Sunday, January 10, 2010

Allahu-rabbi

Setelah membaca pelbagai sudut pandang mengenai kontroversi penggunaan kalimah Allah oleh gereja Katolik untuk terbitan berbahasa Melayunya di Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak, saya sedia merumuskan bahawa semuanya berpunca daripada terjemahan kitab Injil yang buruk, pemalas, sewenang-wenang dan literal/harfiah oleh para penterjemahnya ke dalam bahasa Indonesia/Melayu beberapa ratus tahun yang lalu.

Dalam amali terjemahan, isu terjemahan kandungan/unsur budaya dan konteks dari satu bahasa ke bahasa yang lain akan mendedahkan upaya dan, barangkali juga, niat sebenar seseorang yang terlibat dalam bidang ini.

Dalam teori terjemahan, kandungan dan konteks budaya ini mestilah diterjemahkan daripada bahasa asal kepada bahasa penerima secara keseluruhan maksudnya, bukan hanya dengan menterjemahkan perkataan-perkataannya. Ini kerana setiap bahasa memiliki keunikannya yang tersendiri, yang mewakili budaya yang membentuk dan mendukungnya, dalam mengungkapkan sesuatu konsep, simbolisme atau lain-lain.

Terjemahan perkataan demi perkataan tidak akan berupaya menterjemahkan kandungan dan konteks budaya ini, malah ia sebaliknya akan hanya menghasilkan salah faham, bersifat janggal atau salah sama sekali.

Seseorang penterjemah yang berwibawa harus mencari padanan yang sesuai dalam bahasa penerima bagi menterjemahkan sesuatu konsep dalam bahasa asal supaya ia dapat difahami oleh pembaca terjemahan tersebut dalam konteks budaya dan bahasanya sendiri, selain mengekalkan nilai-nilai estetika atau puitis yang terungkap dalam bahasa asal itu sebaik mungkin.

Di kalangan penterjemah, terjemahan sebegini dinamakan terjemahan sejadi/natural. Ia merupakan terjemahan yang dianggap terbaik dan tidak bersifat literal atau terjemahan perkataan demi perkataan.

Antara contoh klasik adalah terjemahan pepatah, simpulan bahasa, perbandingan atau perlambangan budaya. Sebagai contoh; “Ranjau Sepanjang Jalan” oleh seorang penterjemah novis tentu sekali akan diterjemahkan sebagai “Traps All The Way”, tetapi di tangan Adibah Amin, ia menjadi “No Harvest but Thorns”. “Crime and Punishment” di tangan Mokhtar Ahmad, menjadi “Balasan Dosa”, bukan “Jenayah dan Hukuman” jika diterjemahkan secara literal.

Demikian juga perkataan saint dalam budaya Kristian tidak boleh diterjemahkan sebagai wali dalam bahasa Melayu. Selain kerana adanya perkataan khusus dalam bahasa Melayu standard untuk saint, iaitu santo, perkataan wali dalam konteks ini dalam bahasa Melayu standard membawa maksud khusus, iaitu waliullah, yang membawa maksud orang yang dipilih oleh Allah untuk mendapat pertolonganNya dengan dirapatkannya pada kehadiranNya.

Contoh lain ialah perkataan selawat yang kadang-kadang digunakan sebagai terjemahan bagi perkataan hymn dalam tradisi Kristian. Selain bersalahan dengan bahasa Melayu standard kerana hymn mempunyai terjemahan khusus, iaitu him atau gita puja, selawat pula membawa maksud khusus, iaitu doa kesejahteraan ke atas Nabi Muhammad.

Dalam konteks isu kalimah Allah, bagi saya, amat jelas penterjemah Injil ke dalam bahasa Indonesia/Melayu telah silap dari sudut ini apabila ia menterjemahkan perkataan Allah dalam kitab Injil berbahasa Arab kepada Allah juga ke dalam bahasa Indonesia/Melayu, sedangkan Allah dalam budaya dan bahasa Arab tidak mewakili konsep yang sama dalam bahasa Indonesia/Melayu.

Dalam bahasa dan budaya Arab, Allah difahami sebagai nama am bagi Tuhan Semesta Alam, sedangkan Allah dalam bahasa Indonesia/Melayu adalah nama khas bagi Tuhan orang Islam. Perkataan dalam bahasa Indonesia/Melayu yang mewakili konsep Allah dalam bahasa dan budaya Arab adalah Tuhan.

Penggunaan perkataan Allah bagi mewakili konsep Tuhan Semesta Alam dalam bahasa dan budaya Arab adalah mendahului kedatangan agama-agama Yahudi, Kristian dan Islam. Jadi tidaklah memeranjatkan sekiranya agama-agama tersebut kemudiannya menggunakan perkataan berkenaan sebagai nama Tuhan masing-masing.

Keadaan ini berbeza dengan bahasa Indonesia/Melayu. Perkataan Allah mula digunakan dalam bahasa berkenaan dengan kedatangan Islam ke rantau ini (sekitar 1000-1200 M) dengan membawa maksud Tuhan orang Islam yang Tunggal lagi Esa. Budaya dan bahasa Indonesia/Melayu tidak mengenali Allah dengan pengertian lain. Perkataan Allah yang memasuki rantau ini telah mengalami transformasi makna atau telah 'diislamkan' terlebih dahulu oleh para mubaligh dan pedagang Islam yang membawanya ketika itu.

Oleh sebab itu, penggunaan perkataan Allah untuk mewakili konsep-konsep Tuhan yang lain, dalam konteks ini agama Kristian Katolik, adalah bersalahan dengan penggunaan sejadinya dalam bahasa Indonesia/Melayu, lebih-lebih lagi apabila ia dikaitkan pula dengan konsep tritunggal agama tersebut, kerana Allah dalam bahasa Indonesia/Melayu hanya difahami sebagai Tuhan orang Islam yang Tunggal lagi Esa.

Justeru, dalam konteks keputusan Mahkamah Tinggi itu pula, bagi saya, ia adalah sesuatu yang lewah, tidak perlu, malah salah sama sekali. Ini kerana ia seolah-olah mahu memaksakan satu konsep yang membawa satu maksud tertentu dalam satu bahasa dan budaya ke atas sebuah bahasa dan budaya lain yang memahaminya dengan maksud yang berbeza pula.

Bahasa tidak tunduk kepada undang-undang, sebaliknya undang-undanglah yang harus peka dan akur kepada keunikan, kompleksiti, hukum-hukum, sejarah dan sifat berkembang bahasa itu sendiri.

Jika kedunguan ini berterusan, tidaklah mustahil sekiranya suatu hari nanti pengguna bahasa Melayu akan bertemu dengan ayat sebegini; setelah berselawat kepada Nabi dengan khusyuk dan meneliti firman Allah dalam kitab suci Bacaan Mulia dengan penuh tawaduk, maka Majlis Syura alim ulama kita telah memfatwakan bahawa meminum wain adalah diharuskan semasa majlis sambutan Maulidul Rasul.

Kata orang, "keadilan itu buta". Kata saya, "tentu ia tidak pekak juga".

Wallahu a’lam.

3 comments:

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Setakat isu ini meletus, dari warung ke kedai mamak, majlis kenduri ke sesi bual santai sama ada di kota Kuala Lumpur membawa ke pulau Langkawi turun semula ke JB - sama ada marhaen penjaja pasar malam atau sang profesor menara gading termasuk politikus hatta agamawan - tulisan Tuan SP ini boleh saya anggap sebagai mewakili satu sudut pandang yang hampir-hampir "bull-eyes", cendekia, empirikal malah menepati keperluan meletakkan sesuatu itu kena pada tempatnya jika mahu kepada kebenaran.

Ia isu bahasa serta konteknya. Ia isu yang mempunyai aspek teknikaliti yang ada rumusan dan keputusannya.

Akibat atau natijahnya begitu besar. Ia melibatkan satu kata dan kalimah yang wajib meniti di bibir terpahat di hati setiap Muslim hatta di hujung nyawa.

Sayugia saya gembira memetik sedikit tulisan Khalif Muammar @ khairaummah.com yang saya kira seiringan dengan apa yang disebut Tuan SP.

Antara lain, "Untuk memahami dengan baik ayat-ayat al-Qur’an berkaitan nama Allah, perlu difahami terlebih dahulu bahawa dalam al-Qur’an ada dua bentuk penggunaan perkataan Allah, pertama yang umum merujuk kepada maknanya dari segi bahasa; kedua yang khusus merujuk kepada penggunaannya secara teknikal (istilahi). Hal ini tidak ekslusif pada kalimah Allah sahaja tetapi juga kalimah-kalimah lain seperti solat, bahkan kufur juga. Penggunaan yang umum biasanya merujuk kepada masyarakat bukan Islam. Sedangkan penggunaan yang khusus merujuk kepada pemahaman masyarakat Islam yang telah dibentuk akidah mereka. Penggunaan yang khusus lebih banyak daripada penggunaan yang umum, ini selaras dengan banyaknya ayat-ayat yang turun merujuk kepada tahap intensif Islamisasi. Tahap Islamisasi yang intensif sebenarnya berlaku di Makkah lagi apabila konsep-konsep mendasar dan penting dijelaskan dengan panjang lebar. Dalam konteks inilah ayat-ayat seperti dalam surah al-Ikhlas, al-Kafirun, ayat Kursi dll. diturunkan agar konsepsi yang jelas tentang Tuhan dapat difahami dan dihayati oleh kaum Muslimin.

Umat Islam yang telah mengalami proses Islamisasi, baik di Arab mahupun di alam Melayu, mempunyai konsepsi yang jelas tentang Allah. Konsepsi yang jelas ini adalah kesan proses Islamisasi selama lebih 1400 tahun di Arab dan lebih kurang 1000 tahun di alam Melayu.

Cuma saya ingin memberi perspektif lain terhadap penyataan "Perkataan Allah adalah perkataan Arab yang telah wujud sebelum kedatangan Islam oleh nabi Muhammad saw."

Bolehkah kita menyatakan bahawa Islam hanya datang ketika Nabi Muhammad SAW ..?

Apakah Nabi Adam AS hingga berturutan 23 Rasul yang lain sebelum Muhammad SAW itu tidak membawa wadah Islam ..?

Apakah Rukun Iman termasuk menyakini kitab-kitab Taurat, Zabur & Injil itu satu pengesahan bahawa Islam wujud seiringan wujud manusia ..?

Apakah ketika Nabi Adam AS dibawa masuk ke syurga dan sewaktu di pintu gerbang syurga yang tertulis Kalimah Syahadat itu bertanya Gibril penghulu malaikat tentang siapakah Muhammad yang menjadi sebahagian syahadat itu - dan apabila dimaklumi - lantas menyatakan "cukuplah buat aku menjadi umat Muhammad .." bukan satu penyataan kewujudan Islam sebagai ad-deen - dan Muhammad SAW itu UtusanNYA yang melengkapi wadah Islam itu sendiri.

Maksudnya betapa hujah mengatakan "the word Allah predates Islam" sebagai alasan gunasama hanyalah suatu kedangkalan yang bermotif mencipta kecelaruan.

Wallahu' ahlam

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad

Saya kabut terfikir betapa jika berlaku satu hari nanti di dalam mana-mana penerbitan bahasa Melayu yang begini bunyinya ..,

" .. Orang Melayu yang merupakan golongan majoriti rakyat Malaysia merupakan golongan kafir yang tidak mempercayai Allah yang semuanya penghuni neraka."

" .. The Malays, the majority group among Malaysian are non believers/infidels who do not believe in God and all are hell's dwellers."

Air adalah keperluan hidup. Air yang terlalu banyak dan tidak dikawal alirnya boleh menjadi banjir yang memusnahkan.

Kerana itu kita membina empangan.

Tapi kata orang Mayan pada 2012 air tidak dapat lagi dikawal. Hatta tok sami di tanah tinggi Tibet pun sekadar mampu mengetuk loceng sementara menunggu ngauman tsunami yang melampaui gunung.

Jangankan bahtera .., Muslim Malaysia malah belum sekata walau beriman kitab yang sama.

Justru saya akan mengumpul dana.

Saya akan bersedia dengan "hot air balloon".

Setidak-tidaknya sempat juga saya mengecapi indahnya kemusnahan.

Anonymous said...

"Saya seolah-olah membaca pandangan dari seseorang yang lain" - No22 Islamic street