Sunday, January 17, 2010

Allahu-rabbi (2)

Dengan Nama Allah,
Yang Mahapengasih, Mahapenyayang

Segala pujian bagi Allah nan mahaesa
Yang mahameliputi semesta semua,
Yang liputanNya menyangkal bicara
Dan Yang bagiNya tiada suatu pun tara.
Mahasuci dan mahamurni
Tiada terketika mahu pun terisi,
Tiada tercurai sebarang peri
Tiada tercapai sebarang budi;
Tuhan sarwa alam berganda
Yang mengambang hebat diangkasa,
Terpamir indah terjelma nyata
Dan yang terbunyi sunyi dalam rahasia;
Yang empunya arasy yang mahatinggi
Pemilik kuasa yang mahakawi,
Yang berbuat sekehendak diri
Akan segala sesuatu mahamengetahui;
Yang menjadikan kejadian semesta
Mengadakannya daripada hal tiada
Dengan titah sepatah kata
Kemudian memulangkannya kepada asalnya;
Yang memperlihatkan di alam tabii
Aneka tandaNya terlalu sani
Dari ufuk berganda ke diri insani
Menyatakan wajahNya yang mahaali;
Meskipun luhurNya jauh terala
Demi segala cita dan rasa dan indera,
Namun hampirNya begitu mesra
Lebih akrab dari aku dan kita.

Dialah Yang memberi petunjuk kepada hambaNya yang terpilih niscaya menuturi arah yang lurus dan benar; Yang memberkati mereka yang mengikrarkan keesaanNya dengan memeliharakan baginya kalimah syahadah dari kekabutan bisikan syak dan waswas; Yang memimpin mereka agar mematuhi jejak-langkah nabiNya pilihan, dan menganuti tauladan para sahabatnya mulia dengan mengarahkan langkahnya ke Jalan yang benar;Yang menyatakan diriNya kepada mereka yang memasangkan telinga dalam musyahadah dengan dhatNya dan afaalNya dan aneka sifatNya yang mahaindah dan seni-seni; Yang mengenalkan kepada mereka bahawa Dia esa pada pihak dhatNya, dengan keesaan yang menafikan kemungkinan adanya sekutu; sendiri, dengan kesendirian yang dikenali hanya oleh diriNya; tunggal tiada berbagai tiada berbanding tiada berlawan; mahaesa dan kadim tiada yang mendahuluinya, dan tiada ‘dahulu’ bagiNya melainkan yang dahulu itu Ia juga; kekal abadi tiada berkesudahan, wujud tiada hentinya, berada tiada akhirnya – bahkan adaNya kini seperti dahulu jua; dan tiada Dia terhenti dan tiadakan berhenti bagiNya diperikan dengan gelaran-gelaran keagungan yang terala.(1)

-------------------------------
(1) Syed Muhammad Naquib al-Attas, A Commentary of Hujjat al-Siddiq of Nur al-Din al-Raniri, Ministry of Culture Malaysia (1986), pg xvii-viii.

No comments: