Thursday, February 02, 2012

Jangan oh jangan

Katakan, jangan berputus harap kerana Kekasih menghalau kau pergi; jika Dia menghalau kau hari ini, bukankah Dia akan memanggilmu esok?

Jika Dia menutup pintu di mukamu, jangan pergi; bersabarlah di situ, kerana selepas kesabaran, Dia akan menempatkan kau di kerusi kehormatan.

Dan jika Dia menutup semua jalan dan lorong untukmu, Dia kelak akan menunjukkimu denai rahsia, yang tidak diketahui orang banyak.

Bukankah bila sang penyembelih memotong kepala seekor kambing dengan pisaunya, dia tidak membiarkan sembelihannya itu; dia menyembelih, lalu dia berhenti?

Selepas semua nadi tidak lagi berbaki pada kambing itu, dia lalu mengisinya dengan nafasnya sendiri; ah kau harus lihat betapa bila nafas Tuhan mengisi wujudmu!

Ini hanyalah tamsil ibarat; sungguh rahmatNya tidak mengorbankan sesiapa, malah ia melepaskan semua daripada penyembelihan.

Dia berikan kerajaan Sulaiman kepada seekor semut; Dia anugerahinya dua dunia, dan ia tidak mengejutkan mana-mana hati.

Hatiku kembara keliling dunia dan takku temui sesiapa serupaNya; Dia menyerupai siapa? Dia menyerupai siapa?

Ah diam semua. Tanpa kata-kata Dia berikan semua wain ini untuk dialami. Dia berikan untuk dialami. Dia berikan untuk dialami. Dia berikan untuk dialami.

-------------------------------------
Jalaluddin Rumi, Mystical Poems of Rumi 1, terjemahan ke bahasa Inggeris oleh A J Arberry, The University of Chicago Press (1968).

No comments: