Monday, March 15, 2010

Berjalan Berdongak

Lelaki kita bila berduit
Angannya panjang tinggi melangit
Bawaklah kereta macam pelesit
Rumah dibina sebesar bukit
Otak celaru fikiran berbelit
Amatlah pandai kelit-mengelit
Telunjuk lurus kelingking berkait
Orang dipandang semuanya kenit
Kulit muka seteballah tumit
Urusannya banyak semuanya sulit
Di pentas kuasa dia menyelit
Bercakap Inggeris bukti up-to-date
For you sir, i’ll never be late
If everything works well, for you adalah sikit
Disorot lampu ekor terselit
Pantang terpandang gadis yang genit
Badan menggeliat mata berkenyit
Janji ditabur umpan dikait
Dosa pahala just have to wait
Adat budaya terasa menghimpit
Teman sahabat lari mencicit
Dialah enggang akulah pipit
Terasa macam budak ketumbit
Balik ke rumah jalan berjinjit
Dialah mangsa dialah pesakit
Badan letih minta dipicit
Fikiran berat mahu diulit
Anak isteri jangan mendecit
Kasih pedoman diganti ringgit
Rumah yang luas terasa sempit
Anak yang bujang keluar merempit
Anak yang dara mengidam dikepit
Mulut isteri berkumatlah kamit
What you can do, i too can do it.

Itulah tanda bangsa yang sakit
Masa hadapan nampaklah perit
Orang menanam awak berjoget
Orang menuai awak menjerit
Seperti ditangkap ular berbelit
Badan terpaku mata berkelip
Mukalah pucat lidah tergigit
Akibat mengikut syaitan dan ifrit
Telanlah penawar walaupun pahit
Tali yang lurus darilah langit
Dada lapang tidak terhimpit
Mata memandang tidaklah senget
Akal menimbang tidaklah lengit
Hidup di dunia tidak tersepit
Kotor dan noda tidak terpalit
Kasih dan rahmat datang menggamit
Pesaka untuk cucu dan cicit
Tidak terputus tidak terbelit
Menuju senang berdikit-dikit
Ke tepian berenang ke hulu berakit
Berjalan di bumi dongaklah ke langit.

8 comments:

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Sekadar catatan malam,
sekali lagi upaya Tuan SP memerihalkan keadaan memang pesona natijahnya ...

... tapi ..,

apa bezanya
dengan Metro dan Kosmo
yang saban hari
membobrokkan bangsa
menghina warga
menghindar agama
mensewang negara.

Aku masih memilih
untuk bertahan di kubu.

dan mengunci gigi
daripada bertanya
kepada sang ketua ...

... bilakah bantuan akan tiba?

... bilakah hari kemenangan?

aku memilih
untuk bercerita
atau mendengar cerita
perihal
pahlawan
serikandi
penyair.

Anonymous said...

tuan pencuri yang merupakan pendokong kuat kaum kapitalis kudus tiba-tiba beralih angin bertukar arah apabila entri tuan sp kali ini merakamkan gelagat serong lelaki yang berduit.

ketika dalam entri orang pulang, tuan pencuri mempertahankan perempuan berwang kerana ia menguntungkan sebagai sumber hibah dan mulusnya jiwa lelaki kapitalis, maka kenapa pula dalam entri kini tuan pencuri tiba-tiba mengundur? bukankah perempuan berwang dan lelaki berduit sama sahaja bergunanya sebagai sumber hibah kaum tuan?

selain itu kenapa pula entri kali ini perlu disamakan dengan metro dan kosmo yang 'saban hari membobrok bangsa, menghina warga dll' seperti kata tuan?

bukankah ia sekadar catatan tentang sikap sesetengah kita yang berwang dan berduit yang lupa segala kerananya?

tuan sp sekadar mengingatkan dan mengesyorkan jalan pulang, iaitu agama dan budaya. malah jika catatan tuan sp dianggap sebagai mengkritik, ia dilakukan dengan cara yang begitu lunak sekali, malah lucu juga, sehingga ia menepati kehalusan budi bangsa sendiri, cermat dan bijaksana, seperti menarik rambut dari tepung.

dan tuan pencuri rasanya masih berhutang penjelasan tentang hujung wanita dan pangkal lelaki.

terima kasih - saya yang dipanggil hijau.

Anonymous said...

selain itu, entri orang pulang atau berjalan berdongak, tidaklah jauh bezanya dengan catatan orang tua gunung, ishak hj muhammad, yang pernah dipetik oleh tuan pencuri sedikit masa dulu.

terima kasih - saya yang dipanggil hijau.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Andaian memang suatu kelaziman cuma pada waktu yang sama kelaziman berandaian tanpa ciri emperikal itu bukanlah sandaran.

Orang sekarang kata berdasarkan persepsi.

Dan Tuan Hijau kita pun menurut persepsinya seorang yang gemar berandaian

Macam Dr Abu Hassan, gitu.

Kelewatan ini, Tuan Hijau diandaikan mengambil posisi membela Tuan SP (walau mungkin Tuan SP tidak butuh pembelaan)

Maka bertunjang persepsi, saya diandaikan "pendokong kuat kaum kapitalis kudus", walau pun mungkin lebit tepat - sebenarnya saya ketua idealognya di sini (maksudnya di pokok hujan).

Tapi saya harus suka dengan terma "kapitalis kudus" itu. Bak kata Pak Samad, kapitalis sudah diputihkan. Yang belum Ustaz Ibrahim Libya.

Selebihnya, saya turut diandaikan "tiba-tiba beralih angin", "tiba-tiba mengundur?", malah "masih berhutang penjelasan tentang hujung wanita dan pangkal lelaki."

Justru, Tuan Hijau tiba-tiba menjadi sang ceti yang menuntut itu dan ini daripada saya .., tidakkah ini andaian yang boleh kita rumus bersama-sama?

Apabila ada orang yang memilih mana-mana pendekatan atas apa-apa pun - ada orang lain memilih yang lain.

Pemerhatian Tuan SP dalam "Orang Pulang" dan "Berjalan Berdongak" walau telah saya akurkan sebagai pesona (dari aspeks persembahannya) namun masih klise dan stereotaip pendekatannya. Hatta memanjangkan kaedah Metro dan Kosmo. Malah kerja ini sudah didepani oleh Pak Sako dulu.

Tidakkah kita dituntut menyembunyikan keburukan orang lain, terutama saudara-saudara kita?

Tidak cukupkah segala pekung dan kudis yang ditayang kepada khalayak selama ini?

Walau pun tayangan itu dibuat secara penuh seni lagi zeni, hatta campurlah segala special effects filem Avatar pun ...

Kita telah lama daif.
Kita semakin teruk naifnya.

Saya lebih mendamba Tuan SP memuluk-muluskan pokok hujan dengan tinta tinggi seperti apabila dia menterjemah.

Perhatikan!
Lewat Tuan SP menterjemah - beliau memilih tema dan martabat ketinggian budi dan budaya sekali gus mengangkat insan ke tahap kekhalifahannya.

Alih-alih apabila berkarya asli (menulis) mengguna lidah ibunda, memerihal budaya bangsa - Tuan SP lebih gemar memilih tema kebobrokan ..., dan ini berlaku pada andaiannya dek pengalaman negatif yang dialaminya ...

Tuan SP yang saya kenali selama ini ialah insan yang mahu menuding jari ke langit tinggi.

Tuan SP ini wujud ketika menterjemah.

Adapun ketika berkarya asli - saya tidak begitu mengenali Tuan SP yang ini.

Seperti Tuan Hijau, saya pun mahu mahu mempertahankannya - hatta perlu menikam belakangnya perlahan-lahan dengan pisau nipis yang panjang di kedinginan malam.

Lebih daripada itu,
saya sudah letih memandang rendah.

syed putra ahmad said...

sabar tuan pencuri. di kota baghdad itulah, yang kini menjadi tapak rencana pencurian tuan, shahrezad mengambil tempoh 1001 malam untuk menyudahkan hikayat dan membebaskan kekasihnya daripada angkara oknum-oknum kuasa dan harta yang berhati serong.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Sungguh saya sang pencuri kota itu.

Malah saya turut mencuri di kota-kota lain.

Saya tidak mencuri di desa marhaen.

Cuma Tuan SP tidak tahu apa yang saya curi selama ini.

syed putra ahmad said...

ahhhh tuan pencuri, masakan apa yang dicuri harus diketahui atau mahu diberitakan. tidaklah mencuri namanya jika begitu.

dan di hujung kalam, bukankah semuanya adalah pencuri?

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Oknum kuasa berhati serong berada di kedua-kedua ekstrim kemewahan dan kemiskinan.

Mungkin nama dan wajah berbeza.

Bolehkah kita (termasuk Tuan Hijau) bersetuju bahawa medan makna "kapital kudus" boleh saja menjadi "oknum kuasa berhati mulia"?

... lantaran,

... there is no consensus on the definition of capitalism, nor how it should be used as an analytical category.

There are a variety of historical cases over which it is applied, varying in time, geography, politics and culture.

Economists, political economists and historians have taken different perspectives on the analysis of capitalism.

Scholars in the social sciences, including historians, economic sociologists, economists, anthropologists and philosophers have debated over how to define capitalism