Tuesday, February 07, 2012

Selasa bersama Morrie (1)

Kurikulum

Kelas-kelas terakhir profesor tua saya berlangsung di rumahnya, di sisi sebuah jendela dalam bilik bacaannya. Di situ, dia dapat melihat pohon bunga raya meluruhkan daunnya yang berwarna merah jambu. Kelas berjalan setiap hari Selasa. Ia bermula selepas sarapan pagi. Subjeknya ialah Makna Kehidupan. Ia diajar berdasarkan pengalaman.

Tidak ada gred yang diberi, tetapi terdapat ujian lisan pada setiap minggu. Anda perlu memberi respons kepada soalan, dan anda juga perlu mengemukakan soalan sendiri. Anda juga dikehendaki melakukan beberapa tugasan fizikal dari masa ke masa, seperti mengangkat kepala profesor ke aras yang selesa di bantalnya atau meletakkan cermin mata di hidungnya. Mengucupnya selamat tinggal akan memberikan anda kredit tambahan.

Tiada buku yang diperlukan, tetapi banyak topik yang diterokai, termasuk cinta, kerja, masyarakat, keluarga, penuaan, kemaafan, dan akhirnya, kematian. Syarahan terakhir amat ringkas sekali, hanya beberapa patah perkataan.

Upacara pengebumian diadakan sebagai ganti kepada penyampaian ijazah.

Walaupun tiada peperiksaan akhir diadakan, namun anda dikehendaki menyediakan sebuah laporan panjang tentang pelajaran yang dilalui. Kertas itu dikemukakan di sini.

Kelas terakhir profesor saya hanya ada seorang pelajar.

Sayalah pelajar itu.

@ @ @

Waktunya lewat musim bunga 1979, pada petang Sabtu yang panas dan melekit. Ratusan kami duduk bersama-sama, sebelah-menyebelah, dalam barisan demi barisan kerusi lipat kayu di halaman rumput utama di kampus. Kami memakai jubah nilon berwarna biru. Kami mendengar syarahan-syarahan panjang dengan resah.

Apabila upacara berakhir, kami membaling topi masing-masing ke udara, dan kami secara rasminya tamat pengajian kolej, kelas senior Universiti Brandeis di kota raya Waltham, Massachusetts. Bagi kebanyakan kami, tirai zaman kanak-kanak baru sahaja dilabuhkan.

Selepas itu, saya mencari profesor kesayangan saya, Morrie Schwartz, lalu memperkenalkannya kepada kedua ibu-bapa saya. Dia lelaki kecil, yang langkahnya juga kecil-kecil, seolah-olah deruan angin boleh, pada bila-bila masa, menerbangkannya ke langit.

Dengan jubah acaranya, dia kelihatan seperti kacukan antara seorang Nabi dengan bunian Krismas. Matanya berwarna biru-hijau yang berkilauan, rambut putinya yang menipis jatuh ke dahi, telinga yang besar, hidung berbentuk tiga persegi, dan tompokan kening yang memutih. Walaupun giginya tidak sekata dan gigi bawahnya condong ke dalam – seolah-olah seseorang telah menumbuknya – apabila dia senyum, ia seperti anda telah memberitahunya lawak yang pertama di dunia.

Dia memberitahu ibu-bapa saya betapa saya telah mengambil semua kelas yang diajarnya. Dia berkata, “anda memiliki anak yang istimewa”. Malu, saya memandang ke bawah ke arah kaki. Sebelum kami berundur, saya berikan profesor saya itu hadiah, sebuah beg bimbit coklat dengan parap namanya di hadapan. Saya membelinya sehari sebelum itu di pasar raya. Saya tidak mahu melupakannya. Mungkin juga saya tidak mahu dia melupakan saya.

“Mitch, anda salah seorang daripada yang bagus”, katanya, sambil mengagumi beg itu. Kemudian dia memeluk saya. Saya merasa lengan kurusnya di belakang saya. Saya lebih tinggi, jadi bila dia memeluk saya, saya berasa janggal, lebih tua, seolah-olah saya si bapa dan dia si anak.

Dia bertanya jika saya akan terus berhubung, dan tanpa ragu, saya berkata, “tentu sekali”.

Bila dia melangkah ke belakang, saya terlihat bahawa dia menangis.


@ @ @

…Silibus

No comments: