Ayatullah (Farsi: آيتالله āyatullāh daripada bahasa Arab: آية الله, āyatu l-Lāh "Ayat-ayat Allah", āyah (jamak: ayat) dan Allah) adalah gelaran tinggi yang diberikan kepada ilmuan mazhab usuli, Syiah Imam Dua belas.
Mereka yang memakai gelaran ini adalah pakar dalam ilmu-ilmu Islam seperti perundangan, etika/akhlak dan falsafah. Mereka lazimnya mengajar di pusat-pusat pengajian Islam. Gelaran kedua di bawah ayatullah adalah Hujatul-islam wal-muslimin.
Kedudukan
Gelaran ini kini diberikan kepada mujtahid Syiah yang tersohor selepas mereka menyempurnakan pengajian sat'h dan kharij di hawzah (1). Di tahap ini mereka berkebolehan mengeluarkan fatwa mereka sendiri berdasarkan sumber-sumber hukum Islam: al-Qur'an, Sunnah, Ijmāˤ dan 'Aql "intelek", (bukannya prinsip Qiyas seperti dalam mazhab Sunni).
Selalunya kebolehan ini disahkan melalui pemberian ijazah oleh guru masing-masing. Seseorang ayatullah kemudiannya boleh mengajar di mana-mana hawzah menurut bidang kemahiran masing-masing, menjadi tempat rujukan bagi persoalan-persoalan agama dan boleh pula berperanan sebagai hakim atau qadhi.
Terdapat perbezaan penting antara ayatullah Syiah dengan para ‘wali’ dalam agama-agama lain dan juga mazhab Sunni. Mereka tidak dianggap mendapat petunjuk daripada Allah secara 'langsung', tetapi sebaliknya daripada Kalimah Allah.
Terdapat juga beberapa wanita yang sama taraf dengan para ayatullah ini dan mereka dikenali sebagai Mujtahidah. Contoh semasa Mujtahidah ini ialah Zohreh Sefati. Dari segi sejarahnya, terdapat beberapa orang Mujtahidah dalam mazhab Syiah, dan paling terkenal ialah wanita-wanita daripada keluarga Allama Hilli.
Sejarah
Nama ‘ayatullah’ berasal daripada al-Quran, di mana manusia juga boleh dianggap sebagai ayat-ayat Allah, yang merupakan terjemahan literal gelaran itu. Ayat 51: 20-21 al-Quran menyebut:
Di bumi terdapat tanda-tanda bagi mereka yang beriman. Juga pada diri kamu sendiri: Apakah engkau tidak melihat?
Ayatullah Uzma
Sebilangan kecil daripada ayatullah-ayatullah yang penting diberikan pangkat dan gelaran Ayatullah Uzma (Ayatullah Uzma, Ayat-ayat Allah yang Besar). Ini biasanya berlaku apabila para pengikut ayatullah-ayatullah merujuki mereka dalam pelbagai bentuk keadaan dan meminta mereka menerbitkan buku Perundangan masing-masing bagi menjawab isu-isu berhubung pelbagai perkara dalam kehidupan harian orang Islam
Buku ini dinamakan Risalah, yang lazimnya mengambil bentuk baru buku Al-Urwatu l-Wuthqah, berdasarkan pengetahuan mereka tentang sumber-sumber Islam yang paling asli dan aplikasinya kepada kehidupan semasa.
Pada masa ini terdapat lima orang Ayatullah Uzma di Najaf, Iraq, yang merupakan pusat pengajian Islam Syiah atau hawzah di negara itu. Paling kanan ialah Ali Sistani, diikuti oleh Bashir Najafi, Muhammad Said al-Hakim, Muhammad Ishaq al-Fayyad, and Muhammad Taqi Modarresi.
Lebih ramai Ayatullah Uzma menetap di Iran dan di mana-mana penganut mazhab Syiah berada. Terdapat lebih 20 orang di seluruh dunia; dan yang paling terkenal adalah Ali Khamenei, Ali Sistani, Makarem Shirazi, Malakouti, Montazeri, Fadlullah, Haeri and Sadiq Shirazi.
------------------------------------------
(1) Hawzah (Arab/Farsi: حوزة) atau hawzah ˤilmiyyah (Arab/Farsi: حوزة علمیة) adalah pusat pengajian tradisi Syiah.
Beberapa orang Ayatullah Uzma kanan membentuk hawzah. Institusi-institusi di Najaf, Iraq dan Qum, Iran adalah pusat pengajian terpenting bagi pendidikan golongan ilmuan Syiah. Namun begitu, terdapat juga hawzah-hawzah yang lebih kecil di kota-kota lain di serata dunia.
Hawzah pertama didirikan di Najaf pada abad ke 11 Masehi. Walaupun akademi-akademi Syiah yang kecil telahpun wujud di Qum, hawzah kota itu menjadi popular pada zaman Safavi apabila mazhab Syiah dijadikan agama rasmi di Iran. Guru-guru terkenal pada era itu adalah Mulla Sadra dan Syakh Bahai. Hawzah Qum itu telah diberi nafas baru oleh Abdul Karim Haeri Yazdi dan Ayatullah Uzma Borujerdi.
Pelajar di hawzah memulakan pengajian mereka dengan mempelajari fiqh, kalam, hadith, tafsir, falsafah, sains tabii dan abstrak, selain bahasa dan kesusasteraan Arab. Setelah tamat tahap ini, mereka boleh memulakan pengajian untuk menjadi seorang mujtahid dengan mempelajari buku teks kuno lanjutan yang dikenali sebagai sat'h, dan kursus-kursus penyelidikan yang dikenali sebagai kharij.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment