Tuesday, July 07, 2009
Belasungkawa
Saiyed Ahmad bin Saiyed Abdullah
Sahmad Malaya
Abah
1928-2009
Guru – penulis - budayawan – pejuang
* * *
daripada leluhur tuan warisi
sumpah keramat ikatan abadi
harga diri maruah manusiawi
tidak menjual tiada membeli
sehingga akhir hari, sampai ikrar berbukti
biar pedih peri
tuan mahu terus berdiri, jadi suluh pekerti
biar pedih peri
tuan terus membakar diri, jadi obor pertiwi
pagi ini
dia menjemput tuan kembali
kami melepas tuan pergi
tuan menabur ulas bakti
lalu tumbuh pohon budi
kasihkan tuan orang di sini
orang di sana apatah lagi
selamat tuan mengundur diri
doa restu kami iringi
satu hari berjumpa lagi
dengan segala senang hati
assalamu’alaikum wr, wb
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
4 comments:
Datang dan pergi
kita hanya sementara di sini
mengumpul bekalan untuk ke sana nanti
usah rawan usah ditangisi
doakanlah dia pergi
semoga perjalanannya dirahmati
hanya Dia Yang Maha Mengetahui
apakah kesudahan kita semua nanti
-BUKIT CINTA-
Yang pergi tetap pergi kerana menepati janjinya dengan Allah.
Kita yang hidup entah bila pula akan menuruti.
Al-Fatihah....semoga rohnya dicucuri rahmat.
Takziah buat tuan spa sekeluarga.
Tuan SPA,
kami turut merasakan pemergiannya dijemput al-Khalik.tiada kata-kata yang dapat diungkapkan untuk mengzahirkan kesedihan ini.
ya,ada penyair menyebut 'kematian adalah tidur panjang...maka mimpi indahlah engkau...'namun naluri manusia,setiap kematian adalah kepiluan dan kerinduan tentunya.
dan saya cukup berbangga kerana pernah mengenali dan mendekati arwah Abah-tentunya selalu sebagai murid dengan guru-malah memang terasa kemesraan layanan bukan sebagai anak muda yang mentah tetapi sebagai orang yang di hargai pandangannya.
semoga Allah Yang Maha Pengasih Dan Penyayang mencucuri rahmat keatas rohnya,diampunkan dosa-dosa dan ditempatkan rohnya dikalangan para solihin dan anbiya'.amin.alfatihah
tanah kubur tanjung besar
hadir orang banyak
untuk mengucapkan
selamat jalan
tanah kubur tanjung besar
ada orang istana mewakil diri
ramai juga pimpinan negeri
handai taulan dan jiran
keluarga dan saudara mara
anak didik
anak cucu cicit
darah daging sendiri
dari jauh dari dekat
menahan sebak di dada
menzahir redha di hati
tanah kubur tanjung besar
berdakapan mohd sharkar
sambil terdengar amir roslan
berpesan kepada sheikh badar
jangan telepon Abah lagi malam ini
mengucup tangan
Bung Selamat Ahmad Kamal bin Alang
siapa mati ditanduk kerbau
hadir masih dengan wajah
tukul dan sabit
perjuangan buruh dan petani
cuma kini memakai kopiah
bulan purnama sambil mengusap
janggut kemerahan
tanah kubur tanjung besar
setelah sekian lama
bertemu kembali
sharifah nora
suhaimi samsudin
mereka tidak bertegur sapa
mata mereka berbicara
dan disedari amran
anak arwah cikgu baharom
yang lantas memberi isyarat
maka tersenyumlah mereka-mereka
yang datang dari Kuala Lumpur
Abah
di sini pun
di tanah kubur
di tanjung besar
masih membina ukhwah
dan masih memalar segar
segala rindu dan janji
selamat jalan ya saiyiddi
sampai bertemu lagi
Insya'llah
Post a Comment