Monday, May 25, 2009

'Mesti Ulama untuk Sekat Musuh Islam'

Oleh Haris Zalkapli

"Heed not the blind eye, the echoing ear,nor yet the tongue, but bring this great debate the test of reason "- Parmenides.

Timbalan mursyidul am PAS, Datuk Dr Haron Din membuat kenyataan paling jelas dan mengejutkan dalam menegaskan perlunya ulama memegang jawatan tertinggi parti, iaitu presiden dan timbalan presiden.

Dalam ucapannya bertajuk Memperkukuh Kepimpinan Ulama dalam majlis sambutan jubli perak kepimpinan ulama PAS, Haron memberi amaran amalan membenarkan sesiapa sahaja bertanding boleh membenarkan "musuh dalam yang dirancang oleh musuh luaran berpeluang menduduki tampuk kepimpinan tertinggi parti."

Ucapan berterus-terang ini mudah untuk dibaca sebagai ditujukan kepada kumpulan Erdogan yang dikatikan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Dalam kalangan ahli PAS kebanyakan, hujah utama menentang Erdogan ialah apa yang dilihat sebagai ketaatan mereka kepada Anwar, sesuatu yang bertentangan dengan konsep wala' yang ditekankan dalam pendidikan parti itu.

Haron menjelaskan lagi amarannya itu dengan menyebut keahlian yang terbuka parti berpotensi membuka kepada perancangan "Umno atau musuh luar negara" untuk meramaikan ahli dan memenangkan "musuh Islam yang sedang berada di dalam."

Menjelang muktamar kurang dua minggu lagi, ucapan ini dijangka bakal memberi kesan kepada pemilihan dan mengundang respons kuat daripada kem Erdogan.

Amaran terbuka ini juga dijangka meningkatkan lagi pertembungan antara dua kelompok besar, ulama dan Erdogan. Tetapi, kenyataan tentang "musuh Islam" dan "musuh luar" mampu mendatangkan kesan negatif kepada golongan ulama sendiri sekiranya amaran itu dilihat sebagai pembunuhan karakter menjelang pemilihan.

Cadangan Haron supaya calon pemilihan melalui penapisan seperti calon pilihan raya juga mungkin akan mendapat sambutan dingin kerana dilihat usaha menghalang tokoh-tertentu bukan ulama yang mendapat sokongan kuat ahli.

Ucapan Haron ini telah membuka fasa baru dalam persaingan kuasa dalam PAS. Tetapi, ucapan ini berpotensi juga menjadi double-edged sword kepada agenda kelompok ulama yang menyokong idea dua pemimpin tertinggi mesti dari kalangan ulama.

Bagaimanapun, kem Erdogan kini menyaksikan tentangan yang semakin kuat terhadap mereka, dan dengan hujah-hujah yang lebih mudah sampai kepada ahli-ahli akar umbi.

1 comment:

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Inilah hambatan sebenar PAS, sebuah organisasi Sunni. Definisi "ulamak" tidak diperjelas sejelas-jelasnya dengan bahasa mudah supaya difahami rakyat umum.

Secara kasar, hanya mereka yang digelar Tok Guru dan Tuan Guru yang diterima sebagai "ulamak" secara sahih oleh PAS. Lazimnya mereka yang mempunyai pondok pengajian agama akan diberi gelaran ini. Dari segi penampilan, sudah tentu mereka ini berjubah dan berserban dan berjanggut walau sejemput. Dari segi taraf ilmu pengetahuan agama yang dimiliki perkara ini agak kabur. Lazimnya masyarakat sekarang mengkategorikan kelayakan ilmu berdasarkan kayu ukur akademik iaitu Degree (Sarjana Muda), Master (Sarjana) dan PhD (Kedoktoran). Dari segi aplikasinya, Master dan PhD adalah pengajian mendalam yang menjurus kepada topik atau tajuk yang khusus sahaja. Perkara ini dapat dinisbahkan kerana ada kertas (sijil) yang mencatatnya dan pihak mana (universiti) yang mengeluar serta mengikhtirafnya.

Yang lebih subjektif malah lebih penting ialah aspek amal demi memenuhi kriteria sebagai "ulamak".

Berbeza dengan amalan Syiah, mengenal "ulamak" lebih mudah berbanding Sunni kerana sistem pengajian agama yang jauh lebih tersusun dan sistematik. Pemberian gelaran "Ayatullah" dan "Hajatul-Islam" melalui sistem pengajian madrasah di seluruh Iran dan Iraq terbukti meringankan bebanan masyarakat untuk mengenal pasti siapakah "ulamak" yang sebenar-benarnya di kalangan mereka.

Di Malaysia terdapat terlalu ramai orang yang bergelar "Ustaz". Ada ustaz PAS, ustaz UMNO, ustaz kerajaan, ustaz pakai kopiah, ustaz pakai songkok, ustaz mengaji, ustaz selebriti dan lain-lain.

Dalam PAS, yang masih bergelar "ustaz" ialah Ustaz Harun Din, Ustaz Harun Taib, Ustaz Ismail Kamus, Ustaz Idris Ahmad dan banyak lagi. Rasanya mereka ini memiliki latar belakang pendidikan agama. Semua mereka ini "ulamakkah"?

Bagaimanakah dengan "Ustaz Nasharuddin?". Kata ahli PAS dia lebih kerap berjubah dan berserban berbanding "ustaz" yang 100% berlatar-belakang pendidikan agama.

Bagaimanakah pula Tuan Haji Mustafa Ali, atau Tuan Haji Mohamad Sabu, atau Datuk Paduka Haji Husam Musa?

Layak atau tidak mereka digelar "ulamak"?

Jika layak, mengapa? Jika tidak layak, mengapa?

Begitu juga siapa yang layak digelar "profesional". Apakah definisi "profesioanal" yang dituntut oleh PAS ini?

Dari aspek aplikasi ikhtisasnya di Malaysia, golongan yang diterima sebagai "profesional" terbatas kepada mereka yang memiliki kelayakan akademik dalam bidang tertentu dan mestilah diperaku oleh badan-badan iktisas yang mewakili bidang-bidang yang diterima keprofesionalannya itu seperti jurutera, doktor, peguam, arkitek dan lain-lain.

Bagi saya yang daif dan naif ini, seorang pemimpin hendaklah dipilih berdasarkan keupayaan dirinya sebagai pemimpin dan bukan kerana dia mewakili mana-mana kumpulan.
Bagaimana seseorang itu dinilai adalah terpulang kepada orang yang memilih kerana orang yang memilih juga dinilai keupayaannya untuk memilih.

Cuma saya teringat seorang sahabat (arwah Ismail Hj Yunus dari Melaka - al-fatihah untuknya) yang selalu membaca pantun ini.

Kalau mencari tempat mandi,
Pertama teluk kedua pantai,
Kalau mencari pemimpin negeri,
Pertama elok kedua pandai.

Wallahu'ahlam.