidak merokok.

Saya memandu sebuah Mercury Cougar lama, dengan tingkap terbuka dan muzik yang kuat. Saya menonjolkan watak keras – tetapi kelembutan Morrielah yang menarik saya, dan oleh sebab dia tidak memandang saya sebagai budak yang mahu nampak lebih hebat daripada yang sebenar, saya relaks.

Saya menyudahkan kursus pertamanya itu dan mendaftarkan diri untuk kursus berikutnya. Dia pemberi markah yang pemurah; dia tidak mementingkan gred. Pada suatu ketika, katanya semasa Perang Vietnam, Morrie memberi semua pelajarnya markah ‘A’ bagi memastikan mereka mendapat penangguhan pelajar.

Saya mula memanggil Morrie “Coach” sebagaimana saya menggelar jurulatih trek sekolah tinggi saya. Morrie menyukai nama panggilan itu.

“Coach”, katanya. “Baik, saya akan jadi jurulatih anda. Dan anda boleh menjadi pemain saya. Anda boleh bermain semua bahagian kehidupan yang indah-indah itu yang sudah terlalu tua untuk saya sekarang”.

Kadang-kadang kami makan bersama di kafetaria. Morrie lebih selekeh daripada saya, dan ini menggembirakan. Dia bercakap, bukannya menguyah, ketawa dengan mulut terbuka luas, meluahkan buah fikiran yang mengujakan dengan mulut penuh salad telur, dengan cebisan-cebisan kuningnya memenuhi giginya.

Ia menyebabkan saya tertawa. Selama saya mengenalinya, ada dua perkara yang sangat ingin saya lakukan: memeluknya dan memberinya kain pengelap mulut.


…bersambung, Kelas

No comments: