Monday, May 17, 2010

pakai olehmu sifat berani


wahai anakanda kekasih hati
pakai olehmu sifat berani
bulatkan tekad teguhkan hati
di jalan allah tempatmu mati

wahai anakanda intan dikarang
sifat berani hendaklah pegang
pantang jantan berbalik belakang
bercawat ekor dalam gelanggang

wahai anakanda buah hati bonda
sifat berani hendaklah jaga
membela hak milik sehabis daya
kalaupun mati tidak mengapa

wahai anakanda cahaya mata
beranikan hati melawan pendusta
kuatkan iman melawan penderhaka
supaya hidupmu tidak sia-sia

wahai anakanda sibiran tulang*
janganlah lari dari gelanggang
daripada malu eloklah hilang
matipun tidak dihina orang

wahai anakanda dengarlah madah
adat lelaki pantang menyerah
asal kerjamu tidak menyalah
hidup matimu di tangan allah

wahai anakanda dengarlah amanat
gagah berani jadikan sifat
pada yang benar engkau menepat
pada yang halal engkau bertempat

wahai anakanda tegakkan kepala
orang teraniaya wajib kau bela
melawan batil jangan kau jera
musuh datang jangan kau kira

wahai anakanda kuatkan tekad
lawan olehmu kerja maksiat
tegakkan syarak dirikan adat
kalaupun mati membawa manfaat

wahai anakanda ibu berperi
di dalam hidup harus berani
musuh jangan dicari-cari
bila datang engkau hadapi

wahai anakanda ingatlah allah
takutlah engkau berbuat salah
beranikan hati kerana lillah
hidup-matimu beroleh berkah.

--------------------------------
Tenas Effendy, Tunjuk Ajar Melayu, Balai Kajian dan Pengembangan Budaya Melayu dengan kerjasama Penerbit Adicita, Yogyakarta, 2006.

*sibirin tulang - anak, kekasih, buah hati, jantung hati.

Nota foto: Banjaran Titiwangsa

2 comments:

ahmadnizamhamid said...

terpaku kedua bebola mataku di kaca pc,adapun madah yang menikamsukmakalbuku.terimakasih jua tuan spa

syed putra ahmad said...

saya hanya merakamkannya kembali tuan anh. leluhur tuanlah yang mengarangnya.