Saturday, May 16, 2009

Orang Melayu, tradisi ilmu dan kebebasan

Sewaktu mula-mula dihubungi oleh penerbit buku The Malays: Their Problems and Future, karangan Dr Syed Husin Ali, iaitu Sdr Abd Rahman Koya dari IBT, bertanyakan sama ada saya berminat untuk menerbitkan versi Melayunya, saya terus menyanggupinya tanpa perlu berfikir panjang.

Saya sedar tentang aliran pemikiran yang sedia ada dalam masyarakat dan faham bahawa kesanggupan tersebut berkemungkinan menimbulkan masalah tertentu. Namun saya teruskannya juga kerana beberapa sebab yang bagi saya akan mewajarkan tindakan tersebut.

Kemudian dalam beberapa pertemuan dengan Dr Syed Husin selepas itu, saya menyanggupi juga permintaan tulusnya untuk mendapatkan komentar ringkas Presiden PAS, Tuan Guru Hj Abd Hadi Awang, pada kulit buku ini, juga atas sebab-sebab yang sama.

Pertama, walaupun dikenali, Dr Syed Husin adalah antara ilmuan, aktivis masyarakat dan ahli politik yang paling kurang dihargai, apa lagi diiktiraf, bukan sahaja sumbangan, tetapi juga ilmu dan kepakarannya oleh masyarakatnya sendiri. Setelah puluhan tahun mendidik, berjuang dan berkorban untuk anak bangsa dan masyarakatnya, beliau terus dipandang sepi, malah kadang-kadang negatif.

Sebagai generasi lebih muda yang pernah membaca tulisannya dan mendengar cerita-cerita mengenai beliau daripada orang tua sendiri, saya percaya ini adalah suatu tragedi yang perlu diperbetulkan, walaupun dengan hanya bersedia untuk menerbitkan sebuah buku beliau.

Fenomena tidak menghargai diri, ilmu atau sumbangan anak bangsa sendiri ini, terutamanya mereka yang berada di luar arus lazim, tidaklah bermula dari atau terhad kepada Dr Syed Husin semata-mata. Sebaliknya ia telah menjadi ciri kekal masyarakat kita sejak zaman berzaman serta menjadi lebih sistematik dan membudaya sejak bermulanya penentangan terhadap penjajahan Inggeris.

Golongan penentang penjajahan dinamai dan diwarnai dengan nama dan warna yang hodoh-hodoh bagi mewajarkan tindakan keras dan tidak demokratik yang dikenakan ke atas mereka, sekali gus bertujuan mengolah persetujuan masyarakat supaya menerimanya sebagai sah dan wajar. Seluruh jentera dan organisasi rasmi dan tidak rasmi digunakan untuk mencapai tujuan itu. Keadaan ini malangnya masih berterusan sehingga kini walaupun negara telah lama Merdeka.

Salah faham, prasangka dan monopoli kebenaran

Salah faham digalakkan, prasangka disuburkan dan kebenaran dimonopoli. Semua pihak dipaksa berpuas hati dengan apa-apa yang mereka miliki. Dunia yang luas menjadi sempit. Kepelbagaian, yang merupakan ciri istimewa masyarakat kita dan bukti kebesaran Tuhan, dilihat sebagai bencana.

Hakikat bahawa, seperti pokok, manusia bersatu pada teras dan dahan, tetapi berbeza pada cabang dan ranting tidak diraikan sewajarnya. Sebaliknya, keseragaman dirangkul sebagai kebijaksanaan yang muktamad. Semangat inkuiri, penerokaan dan penciptaan yang menjadi asas utama peradaban manusia sejak sekian lama, tidak dipupuk sebagai sesuatu yang mulia, sebaliknya dipandang serong dan dianggap berbahaya.

Dalam suasana sedemikian, dogma dan status quo menjadi budaya. Kelompok berkepentingan dan generasi tua terus-menerus memaksakan kepercayaan, cara dan ‘pakaian’ mereka kepada generasi selepasnya.

Kita seolah-olah lupa pada pesanan Saiyidina Ali KW yang mengingatkan – “jangan memaksa anak-anak kamu memakai pakaian yang kamu pakai, kerana mereka tidak dilahirkan untuk zaman kamu”.

WS Rendra turut menulis tentang fenomena ini. Katanya…”apabila daya hidup orang tua sudah lemah dan mindanya sudah mandul, maka dia akan bersikap eksploitatif dan oportunis ke atas anaknya. Dia akan merampas kemandirian hidup anaknya dengan kepentingan menopang hidupnya yang kehilangan daya untuk tumbuh dan berkembang.

Dalam keadaan itu, orang tua tanpa bimbang dan ragu lagi akan menyuap minda generasi muda dengan indoktrinasi-indoktrinasi. Minda generasi muda tidak lagi dituntut dan dilatih untuk membentuk pandangan sendiri. Bukan kemampuan pengamatan dan kemampuan merumuskan pengalaman yang ditekankan pada generasi muda, tetapi mereka diajar untuk memuliakan panutan…” (Penyair dan Kritik Sosial).

Kegagalan membudayakan tradisi ilmiah

Saya juga bersegera bersetuju menerbitkan buku Dr Syed Husin ini kerana keperluan membuka ruang perbincangan dan perbahasan berdasarkan hujah-hujah yang konkrit dan objektif sebagai satu keperluan mendesak dan asasi sebuah masyarakat yang positif serta maju.

Perbincangan, apatah lagi perbahasan ilmiah tentang isu-isu jarang-jarang berlaku dalam masyarakat kita. Jika berlaku pun, ia bukanlah perbincangan dan perbahasan yang sivil dan tertib sifatnya. Sebaliknya ia sarat dengan emosi, salah fakta dan menghampiri pergaduhan. Sesi perbahasan di Parlimen kita adalah contoh yang jelas tentang sisi hodoh masyarakat kita ini.

Justeru, tidaklah luar biasa sekiranya dalam bahasa kita terdapat satu perkataan yang tidak dimiliki oleh bahasa-bahasa lain, iaitu perkataan ‘amuk’. Kamus Dewan mendefinisikan ‘amuk’ sebagai ‘menyerang secara membabi buta dan membunuh atau mencederakan sesiapa jua yang ditemui (kerana sangat marah, gelap mata dll)”.

Bukankah ‘amuk’ adalah ‘pernyataan emosi, sikap dan pendirian yang terpendam tanpa tertib dan atur cara tertentu”? Dan bukankah ia berpunca daripada kegagalan kita membudayakan fakta dan hujah sebagai perisai pendirian dan sikap, serta kegagalan kita menerima dan menghargai perbezaan sebagai rahmat dan ciri khusus manusia itu sendiri?

Namun, Dr Syed Husin tidak mengamuk dan tidak pernah mengamuk. Beliau sebaliknya menulis dan bersuara terus-menerus, hatta dari sebalik tembok penjara. Beliau adalah antara lelaki dan wanita dengan belikat keluli yang pernah dan masih hidup di tengah-tengah kita sambil menggendong idealisme sebuah masyarakat yang adil, saksama, merdeka dan sejahtera, iaitu sebuah masyarakat yang bebas daripada kelaparan ilmu, kedaifan kuasa serta harga diri dan kemiskinan mata benda.

Tanpa dipinta dan tanpa jemu-jemu, mereka tetap tegak berdiri laksana rumah api yang dengan setia melampiaskan cahaya pedoman kepada dagang santri yang lalu. Gelombang tidak melemaskan mereka. Karang dan teritip tidak melukakan mereka. Hujan, panas dan angin tidak melunturkan mereka. Mereka tidak terkalahkan.

Sesungguhnya kejahilan, ketakutan dan kemiskinan yang berjalin-kait adalah prasyarat mutlak ke arah terbentuknya masyarakat dan individu hamba pada setiap zaman dan di semua tempat.

Perbezaan sebagai ciri semulajadi manusia

Selain itu, juga diharapkan penerbitan buku ini bakal menjadi langkah kecil ke arah menggalakkan pembinaan lebih banyak jambatan antara sesama kita bagi mengatasi sekian banyak prasangka dan salah faham yang telah tertanam sejak sekian lama.

Sebagai manusia, kita hanya mampu berkongsi lautan, angin dan arah, bukan kapal, kerana setiap kita adalah berhak dan tertakluk kepada kapal kita masing-masing. Justeru, impian atau usaha untuk memaksa semua orang berada di atas sebuah kapal yang sama adalah sesuatu yang sia-sia dan tidak tabii yang bakal menimbulkan herotan-herotan dasar pada struktur gadang kehidupan umum dan peribadi kita.

Dalam keadaan sedemikian, setiap kapal harus berusaha menyumbang kepada pengamanan dan penyuburan lautan yang menjadi milik kita semua kerana hanya dengan lautan yang aman dan subur setiap kapal dapat belayar ke destinasi masing-masing dengan tenteram.

Dan supaya nanti, lautan itu akan dapat berperanan, dengan meminjam kata-kata Almarhum Rustam A Sani, “ … sebagai bukan sahaja pembawa obor budaya, tetapi juga sebagai kuasa penyatu yang di sekelilingnya usaha manusia dapat digembleng untuk manfaat pembinaan anggotanya, secara individu dan juga kolektif”. (Failed Nation: Concerns of a Malaysian Nationalist)

Sebagai sebuah buku yang ditulis dari dalam tahanan, ia adalah lambang kekuatan jiwa dan minda manusia bebas yang tak terkurung dek seribu lapis dinding atau tembok atau jeriji besi. Ia ditulis daripada ingatan penulisnya sepenuhnya.

Sebagaimana tulisan dari penjara yang lain, seperti Long Walk To Freedom oleh Nelson Mandela, kuartet Bumi Manusia oleh Pramoedya Ananta Toer atau Fi Zilalil Quran oleh As-Syahid Syed Qutb, ia seharusnya dikekalkan seperti itu sebagai lambang kemanusiaan penulisnya, dengan segala kelemahan, kesederhanaan dan kecemerlangannya.

---------------------------------
(Sedutan ucapan elu-eluan saya ketika pelancaran buku Orang Melayu: Masalah dan Masa Depan dan tiga buah buku lain karangan Dr Syed Husin Ali, oleh Penasihat Umum PKR, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Nov 2008 di Shah Alam)

2 comments:

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Tentu aku boleh dimaafkan jika terasa terlihat akan jalur keperakan di mega yang mendung tatkala membaca entri tuan ini.

Dan hampir pasti aku boleh terus dimaafkan lantaran mengimbas kata-kata mutiara yang pernah tertampal di dinding sebuah rumah puluhan tahun dahulu yang berbunyi,

"Begitu lama menanti, rupa-rupanya aku yang dinanti".

Andai kata tuan SPA ini konsisten dan produktif menyebar apa yang selamanya terpendam di benak sanubari sekaligus mengamali sebaik-baik mungkin intipati peribadinya - maka pencarian dan penantian terhadap susuk-susuk manusia pemimpin tidaklah menjadi suatu kembara yang kosong lagi meletihkan.

Dan hampir pasti jua aku memetik sedikit kata-kata daripadanya sebagai sandaran dalam sebuah epilog yang diberi judul "Muktamar Selamat Jalan Buat Mat Sabu".

Aku bukan pencuri biasa.

syed putra ahmad said...

terima kasih dan sekali gus terasa terbeban ekoran komen sedemikian. dan saya masih ingat kata-kata keramat itu.

as per mat sabu, saya mohon sembah derhaka. mat sabu adalah suara hati rakyat biasa, dia mungkin tewas jawatan, tetapi mat sabu tkdak mungkin jatuh. dia rakyat. rakyat tidak pernah jatuh.