Sunday, May 02, 2010

...selamat jalan kawan


Pagi Sabtu tadi, saya menziarahi rumah mendiang seorang kawan lama, Sivanesan, yang berkebetulan tinggal berjiran dengan saya sekarang, yang meninggal dunia malam Jumaat lepas kerana serangan jantung sewaktu sedang bercuti di Semporna, Sabah, bersama-sama isteri dan kawan-kawan beliau.

Percutian itu dirancang selepas beliau pulih daripada pembedahan pintasan jantung yang dijalaninya akhir tahun lepas.

Saya mengenali mendiang sejak sekian lama, iaitu ketika kami masih bersekolah rendah lagi. Kami ke sekolah yang sama, malah tinggal di kejiranan yang sama. Dia lebih tua setahun daripada saya.

Beliau, semasa hayatnya adalah seorang peguam yang berpejabat di Mentakab. Mendiang meninggalkan seorang balu dan tiga anak lelaki yang masih belajar. Anak sulungnya sedang menghabiskan pengajian undang-undang di London dan semasa di sekolah menengah merupakan rakan sekelas anak saya yang keempat.

Saya lebih mengingati mesra Siva sebagai kawan sepermainan ketika kanak-kanak itu. Oleh sebab kami tinggal berjiran di flet empat tingkat di belakang Hotel Swiss, Temerloh, saya kerap ke rumahnya untuk bermain karom bersama-sama beliau, Zulkifli Abu, Lim Kok Choon dan Heng Zoo Gai, kerana hanya di rumahnya ada papan karom. Saya paling muda antara kami berlima. Kami semua berjiran.

Kami juga bermain bolasepak, pakau, guli, gasing dan gambar serta berlaga ikan dan spider bersama-sama sebagaimana kanak-kanak sebaya kami pada zaman itu. Kok Choon pakar menangkap spider dan bermain guli serta gasing.

Ketika cuti sekolah, kami sering keluar bersama-sama mencari spider di hutan kecil berdekatan kilang roti berhampiran kawasan kejiranan kami. Kononnya, spider yang paling kuat ialah yang bermuka putih, ditemui dalam daun pandan dan diberi makan lalat!

Saya masih ingat, papan karom itu buatan India dan Siva selalu bercerita tentang baiknya mutu papan tersebut. Oleh kerana kerap ke rumahnya, saya mengenali mendiang bapanya sebagai uncle, emak beliau, yang berumur 80 tahun sekarang, sebagai ama.

Siva mempunyai dua abang dan dua kakak, yang saya kenali sebagai anei dan baba, serta aka dan baby, sementara adik lelaki bongsunya sebagai apen.

Melainkan adik bongsunya, Sivanathan, saya tidak tahu nama sebenar adik beradiknya yang lain. Saya hanya memanggil masing-masing dengan nama panggilan keluarga mereka.

Dalam permainan karom, pakau dan gambar, kami ada undang-undang jentik jari atau telinga bagi yang kalah dan di sinilah keseronokannya. Mendiang Siva dan Lim Kok Choon adalah ‘musuh ketat’ dalam hal jentik-menjentik ini.

Pernah satu ketika, Siva terjentik lubang telinga Kok Choon sehingga berdarah (sedikit) lalu mencetuskan perbalahan dan tuduh-menuduh antara satu sama lain. Kejadian ini akhirnya menyebabkan semua pihak yang kalah mencipta strategi melindungi telinga masing-masing dengan menekapnya untuk hanya menampakkan cupingnya sahaja sebelum dijentik oleh pihak yang menang.

Siva mempunyai tekniknya sendiri ketika menjentik telinga orang lain. Beliau akan mengusap, membelai dan memuji-muji ‘kecantikan’ telinga tersebut seumpama satu jampi serapah dan dengan mengetap bibirnya dan berlagak geram, beliau akan secara tiba-tiba zapppp telinga mangsa. Jentikan beliau memang kuat. Biasanya pemenang mendapat tiga jentikan.

Telinga Kok Choon memang menjadi sasaran Siva. Sebagai kawan berketurunan Cina, satu jentikan sudah cukup untuk menjadikan telinganya ‘merah menyala’ dan itulah yang menjadi keseronokan Siva.

Malang bagi Kok Choon, Siva berkulit gelap, jadi merahnya tidak nampak apabila tiba peluang telinganya pula menjadi sasaran, lalu beliau tidak mendapat keseronokan mengejek ‘kemerahan’ telinga Siva.

Menjentik jari pula ada teknik yang lain pula. Sebaik sahaja jari mangsa dijentik, si pemenang akan menekankan sedikit tempat yang dijentik bagi 'menguatkan' lagi kesannya. Tidaklah luar biasa selepas 10-15 kali jentikan, akan ada yang pulang ke rumah dengan jari-jari yang bengkak dan lebam! Jari hantu dan kelingking adalah jari-jari sasaran yang paling digemari pemenang.

Kami bermain bolasepak di lapangan bersebelahan dengan rumah bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Yahya Mat Seh dan juga Hotel Swiss pada sebelah petang selepas sekolah. Ia terletak betul-betul di tepi jalan besar. Hotel Swiss ketika itu menempatkan sebuah bar dan juga menyediakan khidmat pelacuran.

Kadang-kadang ketika kami bermain, akan ada beberapa bargirl yang duduk-duduk di sisi hotel di seberang jalan menghadap sisi padang kami. Kami lebih ghairah bermain kerana itu.

Atas giatan dan sorokan kami, ada juga wanita-wanita ‘pelayan’ itu yang sporting dan secara mengejek, membuka-buka paha mereka, yang lazimnya berskirt pendek itu, untuk menampakkan seluar dalam masing-masing. Lalu kami apa lagi, banyaklah slide dan aksi akrobatiknya untuk ‘menikmati’ pemandangan itu. Siva tidak ketinggalan.

Sebagai anak-anak sekolah yang semakin membesar, barangkali itulah jarak yang paling selamat antara kami dengan dunia dewasa yang penuh ‘misteri’ itu.

Siva dan Zulkifli amat menggemari buah mangga. Di sekeliling kawasan kejiranan kami terdapat beberapa pokok mangga besar yang berbuah lebat. Jadi, kegiatan melempar mangga turut menjadi kegemaran kami. Siva agak mujur orangnya. Sering balingannya akan menyebabkan kami berpesta makan mangga percuma.

Sebelum menjadi peguam, Siva bekerja di pejabat peguam terlebih dahulu. Beliau bekerja sambil belajar dan akhirnya berjaya membuka pejabat guamannya sendiri.

Daripada jumlah dan wajah rakan-rakan dewasa mendiang yang datang berziarah pagi ini, saya percaya, mereka turut berkesempatan mengenali Siva yang pernah saya kenali sebagai kanak-kanak itu, iaitu sebagai seorang kawan yang baik, lucu dan boleh diharap. Beliau baru berumur 50 tahun.

Jadi, selamat jalan kawan.

-----------------------------------
Nota foto: Ini flet kami. Rumah mendiang di No 92B Tingkat Satu (tingkat satu paling hujung sebelah kiri), sementara rumah saya di No 88A Tingkat Bawah (pintu pagar warna biru dan pintu coklat). Dulu flet ini hanya dikenali sebagai flet belakang Hotel Swiss, tapi sekarang ada nama jalannya, tak silap saya, Jalan Sinar. Di anjung rumah mendianglah kami bermain, ketawa, bergaduh, menangis dan berkomplot sebagai anak-anak yang bebas lepas dan gembira.)

11 comments:

akbajalil said...

Sayu rasanya bila membaca entri tuan kali ini. Seperti tuan, kita semua pastinya pernah melalui lorong kehidupan seperti itu. Beruntunglah tuan kerana masih berkesempatan menjalin hubungan dengan rakan sepermainan semasa kanak-kanak dahulu.

Baling buah mangga? Hah !!!

hari ribut said...

saya sedikit sebanyak menumpang kisah-kisah ini kerana abang yang juga sekelas dengan tuan.

bapa mendiang adalah sahabat baik arwah ayah saya dan saya seringkali ke rumah tersebut sambil melihat-lihat orang yang riuh rendah main karom.dan sepanjang ingatan saya sebelum 1malaysia diwar-warkan lagi kerana keakraban tersebut saya sering diisytiharkan sebagai anak angkat bapa mendiang!

syed putra ahmad said...

benar sekali tuan hr, malah team bola kami namanya ialah MECHINTA. itu tahun 70-an tu, 1malaysia tak masuk book lagi.

akbajalil said...

MECHINTA? Melayu. China. India? Hah...syahdu habis. Kalaulah saya juga ada bersama-sama ketika itu.

Apakah 1Malaysia hanya 1Slogan cuma?

syed putra ahmad said...

ye tuan hareez, baling buah mangga kat pokok tak bertuan kat area rumah kami. buahnya besar2 dan lebat pulak tu. kalau kami tak 'usahakan', jadi buruk begitu jek.

pokok yang paling bagus tumbuh betul2 tepi jalan besar, di sebelah pondok rukun tertangga! memang mencabar habis, tapi kami selambanya membalingnya.

zaman itu kan, orang lebih menghargai semangat kemanusiaan, tak legalistik macam sekarang!

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Kata operatif 70an/80an ialah "Muhibbah".

Ia lebih tulus, tidak memaksa, tidak pura-pura dan selamba.

Geng bola mendiang Siva dan Tuan SP dikenali sebagai Geng Pak Moi (nama lama Hotel Swiss?). Akbar V. V. Aboo termasuk geng ini.

Mungkin Tuan SP mahu menulis tentang 2 adik-beradik India yang sohor di Temerloh ketika itu - kedua-duanya sudah arwah.

Anonymous said...

-bukit cinta-

menarik n tertarik membaca kisah tuan sp waktu di alam kanak-kanak dahulu....

syed putra ahmad said...

tuan pkb, saya rasa tuan lebih layak bercerita tentang arwah kang dua beradik tu, saya hanya mengenali mereka lewat, iaitu setelah agak dewasa. tuan tinggal di area esso/bukit angin lebih awal, itu area tuan dan mereka warga tuan.

syed putra ahmad said...

betul tu tuan pkb, nama sebenar hotel tu ialah hotel pak mo 1, orang sebut pak moi jek. nama barnya ialah swiss bar, tapi lama-lama orang sebut hotel swiss jek, sebab barnya lebih 'terkenal'. banyak orang2 handal temerloh, termasuk cikgu mxxxxd kita yang terkenal tu, yang bergiat di situ masa tu.

syed putra ahmad said...

di sebelah hotel tu kedai ah seng rokok, member bulian kok choon, tapi kurang rapat dengan geng kome. dia ada anjing boxer yang garang nak mampus. kalau anjing tu keluar, maknanya tak main bolalah kome hari tu. kome akan bermain di situ kalau anjing tu keluar dengan muzzle kat mulut dia. kerap sangat budak2 kat situ mencicit lari kena kejar. kok choon takda hal, ada muzzle ke tidak, dia tetap handal, anjing tu yang takut ke dia.

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Al-Fatihah buat arwah Tasan dan Segar, dua beradik India asal Hindu yang memeluk Islam dan meninggal dunia dalam Islam lama sebelum orang-orang politik perlu mengHadharikan Islam dan MengSatukan Malaysia.

Mereka ada enam (6) jari di kedua-dua belah tapak tangan dan kaki iaitu dua puluh empat (24) jari kesemuanya.

Selebihnya biar Tuan SP yang bantu bicara kerana beliau juga akhirnya bermukim di kawasan Bukit Angin.