Friday, May 15, 2009

terima kasih, tokguru

manusia di sisimu adalah seorang saudara dalam agama, atau saudara dalam kemanusiaan - imam ali

lega rasanya hati dan ringan rasanya minda sewaktu sedang berfikir tentang hal-ehwal keadaan kita sebagai sebuah bangsa dan tentang pr sebagai usaha jujur kita untuk berubah, terutamanya tentang telatah suku wis-was dalam pas - yang berpatah arang menyemai kemelut, membias tumpuan dan merungkai barisan - saya dapat mendengar ucapan dan amanat tgna pada 13 mei yang penuh sejarah ini tentang keperluan mendesak supaya meninggalkan kecenderungan rasis dan komunal dari dalam diri kita, lalu bergerak bersama sebagai sebuah bangsa baru.

kecenderungan seperti ini begitu mudah dikesan berpandukan keinginan untuk surut kepada identiti dan asabiyah kumpulan apabila berhadapan dengan cabaran-cabaran baru atau ketika cabaran lama tampak sukar ditangani, tanpa berasa perlu untuk menimbangkan sama ada sikap itu betul dan adil, atau sama ada ia merosakkan keutuhan semua atau tidak.

dengan kata lain, apabila keadaan menjadi sukar atau dirasai sukar, kita menyurut ke dalam keselesaan cengkerang komunal dan sempit kita untuk berasa selamat dan yakin diri. dengan berteleku memeluk lutut, ketakupayaan, sifat pengecut, malah cemburu - tiang-tiang utama sikap dan tingkah menikus ini - tanpa segan-silu dipersembahkan dengan warna-warna kewarakan agama atau ketulenan budaya.

suka atau tidak, kita adalah bangsa yang terus-menerus diperingatkan tentang keterpisahan kita, bukannya kebersamaan dan keterikatan. syabas kepada parti dan politikus berasaskan kaum dan komunal yang selama lebih 50 tahun menguasai pentas sosial kita, rasa keterpisahan ini seolah-olah memberi makna dan menakrifkan diri kita.

tragedi 13 mei, 1969, telah mengejutkan kita buat seketika tentang kehodohan jalan ini. ia mengkhianati kebenaran dan menafikan keindahan perbezaan, dan sesungguhnya kita memang berbeza. sesetengah kita telah belajar, tetapi ramai yang tidak. 39 tahun selepas inisiden tersebut, kita masih di titik yang sama seperti sebelumnya.

selama ini, kita tidak pernah atau tidak cukup berani untuk menguburkannya. kita belum berupaya menghadapi sisi gelap ini dengan sedar dan rela. kita sekadar mahu bergegas melepasi hari ini tahun demi tahun dengan harapan lambat laun ia akan luput daripada memori sosial kita.

hakikatnya tidak demikian. sisi gelap ini terus menghantui bawah-sedar kita, dan sekali-sekala menampilkan wajah hodohnya ekoran agitasi atau rasa terancam, walaupun sedikit. syabas sekali lagi kepada parti dan politikus berasaskan kaum dan komunal serta wira-wira jadian ketulenan budaya, atau uslub, kata si picing.

sudikah kita meneroka fikiran berbeza dan mengambil haluan baru yang lebih bermakna?

amanat tgna yang mudah dan berani itu hanyalah suatu peringatan dan rayuan jujur kepada kita rakyat malaysia supaya mengambil langkah untuk bersemuka dengan sisi gelap perkauman dan komunal ini, sekali gus menguburkan ruang hitam yang melohong di bawah sedar kehidupan sosial kita.

mudah-mudahan, dengan kejujuran dan kasih sayang, kita akan berupaya mengambil momentum baru sebagai bangsa yang didasarkan kepada kebenaran, keadilan, demokrasi, moral, keberagamaan, kebebasan, kasih-sayang dan rasa keterikatan.

dan mudah-mudahan juga, tanggal 13 mei akan diingati bukan lagi sebagai hari tragedi dan memalukan, tetapi sebagai hari gembira dan perayaan. iaitu hari kita berjaya mengatasi dan menakluk semua - ketakutan, keraguan dan kelumpuhan - sebagai bangsa yang berhak dan bernama.

bagi saya, tgna mewakili apa-apa yang baik dan indah tentang diri kita sebagai manusia individu, dan juga kita sebagai sebuah bangsa. kakinya terhunjam jauh ke dalam bumi budaya, nilai, kepercayaan, sejarah dan keperibadian kita, tetapi pada masa yang sama dia cukup sedar untuk menerima dan menghargai keperluan untuk tumbuh dan berubah. lalu ini membolehkan dia mengambil manfaat daripada potensi, bakat dan kreativiti semua, sama ada individu, dan lebih-lebih lagi kolektif.

jelas dia memenuhi kriteria-kriteria yang tertulis dengan terang dalam perlembagaan sebuah negara yang telah dengan jayanya meneroka, menggagaskan, mendebatkan, memperjuangkan dan melaksanakan idea asal kepimpinan ulamak dalam kerangka yang moden, progresif dan demokratik, iaitu..."faqih yang adil dan warak yang arif tentang hal-keadaan zamannya, berani, pintar dan memiliki upaya pentadbiran; dan diiktiraf dan diterima sebagai pemimpin (rahbar) oleh majoriti rakyat..." (Perkara V, Perlembagaan, Republik Islam Iran).

selain itu, tgna bercakap dalam bahasa rakyat biasa, tanpa sedikit pun 'jampi serapah' falsafah atau rasa perlu untuk bergaya besar untuk mendapatkan perhatian orang. bahasanya mudah dan telus. bahasa hati, kata orang. cukup lunak kepada orang yang paling daif dari kalangan kita, dan cukup dalam bagi yang paling terpelajar sekalipun.

sejarah dan minda cemerlang akan mengesahkan bahawa kebenaran dan kebijaksanaan, lazimnya ditemui pada perkara yang biasa-biasa sahaja. dalam perkara-perkara yang nyata, kata sesetengah orang, sama seperti tuhan.

wallahu a'lam.

7 comments:

Anonymous said...

Terima kasih saudara habib/syed kerana prihatin dengan bahasa ibunda kita. Sesungguhnya usaha sdra harus dipuji kerana mencuba sesuatu yg lain daripada kebiasaan...

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Nah, aku betul.

Membaca jalur fikir Melayuan SPA adalah suatu pengalaman tersendiri.

Jika aku hampir rontok dengan Hisham Rais yang menyeru kesatuan para Mat Rempit melalui "Mat Rempit, Bersatulah", maka adil dan wajar mengucapkan "Terima Kasih SPA" kerana "terima kasih, tokguru".

Suatu pengucapan cendekia yang mampu menerobos.

Namun begitu, walaupun semua "keAyahandaan" TGNN adalah sahih dan soleh, kelompok kelalangnya kekal suspek. Dan walau dia wali, untuk menjadi Imam dia harus bersihkan halaman kepemimpinannya.

Memang aku tidak dapat memberi nama kepada mana-mana satu susuk untuk menepati Perkara V, Perlembagaan, Republik Islam Iran itu - yang nyata TGNN juga tidak terdaya menjunjungnya.

SPA mendamba manifestasi total susuk Imam yang sempurna - namun masih berkata jika tiada gading, tongkat pun berguna ..?

Itu bukan analogi yang kena pada tempatnya.

Dan aku bukan pemain kata-kata.

Aku pencuri.

ahmadnizamhamid said...

memang kita tidak boleh brharap kepada angin kerana kekadang menghembus sendu yang tentunya mendamaikan dan tak jarang pula menjadi puaka yang meruntuhkan.
memang didalam mana-mana gerakan Islam ketimbang pembentukkan negara bangsa,watak dan sosok kebapakan amat perlu.malah jalur ini cukup difahami (dan tentunya dimanfaat sepenuhnya) oleh Ustaz Ashaari Al Arqam;sdr baca sahaja beberapa karyanya seperti memperikan siapakah Mujtahid Abad Ke-20 atau siapakah yang menjadi 'pembantu' kepada Al Mahdi yang saya fikir menjurus kepada pembentukkan kesatuan fikiran buat menerima watak atau sosok pimpinan itu sebagai yang terbaik.
memang persoalan pokok ialah idealog yang punya buah fikiran yang tuntas yang jernih mendepani masalah,situasi dan denyut masyarakatnya.melihat kepada Iran misalnya,saya kira adalah tersasar jika tidak turut membicarakan sumbangan dari sosok Ali Shariati ketimbang peranan Imam Khomeni sendiri.
justeru itu,sementara saya tidak memperkecilkan TGNA-malah setuju bahawa keperibadian dan pimpinannya par excellence-namun saya melihat keperluan untuk keluar dari kelongsong kepartian dan pada masa yang sama,mampu melahirkan buah fikiran yang jernih,asli dan berpijak diatas kenyataan kemajmukan masyarakat.saya lihat TGNA ada ciri-ciri ini cuma ianya perlu dituntaskan sepenuhnya.
~catatan orang demam.http://lanailestari.blogspot.com

ahmadnizamhamid said...

ralat:mujtahid hendaklah dibaca sebagai mujaddid!
maaf,orang demam

syed putra ahmad said...

pencuri dari kota baghdad

sungguhlah anda pencuri. pencuri kata-kata. bukankah anda yang mendambakan imam sempurna melalui frankestein mahathir, hadi, mat sabu, ku li dan siddiq?

saya hanya mendambakan apa yang ada di depan mata. yang biasa-biasa sahaja. yang nyata. tgna adalah manusia biasa-biasa itu. dengan kelebihan dan kekurangannya. sama seperti saya, dia, mereka dan anda juga, bukankah begitu?

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Tuan SPA.

seorang yang tidak bermain bola di padang masakan boleh disabit "curi ayam".

Ya, tuan masih boleh kata aku pencuri ayam di reban tapi itu klise.

Memang secara lumrah aku turut damba kesempurnaan untuk apa jua pun namun sekadar memenuhi permintaan tuan untuk nama satu susuk sempurna secara gabungan (dan sebenarnya kesempurnaan tidak wujud sebagai manusia) tidaklah bererti aku tidak boleh tidak menuntut kewujudannya.

Seperti Tuan Nizam dan lain-lain orang, TGNN kekal kedudukannya. Bukan itu yang mahu diperhitungkan.

Yang dituntut adalah upaya. Dan upaya boleh malah harus digabung.

syed putra ahmad said...

sudah pastilah begitu. saya pun tidak bercakap tgna sebagai superman, hanya beliau sebagai pedoman moral dan rohani, the general guide.

isa as tanpa hawariyun, atau muhammad saw tanpa sahabat, paling baik hanya akan menjadi penjual kata-kata.

ps. 'ayahanda' hanya khusus untuk sahibul samahah di cangkat lobak.