Thursday, February 16, 2012

Selasa bersama Morrie (7)

…sambungan, Audiovisual

Tak lama kemudian, kamera mula berputar di hadapan pendiangan di ruang tamu, dengan Koppel bersut birunya yang kemas dan Morrie memakai baju sejuk kelabu yang berjumbai-jumbai. Dia menolak pakaian bergaya atau solekan untuk temu bual ini. Falsafahnya ialah kematian tidak harus menjadi sesuatu yang memalukan: dia tidak akan membedaki mukanya.

Oleh sebab Morrie duduk di kerusi roda, maka kamera tidak pernah dapat merakam kakinya yang mati itu. Dan oleh sebab dia masih berupaya menggerakkan tangannya – Morrie lazimnya bercakap dengan kedua-dua tangannya bergerak – dia menampakkan keghairahan yang sangat tinggi ketika menjelaskan bagaimana seseorang menghadapi penamat kehidupan.

“Ted,” katanya, “bila semua ini bermula, saya bertanya diri saya, “Apakah saya akan berundur dari dunia ini, ramai yang akan berbuat begitu, atau apakah saya akan terus hidup?”. Saya memutuskan untuk terus hidup – atau sekurang-kurangnya saya cuba hidup – menurut cara yang saya kehendaki, dengan maruah, dengan keberanian, dengan humor, dengan ketabahan.

“Ada hari-harinya saya akan menangis dan menangis dan meratapi diri saya. Hari-hari tertentu. Saya amat marah dan kecewa. Tetapi ia tidak berpanjangan. Kemudian saya akan bangkit dan berkata, “saya mahu terus hidup…”

“Setakat ini, saya dapat melakukannya. Bolehkan saya meneruskannya? Saya tak tahu. Tetapi saya bertaruh ke atas diri sendiri bahawa saya boleh melakukannya”.

Koppel tampak begitu terkesan. Dia bertanya tentang kerendahan hati yang dicetuskan oleh kematian.

“Begini, Fred”, kata Morrie tanpa sengaja, kemudian dia segera membetulkannya, “maksud saya Ted…”

“Hah itu mendorong kerendahan hati”, kata Koppel, ketawa.

Mereka bercakap tentang kehidupan selepas mati. Mereka bercakap tentang keadaan Morrie yang semakin bergantung kepada orang lain. Morrie perlu bantuan untuk makan, duduk dan bergerak dari tempat ke tempat.

Apakah, tanya Koppel, yang paling ditakuti Morrie tentang pereputan dirinya yang perlahan tetapi pasti itu.

Morrie berhenti seketika. Dia bertanya jika dia boleh bercakap tentang perkara itu di televisyen.

Koppel mempersilakannya.

Morrie merenung langsung ke dalam mata hos paling terkenal di Amerika itu.

“Begini Ted, tak lama lagi akan ada orang yang perlu mencuci bontot saya”.

Rancangan itu disiarkan pada malam Sabtu. Ia bermula dengan Koppel di belakang mejanya di Washington, suaranya bergema dengan kewibawaan.

“Siapakah Morrie Schwartz”, katanya, “dan kenapa, pada penghujung rancangan ini, ramai daripada anda yang akan prihatin tentangnya?”

Beberapa ribu batu dari situ, di rumah saya di atas sebuah bukit, sewaktu saya memetik-metik malas saluran TV, saya terdengar kata-kata itu dari tv – “Siapakah Morrie Schwartz” – saya tergamam.

@@@

Dalam kelas pertama kami pada musim bunga 1976, saya memasuki pejabat Morrie yang luas dan perasan akan buku-buku yang tersusun di dindingnya, baris demi baris, rak demi rak. Buku-buku sosiologi, falsafah, agama, psikologi. Terdapat sebuah hamparan besar di lantai kayu dan sebuah tingkap yang memandang keluar ke siar kaki kampus.

Terdapat lebih kurang sedozen pelajar di situ, terkial-kial dengan buku teks dan silibus. Kebanyakan mereka memakai jean, kasut tumit rendah dan baju flanel kotak-kotak. Saya berfikir sendirian bahawa tidak mudah untuk saya lulus kelas sekecil ini. Mungkin saya tidak harus mengambilnya.

“Mitchell”, kata Morrie, sambil membaca senarai kehadiran.

Saya mengangkat tangan.


“Anda suka Mitch?” atau Mitchell lebih sesuai?”

Saya tidak pernah ditanyai begitu oleh mana-mana guru. Saya memandang sekali lagi lelaki berbaju leher penyu kuning dan seluar korduroi hijau itu, rambut putihnya menutupi dahi. Dia senyum.

Mitch, kata saya. Saya dipanggil Mitch oleh kawan-kawan.

“Baik, Mitch kalau begitu”, kata Morrie, seolah-olah memeteri sebuah janji.

“Dan Mitch?”

Ya?

“Saya harap suatu hari nanti anda akan melihat saya sebagai kawan”.



…bersambung, Orientasi

No comments: