Thursday, July 02, 2009

Dengarlah, tuan...(1)

“...golongan materialis menganggap deria sebagai satu-satunya sumber pengetahuan, dan apa-apa selain deria tidak termasuk ke dalam bidang pengetahuan. Selain itu, mereka menyamakan kewujudan dengan kewujudan material semata-mata.

Justeru, apa-apa yang tidak berjisim, dianggap tidak wujud. Lalu mereka menganggap dimensi Ghaib, seperti Tuhan yang Maha Berkuasa, risalah kenabian, wahyu dan Hari Akhirat sebagai mitos semata-mata.

Dalam pandangan-hidup samawi, asas pengetahuan adalah ‘deria’ dan ‘taakulan’. Apa-apa yang rasional adalah termasuk ke dalam ruang lingkup pengetahuan, walaupun ia berada di luar jangkauan deria. Al-Quran menolak asas-asas pandangan hidup materialis; bagi mereka yang tidak percaya, Tuhan tidak wujud kerana, jika tidak, tentulah Dia boleh dilihat.

Dalam pandangan hidup samawi juga, manusia sentiasa mengidamkan kesempurnaan dalam bentuknya yang mutlak; justeru, tuan tentu sedar bahawa manusia juga berkeinginan menjadi serba-berkuasa di dunia ini. Oleh sebab itu, tentulah manusia tidak akan berminat atau terus berminat terhadap mana-mana kuasa yang tidak sempurna.

Walau bagaimanapun, manusia adalah haiwan yang belajar. Jika mereka terdengar perihal sains, maka mereka tentu berminat untuk menguasainya juga. Tegasnya, manusia sentiasa berminat terhadap serbakuasaan dan serbatahuan – yang merupakan sifat-sifat Tuhan. Secara sedar atau tidak, kita sememangnya tertarik kepada kedua-duanya, walaupun kita sendiri mungkin tidak tahu mengapa.

Manusia berkeinginan untuk akhirnya dapat menyentuh kemutlakan itu, lalu larut di dalamnya. Minat membuak terhadap hidup abadi yang tertanam dalam diri setiap orang adalah petunjuk tentang kewujudan alam abadi itu sendiri dan kekebalan manusia terhadap kematian...”

---------------------------------------
(1) Petikan surat Khomeini kepada Setiausaha Agung Parti Komunis Russia dan Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev, pada 4 Januari, 1989; dalam, Ulamak memimpin: Kehidupan, perjuangan dan pemikiran Khomeini, (bakal terbit).

* Kesatuan Sovet akhirnya tumbang secara rasmi pada 26 Disember 1991, seperti yang dijangka oleh Khomeini dalam suratnya ini.

2 comments:

Anonymous said...

Son In Law
of The Father In Law
of Changkat Lobak

Nah akhirnya .., Tuan SPA seperti sudah bertapak di daerah zuhud orang-orang bersuluk di wilayah Semantan sambil mencerakin dan mencanai jalur fikir manusia terpilih bernama Mustafa al-Khomeini.

Seperti Wahyu Sulaiman Rendra (sebelumnya Willibrotur Sujendra Broto Rendra) yang mengisytihar mahu beribadat total mendampingi Sang Pencipta saat mencapai usia 70an, Tuan SPA yang pernah memakai nama pena Sutra Malaya seperti turut memilih laluan Pak Rendra ketika berusia 50an.

Sukar dilupa sewaktu Anwar Ibrahim masih TPM, dia mengundang Pak Rendra untuk baca puisi kepada pegawai2 kanan Kementerian Kewangan dan antaranya ialah "Ketika Umurku Lima Puluh Tujuh Tahun, Aku Jatuh Cinta".

Seperti si Burung Merak, Sutra Malaya kini di Sanggar yang sama.

syed putra ahmad said...

ahhhhh kerabat cangkat lobak. lama tidak terdengar suara tuan. menyegarkan seperti embun pagi.

ya, barangkali itu lumrah manusia. apabila usia bertambah, kita menemui diri yang satu lagi yang selama ini tersembunyi.

dan seperti juga lazim manusiawi, dia berharap untuk memeras akar untuk menerjah lebih tinggi.

atau ia akan surut sahaja ke dalam diri sambil mengira dan menaksir hari.

begitulah agaknya.

wallahu a'lam.