Silibus
Hukuman matinya tiba pada musim panas 1994. Menyorot ke belakang, Morrie tahu bahawa sesuatu yang buruk akan berlaku lama sebelum itu. Dia mengetahuinya pada hari dia berhenti menari.
Dia, professor tua saya, memang suka menari. Musiknya tidak penting. Rock and roll, pancaragam besar, blues. Dia menyukai semuanya. Dia akan memejam mata dan dengan senyuman bahagia mula bergerak menurut tafsiran rentaknnya sendiri. Ia tidak selalunya cantik. Namun, dia tidak perlu risau tentang pasangan. Morrie menari sendirian.
Dia selalu pergi ke sebuah gereja di Dataran Harvard setiap malam Khamis untuk acara yang diberi gelaran “Bebas Menari”. Ia mempunyai lampu kelip-kelip dan pembesar suara kuat, dan Morrie akan merayau dalam khalayak yang kebanyakannya pelajar itu dengan baju-T putih, seluar sukan dan sehelai tuala di tengkuknya. Biar apa pun muzik yang dimainkan, maka dia akan menari mengikutnya. Dia akan menari dari lindy ke Jimi Hendrix.
Dia berpusing dan berputar, dia melambaikan tangannya seperti seorang konduktor yang khayal amphetamine, sehingga peluh menitik membasahi tengah belakangnya. Tiada sesiapa di situ yang mengetahui bahawa dia adalah doktor sosiologi yang terkenal, dengan pengalaman yang panjang sebagai professor kolej dan menulis beberapa buah buku yang disegani. Mereka menyangka dia hanyalah seorang tua tak betul.
Sekali, dia membawa pita tango dan meminta mereka memainkannya. Kemudian dia mengetuai dewan tarian, meluncur ke depan dan belakang seperti seorang kekasih Latin yang hangat. Bila dia habis menari, semua orang bertepuk tangan. Dia boleh mengecapi saat itu selama-lamanya.
Akan tetapi, aktiviti menarinya itu terhenti di situ.
Dia mengidap lelah pada usia enam puluhan. Penafasannya sukar. Pada suatu hari ketika di berjalan di sepanjang Sungai Charles, deruan angin sejuk menyebabkan nafasnya tercungap-cungap. Dia dikejarkan ke hospital lalu disuntik dengan Adrenalin.
Beberapa tahun kemudian, dia mula menghadapi masalah berjalan. Pada majlis hari lahir seorang kawan, dia tumbang tanpa sebab yang jelas. Pada malam yang lain, dia terjatuh tangga di pawagam, lantas mengejutkan sekumpulan kecil orang.
“Berikannya ruang”, jerit seseorang.
Dia berusia tujuh puluhan pada waktu itu, lalu mereka membisikkan ‘usia lanjut’ dan membantunya berdiri. Tetapi Morrie, yang lebih memahami dirinya daripada kita semua, tahu bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. Ini bukan sekadar lanjut usia. Dia sentiasa keletihan. Dia sukar tidur. Dia bermimpi bahawa dia sedang menuju ajalnya.
Dia mula berjumpa doktor. Ramai sekali. Mereka menguji darahnya. Mereka menguji air kencingnya. Mereka memasukkan skop ke dalam bontotnya untuk melihat ususnya. Akhirnya, apabila mereka tidak menemui apa-apa, seorang doktor mengarahkan dilakukan biopsi otot, dengan mengambil secebis kecil labu betis Morrie. Laporan makmal mengesyaki masalah neurologi, lalu Morrie dikehendaki menjalani beberapa ujian lagi.
Dalam salah satu ujian itu, dia dikehendaki duduk di sebuah kerusi khas dan dikenakan kejutan arus elektrik – seperti sebuah kerusi letrik – dan melihat respons neurologinya.
“Kami perlu memeriksanya lebih lanjut”, kata doktor, sambil melihat keputusan ujian.
“Kenapa?”, tanya Morrie. “Apakah masalahnya?”.
“Kami tidak pasti. Masa tindak balas anda perlahan”.
Masa tindak balasnya perlahan? Apakah maknanya?
Akhirnya, pada suatu hari yang panas dan lembab pada bulan Ogos 1994, Morrie dan isterinya, Charlotte, pergi ke pejabat pakar neurologi. Dia meminta mereka duduk sebelum memecahkan berita: bahawa Morrie mengidap sklerosis lateral amiotropik (ALS), sakit Lou Gehrig, penyakit sistem neuorologi yang dahsyat dan tiada ampunnya.
Tidak ada ubat yang diketahui.
“Bagaimana saya mendapatnya?”, tanya Morrie.
Tiada yang tahu.
“Ia membawa maut?”.
Ya.
“Jadi, saya akan mati?”.
Ya, kata doktor. Saya mohon berbanyak maaf.
Dia duduk bersama-sama Morrie dan Charlotte selama hampir dua jam, dan dengan penuh sabar menjawab soalan-soalan mereka. Apabila mereka pergi, doktor memberi mereka maklumat tentang ALS, risalah-risalah kecil, seolah-olah mereka membuka akaun bank.
Di luar, matahari bersinar cerah dan orang ramai sibuk dengan urusan masing-masing. Seorang wanita berlari memasukkan wang ke dalam meter parkir. Yang lain membawa bungkusan barang rucit. Seribu macam perkara bermain dalam fikiran Charlotte: Berapa banyak masa lagi yang mereka ada? Bagaimana mereka menghadapinya? Bagaimana mereka mahu membayar bil?
Dalam pada itu, profesor tua saya tergamam dengan betapa biasanya keadaan persekitarannya. Tidakkah dunia harus berhenti? Tidakkah mereka tahu apa yang berlaku kepada saya?
Tetapi dunia tidak berhenti, ia langusng tidak mengambil peduli, dan sewaktu Morrie membuka lemah pintu kereta, dia berasa seperti sedang jatuh ke dalam sebuah lubang.
“Apa sekarang?”, fikirnya.
Sewaktu profesor tua saya mencari-cari jawapan, penyakit itu memakan dirinya hari demi hari, minggu demi minggu. Dia mengundurkan keretanya dari garaj pada suatu pagi dan hampir-hampir tidak berupaya menekan brek. Dia tidak lagi memandu selepas itu.
Dia kerap tersandung, jadi dibelinya tongkat. Dia tidak lagi dapat berjalan bebas selepas itu.
Dia pergi berenang seperti biasa di YMCA, tetapi mendapati dia tidak lagi berupaya menanggalkan pakaian sendiri. Jadi dia mengupah pembantu penjagaan rumahnya yang pertama – pelajar teologi bernama Tony – yang membantunya keluar dan masuk ke kolam renang, serta memakai dan menanggalkan pakaian mandinya.
Dalam bilik persalinan, para perenang lain berpura-pura tidak memandang. Mereka tetap memandang juga. Kebersendiriannya berakhir di situ.
Pada musim luruh 1944, Morrie tiba di kampus Brandies yang berbukit untuk mengajar kursus kolejnya yang terakhir. Dia boleh tidak hadir, sudah pasti. Pihak universiti tentu memahami. Kenapa harus menderita di hadapan begitu ramai orang? Duduk sahaja di rumah. Urus masalah sendiri dengan kemas. Tetapi idea berhenti tidak terlintas di fikiran Morrie.
Sebaliknya, dia berjalan pincang ke kelas - rumahnya selama lebih tiga puluh tahun. Kerana tongkat yang digunakan, dia mengambil masa untuk tiba ke kerusi. Akhirnya dia duduk, menjatuhkan kaca mata dari hidung, lalu memandang ke arah wajah-wajah muda belia yang membalas pandang dalam diam.
“Kawan-kawan, saya andaikan anda di sini untuk kelas Psikologi Sosial. Saya telah mengajar kursus ini selama dua puluh tahun, dan ini kali pertama saya menyatakan bahawa ada risiko mengambilnya kerana saya mengidap penyakit maut. Saya mungkin tidak dapat menamatkan semester ini".
“Jika anda fikir ada masalah di situ, saya memahami jika anda tidak mahu meneruskannya”.
Dia senyum.
Dan dengan itu, rahsianya berakhir di situ.
----------------------
….bersambung, Silibus
Friday, February 10, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment