Oleh Haris Zalkapli
Pengumuman keputusan kerajaan menamatkan penggunaan bahasa Inggeris dalam pendidikan matematik dan sains di sekolah telah mencetus pelbagai reaksi, yang sebahagian besarnya sudah dijangka.
Disebabkan keputusan memulakan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik, PPSMI, dibuat berdasarkan pandangan politik lebih daripada pertimbangan lain, terutama intelektual, reaksi yang tercetus juga banyak dipengaruhi politik.
Pihak penentang PPSMI, yang kumpulan Melayu lebih banyak ditonjolkan dan lebih berprofil tinggi menyambut baik keputusan itu, walaupun sebahagian masih menunjukkan sikap skeptikal.
Dalam media berbahasa Inggeris, keputusan ini dinilai dengan negatif dan dikaitkan dengan penolakan bahasa Inggeris dan kemerosotan penguasaan bahasa ini di negara kita, yang dihubungkan pula dengan nilai kompetitif dalam pasaran kerja.
Pihak pro-PPSMI secara jelas menggunakan bahasa politik dalam wacana mereka dan tidak menerima langsung hujah penentang PPSMI bahawa penolakan terhadap PPSMI bukan disebabkan sikap benci kepada bahasa Ingggeris, tetapi disebabkan asas falsafah dan intelektual yang lebih mendalam.
Dalam wacana pro-PPSMI, kumpulan penentang diletakkan dalam kategori “nasionalis,” cukup dengan segala konotasi dan subteks negatif. Gambaran yang diberikan meletakkan penentang PPSMI sebagai konservatif yang menolak bahasa Inggeris yang asing.
Dalam satu berita akhbar New York Times yang kelihatan seperti ditulis pelobi pro-bahasa Inggeris, istilah “pengharaman” digunakan pada tajuk berita itu, dan ditulis dengan memberi gambaran Malaysia berdepan kebimbangan terhadap masa depan negara kerana meminggirkan bahasa Inggeris.
Keputusan menamatkan PPSMI telah dieksploit kumpulan pro-bahasa Inggeris sebagai satu langkah ke belakang, yang bertentangan dengan aspirasi menuju kemajuan kerana bahasa Inggeris didakwa bahasa yang wajib untuk mencapai kemajuan.
Jelas sekali bahawa kumpulan pro-PPSMI (yang juga bersetuju sekiranya semua subjek diajar dalam bahasa Inggeris) bercakap dalam bahasa politik dalam wacana PPSMI ini. Sikap yang ditunjukkan ialah sikap politik. Sokongan kepada bahasa Inggeris ialah satu pendirian politik.
Kerana inilah, kumpulan anti-PPSMI tidak sepatutnya berhenti setelah keputusan menamatkan PPSMI diumumkan. Perjuangan lebih besar, memartabatkan bahasa Melayu, masih berdepan jalan yang panjang dan sukar, lebih-lebih lagi dengan berleluasanya politik dan budaya liberal pada masa ini.
Satu realiti sosial dan politik di negara ini ialah bahasa Melayu tidak dipandang tinggi oleh sejumlah besar penutur bahasa lain. Bahasa Melayu tidak dilihat sebagai bahasa kebangsaan oleh banyak pihak, tetapi dilihat sebagai bahasa orang Melayu. Sikap politik golongan ini menetapkan mereka tidak sehaluan dengan sebarang unsur Melayu.
Isu lebih mendalam dalam wacana PPSMI yang tidak dinyatakan ialah ramai yang mahu bahasa Inggeris menjadi lebih meluas dan lebih utama berbanding bahasa Melayu. Keputusan pembatalan PPSMI digunakan sebagai alasan untuk meningkatkan serangan terhadap usaha yang dilihat memberi keutamaan kembali kepada bahasa Melayu.
PPSMI bukan cara untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris. Sama ada PPSMI dilaksanakan atau tidak, amat sedikit kena-mengena dengan peningkatan atau kemerosotan penguasaan bahasa Inggeris. Kunci kepada penguasaan bahasa Inggeris ialah pembelajaran bahasa Inggeris dengan lebih baik, termasuk pembelajaran unsur budaya bahasa ini.
Inilah yang sengaja diabaikan penyokong PPSMI yang secara simplistik menerima kaedah ini sebagai cara meningkatkan kualiti bahasa Inggeris, dan membayangkan masa depan negara yang gelap apabila sains dan matematik tidak lagi diajar dalam bahasa Inggeris.
Hal yang sama juga berhubung penguasaan matematik dan sains. Seseorang itu mungkin berbahasa Jerman, Jepun atau Inggeris, tetapi yang menjadi kunci penguasaannya terhadap subjek itu ialah budaya dan pemikiran yang mendekatkan lagi dirinya dengan ilmu tersebut.
Satu perkara penting yang tidak diberi perhatian sewajarnya di negara kita – terutama melibatkan orang Melayu – ialah penterjemahan bahan-bahan asing ke dalam bahasa Melayu, yang berupaya menyampaikan ilmu itu kepada masyarakat tempatan.
Kelemahan bahasa Inggeris masyarakat negara ini ialah kesan budaya dan politik yang tersendiri, yang dapat dilihat pada pendidikan bahasa Inggeris di sekolah.
Berdasarkan pengalaman saya sendiri, sekolah tidak mampu untuk meningkatkan kualiti penguasaan bahasa Inggeris kerana pembelajaran dan pengajaran bahasa ini berkualiti rendah, antaranya mengabaikan nahu yang menjadi elemen penting bahasa.
Apapun kelemahan yang dapat dilihat pada masa ini ialah sebahagian kemerosotan umum dalam banyak bidang di negara kita, bukan hanya bahasa Inggeris. Dalam kes PPSMI ini, Tun Mahathir Mohamad ketika menjadi perdana menteri dulu hanya memerhatikan satu masalah kecil dan memikirkan satu penyelesaian yang mudah berdasarkan pemahaman simplistik beliau.
Kemerosotan kualiti di negara kita bukan hanya dalam bahasa Inggeris. Hakikat bahawa kemerosotan ini dibiarkan sejak sekian lama tanpa tindakan serius, termasuk semasa pemerintahan Mahathir, menunjukkan kegagalan beliau dan pihak yang berkuasa dalam hal ini.
Sepatutnya, usaha meningkatkan kualiti pendidikan sekolah di negara kita telah dilakukan semasa pemerintahan beliau, dan bukan hanya ditumpukan pada bahasa Inggeris, yang dipaksa menjelang hujung pemerintahannya.
Kesan kepada kelemahan ini dapat dilihat dengan pelaksanaan satu dasar yang salah yang bertentangan dengan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.
Monday, July 20, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment