Tuesday, February 14, 2012

Selasa bersama Morrie (4)

Pelajarnya

Di sini, perlu dijelaskan apakah yang berlaku kepada saya sejak siang musim panas itu apabila saya memeluk profesor yang bijaksana dan amat dihormati itu buat kali terakhir, dan berjanji akan terus berhubung dengannya.

Saya tidak berbuat demikian.

Malah, saya terputus hubungan dengan kebanyakan orang yang dikenali ketika di kolej, termasuk kawan minum-bir saya dan wanita pertama yang saya dapati berada di sebelah pada pagi berikutnya. Tahun-tahun selepas pengajian telah memperkeraskan diri saya menjadi orang yang berbeza daripada graduan yang penuh bangga menuju ke Kota New York pada hari itu, bersedia untuk menawarkan kepada dunia bakatnya.

Saya kemudianya mendapati bahawa dunia tidak berminat sama sekali. Saya berkelana pada umur dua puluhan saya, membayar sewa dan membaca iklan-iklan kecil, sambil tertanya-tanya kenapa lampu hijau tidak menyala untuk saya.

Impian saya ialah menjadi pemuzik terkenal (saya bermain piano), tetapi selepas beberapa tahun melalui kelab-kelab malam yang gelap dan kosong, janji-janji mungkir, pancaragam yang sentiasa berpecah dan penerbit yang tampak teruja dengan orang lain melainkan saya, impian itu menjadi basi. Saya menempuh kegagalan pertama dalam hidup.

Pada waktu yang sama, saya pertama kali berhadapan dengan maut secara nyata. Pakcik kegemaran saya, adik emak saya, orang yang mengajar saya muzik, mengajar saya memandu, mengjek saya tentang budak perempuan, melemparkan bola futbal kepada saya – lelaki dewasa yang menjadi tumpuan saya semasa kecil dan berkata: “Saya mahu menjadi sepertinya bila besar kelak” – menemui ajal kerana kanser pankreas pada usia empat puluh empat.

Dia lelaki rendah, segak dengan misai tebal. Saya bersama-samanya sepanjang tahun terakhir hayatnya. Saya tinggal di unit apartmen yang terletak betul-betul di bawah unitnya. Saya menyaksikan badannya yang gagah itu menyusut, kemudian mengembung, melihatnya menderita, malam demi malam, terbongkok-bongkok di meja makan, menekan perutnya, dan dengan mata tertutup, mulutnya berkernyut kesakitan. “Ahhhhh, Tuhan”, rintihnya. “Ahhhhhh, Jesus!”.

Kami yang lain – makcik saya, dua anak lelakinya yang masih kecil, dan saya – berdiri di situ, mendiamkan diri, membersihkan pinggan mangkuk, saling tidak berpandangan.

Saya berasa begitu tidak berguna sepanjang hidup saya.

Pada suatu malam pada bulan Mei, pakcik dan saya duduk-duduk di balkoni apartmennya. Cuaca berangin dan hangat. Dia memandang ke arah kaki langit dan berkata, dengan mengetap gigi, bahawa dia tidak akan ada lagi untuk melihat anak-anaknya memasuki tahun persekolahan berikutnya. Dia bertanya sama ada saya boleh menjaga mereka. Saya memberitahunya supaya tidak berkata begitu. Dia merenung wajah saya dengan sedih.

Dia meninggal dunia beberapa minggu selepas itu.

…bersambung, Pelajarnya.

No comments: