Audiovisual
Pada Mac 1995, sebuah limosin yang membawa Ted Koppel, hos rancangan Nightline ABC-TV berhenti di sisi bebendul jalan yang dilitupi salji di hadapan rumah Morrie di Newston Barat, Massachusets.
Morrie kini berkerusi roda sepenuhnya, dan telah terbiasa dengan para pembantu mengangkatnya seperti sebuah guni yang berat dari kerusi roda ke katil dan sebaliknya. Dia mula terbatuk-batuk apabila makan, dan menguyah menjadi terlalu sukar. Kakinya telah mati, dan dia tidak mungkin berjalan lagi.
Namun begitu, dia enggan berasa murung. Sebaliknya, Morrie seumpama lautan idea. Dia mencatatkan pemikirannya atas pad tulis berwarna kuning, sampul surat, folder, kertas skrap.
Dia menulis kata-kata falsafah ringkas mengenai kehidupan di bawah bayangan maut: “Terima apa-apa yang dapat anda lakukan, dan apa-apa yang tidak”; “Terima yang lepas sebagai yang lepas, tanpa menafikan atau menyingkirkannya”; “Belajar memaafkan diri sendiri dan orang lain”; “Jangan andaikan bahawa telah terlalu lewat untuk melibatkan diri”.
Setelah beberapa lama, dia memiliki lebih lima puluh daripada ‘aforisme’ ini yang dikongsinya dengan kawan-kawan. Salah seorang mereka, profesor sejawat di Brandeis bernama Maurie Stein, amat terkesan oleh kata-kata tersebut, yang menyebabkan beliau menghantarnya kepada wartawan Boston Globe, yang kemudiannya datang untuk menulis sebuah rencana panjang tentang Morrie.
Tajuknya berbunyi:
KURSUS TERAKHIR SEORANG PROFESOR: KEMATIANNYA SENDIRI
Rencana itu menarik perhatian penerbit daripada rancangan Nightline, yang membawanya kepada Koppel di Washington D C.
“Cuba lihat ini”, kata penerbit berkenaan.
Tak lama kemudian, jurukamera memenuhi ruang tamu rumah Morrie, sementara limosin Koppel pula diparkir di depannya.
Beberapa anggota keluarga dan kawan Morrie telah berkumpul untuk menemui Koppel, dan apabila hos terkenal itu masuk, mereka riuh teruja – melainkan Morrie, yang menolak kerusi rodanya ke depan, mengangkat keningnya, dan mengganggu keriuhan itu dengan suaranya yang tinggi dan berlagu.
“Ted, saya perlu memeriksa anda dulu sebelum saya bersetuju untuk ditemu bual”.
Suasana bertukar senyap dan terasa janggal, kemudian kedua-dua orang itu didorong ke bilik bacaan. Pintu ditutup.
“Harap-harap”, bisik seorang kawan di luar pintu, “saya harap, Ted tidak terlalu keras terhadap Morrie”.
“Saya harap Morrie yang tidak terlalu keras terhadap Ted”, kata yang lain.
Di dalam bilik, Morrie mempersilakan Ted duduk. Dia menyilangkan tangannya di atas riba, lalu senyum.
“Beritahu saya tentang sesuatu yang dekat di hati anda”, mula Morrie.
“Hati saya?”
Koppel memeriksa orang tua itu. “Baik”, katanya berhati-hati, dan dia bercakap tentang anak-anaknya. Mereka dekat di hatinya, bukan?
“Bagus”, kata Morrie. “Sekarang ceritakan sesuatu tentang kepercayaan anda”.
Koppel menjadi tidak selesa. “Biasanya saya tidak bercakap hal sedemikian dengan orang yang baru saya kenali beberapa minit”.
“Ted, saya nazak”, kata Morrie, sambil menjenguk melepasi cermin matanya. “Saya tidak mempunyai banyak masa”.
Koppel ketawa. Baik. Kepercayaan. Dia memetik sesuatu daripada Marcus Aurelius, sesuatu yang sangat penting baginya.
Morrie mengangguk.
“Sekarang saya mahu bertanya sesuatu”, kata Koppel.
“Anda pernah tonton program saya?”
Morrie mengangkat bahunya. “Dua kali, saya fikir”.
“Dua kali? Itu sahaja?”
“Jangan ambil hati. Saya menonton Oprah hanya sekali”.
“Jadi, dalam dua kali anda menonton program saya, apa pandangan anda?”
Morrie diam seketika. “Secara jujur?”
“Ya?”
“Saya fikir anda seorang narsisis”.
Koppel terbahak ketawa.
“Saya terlalu hodoh untuk jadi narsisis”, katanya.
…bersambung, Audiovisual
Thursday, February 16, 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment