Thursday, January 28, 2010

trivia: sarapan pagi di kafe auntie melissa j.a

a. jemput solat hajat ke surau tuan.

b. ini sembahyang mohon niat pada allah atau allah yang esa?

a. tentulah allah yang esa. jemputan ke surau, bukannya ke chapel.

b. bukan apa, hanya mahu kepastian. dalam mood laissez faire bahasa sekarang, chapel jika ditukar ke bahasa melayu boleh sahaja menjadi surau juga.

a. tuan bermain kata-kata.

b. tidak, saya hanya mahu kepastian. jadi jemputan ini secara sah adalah untuk sembahyang mohon niat pada allah yang esa di rumah ibadat kecil orang islam, betul begitu?

a. ya, pasti.

b. baik. ini penting tuan, kerana saya ada dua buah kitabullah, sebuah yang diwahyukan kepada isa dan sebuah lagi diwahyukan kepada muhammad. begitu juga, saya ada dua set kitab selawat dan doa serta dua set pakaian keagamaan rasmi. jadi saya harus betul-betul pasti.

a. hah?

b. maaf ya, tuan orang daratan, barangkali kabut itu belum tiba ke sini. kami orang pulau harus betul-betul persis dalam hal begini. sering berlaku paderi dan imam kami tersalah rumah ibadat, acara serta makmum dan begitu juga sebaliknya, makmum tersalah pemimpin agama mereka kerana tidak persis dan terikut-ikut dengan sikap sambil lewa dan ambil mudah orang daratan.

a. jadi, tuan akan datang ke solat hajat itu?

b. insya-allahu-ahad.

3 comments:

ahmadnizamhamid said...

wah!imaginasi tuan sudah bisa melangkau 7 samudera!bukankah jika tiada kemelut ini pun sudah ada makmun yang tersasar?apakah tuan melihat ini didalam sinis lalu menuangkan dalam amarah,hanya tuan sendiri yang mafhum.pun begitu tuan buat kesekian kalinya masih suka bermain-berimaginasi (berjimak?) dengan kata-kata tanpa alasan yang cendekia sifatnya.amat malang semantik juga pilihan tuan dengan meninggalkan hujjah lain yang lebih aula.

syed putra ahmad said...

tidak tuan, saya tidak bersenda loka atau memaruh atau menyumbu sesiapa atau apa-apa.

saya hanya mematuhi wasiat orang tua saya dan dia orang tuanya, iaitu sekiranya ada terdengar guruh berderam panjang atau terlihat kabut berkampung di kaki langit, maka hendaklah bersegera ke tanah paling tinggi di kampung kami ini dengan membawa bekal makan-pakai barang se pekan dua, dan paling penting membawa sama teropong buluh pesaka turun-menurun kami.

sesampai di sana, kami hendaklah meneropong ke sekeliling untuk menaksir apa yang dibawa oleh guruh atau kabut itu, dan jika perlu ingatkan orang kampung di tempat rendah kami tentangnya dan tentang keperluan untuk bersiap-siap jika musibahnya besar.

jika perlu naik ke tanah tinggi ini untuk bertahan, maka hendaklah naik deras-deras. jika musibahnya kecil, maka kekallah bersiap-siaga di tempat masing-masing sahaja.

tanah paling tinggi itu dinamakan orang gunung, lalu kami tambahkan tahan kepadanya, kerana dalam banyak-banyak gunung yang ada, hanya gunung inilah yang menjadi tempat bertahan kami selama ini.

sekarang jika orang menggogglemap, tempat gunung bertahan kami ini boleh orang tengok dengan terang.

mengikut ceritera, dulu pun ada orang tua kami yang naik ke gunung ini dengan teropong itu, dan hasil pemerhatiannya itu telahpun dibukukan orang, oleh dbp katanya, dan menjadi bacaan budak-budak sekolah ambil periksa.

tapi sejauh mana taksirannya itu jadi kajian dan ikutan tidaklah diketahui. dah jadi bacaan klasik agaknya, dah jadi diskusi ilmiah mungkin.

tapi kami tak tahu itu semua, kami orang ulu, hanya mematuhi wasiat orang tua-tua dan berikhtiar mengingatkan orang sekampung tentang guruh dan kabut.

dan juga beringat dengan firman tuhan bahawa gunung dan bukit adalah pasak bumi tempat berpegang dan bertahan jika tidak mahu terpelanting dibawa taufan, ribut dan kabut yang dengar-dengarnya tengah berkampung di kaki langit.

wallahu a'lam

Anonymous said...

Pencuri Kota Baghdad


Bapak rugged, anak groovy,
Sedang membiak di sana sini,
Di pantai memakai bikini,
Di kubur memakai mini.

Orang-orang kampung menghadap Kiblat,
Mereka membawa komik-komik Barat,
Bermain karate, ganti bersilat,
Makan anggur, menggantikan langsat,

Gasing dibuang, dimajukan bowling,
Berasmara mereka kata necking,
Bercumbu-cumbu mereka kata pecking,
Buang Mak Inang, menggantikan dansing,

Tetapi, bila bergula dalam kencing,
Barulah teringat nak makan jering,
Terkenang kepada petai dan kerdas,
Barulah nak belajar mandi hadas.

Melayu bukan, Malaysian pun bukan,
Cina bukan, Indian pun bukan,
Inikah akar-akar yang mangaku rotan?
Atau kaca-kaca yang mengaku intan?

* Begitulah berpesannya Al-Marhum Ayahanda Ishak Haji Muhammad.

Justru perlu bertanya perihal frasa-frasa pelik berbunyi;

"tanpa alasan yang cendekia sifatnya";

"semantik juga";

"hujah lain yang lebih aula".

?????????

dan bukankah Kitabullah itu manifestasi kekuasaanNYA menganugerahi tutur lidah fitrawi lalu dikalamkan guna panduan sepanjang zaman melalui kefahaman makna mendokong amali ...

Salut buat sekian kalinya wahai Mahathir Kutty!

Betapa tuan telah berjaya ...

Orang baik-baik jadi gila

Orang rajin bertukar pemalas

Malaikat turut mengikat sayap

Jalang pun merintih lelah dan letih

Tuan SP, jangan dicari aku sepurnama dua ini. Aku menuju damai di Changkat Lobak. Mahu bersila lagi di hadapan Ayahanda. Mahu khatam sekali lagi buah pukul Stan Makkat dan Pandin Juan. Mahu meminta doa dan restu.

Aku mahu sabatikal mencuri.

Aku mahu berperang.