saya tidak pernah meminati filem-filem arwah yasmin ahmad. setelah menonton dua filem beliau, iaitu rabun dan sepet, saya dapati ia terlalu dibuat-buat dan terlalu tebal sisi propagandanya.
bagi saya, secara umum, filem-filem beliau adalah satu himpunan klip-klip iklan yang dicantumkan secara kasar untuk menghasilkan sebuah cerita yang lebih panjang. terlalu banyak ‘puncak’ dan mesejnya sehingga seorang penonton biasa seperti saya hilang fokus tentang apa yang penting, mana yang kurang dan mana pula yang sekadar menyokong.
namun begitu, saya amat menghargai keberanian, kejujuran, komitmen dan kesediaan beliau untuk menyuarakan isu-isu ‘taboo’ dalam masyarakat kita dengan cara dan sudut pandangnya sendiri.
dan dengan keberanian, kejujuran dan komitmen yang sama, beliau berusaha menampilkan nilai dan sisi manusiawi kita yang tidak terlalu terikat dengan ‘pakaian zahir’ yang membezakan dan memisahkan.
dari sudut ini, arwah yasmin ahmad, cuba mengetengahkan mesej yang pernah disampaikan oleh jalaluddin rumi :
“ada ketika kita tersembunyi, ada ketika kita nyata;
kita muslim, kristian, yahudi; dari semua bangsa.
hati kita berbentuk hati manusia segala,
tapi tiap hari kita pakai wajah berbeza”
- (#1325, Divan-i Shams-i Tabriz).
selamat jalan tuan. moga kontradiksi di dunia sini tidak lagi memberatkan tuan di dunia tanpa jasad di sana. assalamu’alaikum.
Tuesday, July 28, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment