Wednesday, July 29, 2009

Mari bertemu atas Kasih Tuhan – kami dan tuan (1)

Oleh Seyyed Hossein Nasr (2)

Telah ditegaskan oleh firman Tuhan, yang bagi kami orang Islam, merupakan al-Quran al-Karim, bahawa “Tuhan menyeru kepada Rumah Perdamaian”, dan juga oleh Isa RA, yang merupakan Kalam Tuhan dalam agama Kristian dan Nabi Ulul-Azmi dalam Islam, bahawa “...para pembawa damai adalah dirahmati”.

Justeru, matlamat mencapai kesejahteraan, keselamatan dan keamanan adalah satu dan tunggal dalam kedua-dua agama kita dan kita pula berada di sini dengan harapan untuk meneroka jalan ke arah perdamaian antara orang Kristian dengan Islam.

Malah, apakah yang lebih penting dan asasi sifatnya dalam usaha ini selain daripada mewujudkan perdamaian antara dua agama kita ini – kerana hanya melaluinya kita akan berupaya mewujudkan perdamaian dan keamanan antara bangsa-bangsa dan negara, dan lebih khusus antara dunia Islam dengan dunia Barat. Sama ada kita Muslim atau Kristian, kita digesa oleh agama masing-masing supaya mencari perdamaian itu.

Sebagai umat beragama yang bertemu di pusat agama Katholik ini, mari kita pasrahkan diri kita kepada persefahaman, bukan sebagai diplomat, tetapi sebagai cendekiawan dan tempat rujuk agama masing-masing yang tulus dan berdiri di hadapan Tuhan, dengan rasa bertanggungjawab kepadaNya, yang mengatasi semua wibawa dan kuasa duniawi yang ada.

Sebagai Muslim, kehidupan kami bermula sejak kemunculan wahyu al-Quran yang telah mengulang-ulangkan pernyataan keimanan Islam iaitu, kalimah Lailaha illa Llah. Ia adalah pernyataan keimanan kepada Tuhan yang Tunggal, yang turut dinyatakan dalam Shema dalam Taurat, yang kita terima bersama sebagai wahyu samawi.

Ini kerana kami dan tuan adalah anggota dalam keluarga agama tauhid Ibrahim AS. Selain itu, kami juga amat sedar bahawa selama lebih dua milenia, orang Kristian Katolik telah melafazkan credo in unum Deum.

Bagi kedua-dua kami dan tuan, Tuhan adalah bersifat sarwa jagat dan sarwa ada. Dia adalah pencipta dan pemelihara alam, juga alfa dan omega kewujudan Dia adalah Tuhan yang KehendakNya menguasai seluruh kehidupan kita, yang Pengasih dan yang KasihNya merangkul seluruh alam.

Dia juga adalah Keadilan, dan kita pula amat mendambakan keadilan itu dalam kehidupan peribadi dan juga masyarkat kita. Kita sama-sama mempercayai tentang keabadian ruh, sisi etika tindak-tanduk manusia dan tentang tanggungjawab kita di hadapan Tuhan, yang daripadaNya lahirlah hak-hak kita.

Selain itu, semua yang beragama, sama ada Kristian atau Muslim, percaya bahawa pada suatu hari kelak, kita semua akan berdiri di hadapan Tuhan dan akan dihakimi olehNya. Justeru dan sekali gus, kita amat mengharapkan Kasih SayangNya juga.

Kita turut mempercayai tentang realiti kesucian dan sejarah kita menjadi saksi akan kehadiran serta kehidupan para manusia suci, yang dinamakan ‘sahabat-sahabat’ Tuhan oleh kami, iaitu lelaki dan wanita yang telah menghidu harum Keakraban Tuhan itu.

Kita sama-sama menghargai kepercayaan dan keberagamaan mengatasi yang lain-lain. Kita berdoa kepada Tuhan dan yakin bahawa Dia sentiasa Mendengar. Bila dilihat seluruh tradisi teologi kita, kita dapati begitu banyak persefahaman tentang hubungan antara kepercayaan dan akal, persoalan kesukaran memahami Kehendak Ilahi atau PengetahuanNya, tentang kebebasan memilih dan determinisme, makna kejahatan dan pelbagai isu penting teologi yang lain.

Apa yang menarik ialah bagaimana pegangan teologi dalam satu tradisi mempunyai persamaan dengan pegangan serupa dalam tradisi yang satu lagi, mutatis mutandis. Kedua-dua agama kita telah melahirkan peradaban-peradaban besar dengan sains dan seninya diwarnai oleh sisi sakral dan kudusnya. Pada saat yang sama, kita sama-sama mempercayai akan kesejagatan risalah kita masing-masing.

Dan memang, sejarah kita pernah disulami oleh tempoh-tempoh keganasannya. Ketika peranan dan pegangan agama bertapak kuat dalam masyarakat kita, pelbagai kuasa politik telah melakukan keganasan atas namanya, dan dalam kes tertentu, keganasan ini telah mendapat keabsahan serta sokongan daripada pihak-pihak berkuasa agama. Tentulah kita tidak boleh mendakwa bahawa keganasan merupakan monopoli sesebuah agama tertentu.

Dengan begitu banyak persamaan yang besar-besar, maka kenapa pula kita mempunyai sejarah konfrontasi dan pertentangan yang begitu panjang? Jawapannya ialah kita juga mempunyai perbezaan-perbezaan yang menjadikan agama Kristian dan Islam berbeza dan terpisah.

Mari kita sebutkan beberapa contoh; Kami menekankan ketunggalan Tuhan dan menolak idea Tuhan tiga dalam satu, sementara tuan menekankan konsep Triniti dan pada saat yang sama mempercayai bahawa Tuhan adalah Tunggal.

Kami dan tuan sama-sama memuliakan Isa AS, tetapi dengan cara yang berbeza. Kami juga tidak menerima pegangan orang Kristian tentang penghujung hidup duniawi baginda. Namun, kami menerima Isa AS sebagai al-Masih dan menanti kemunculan-semula baginda di penghujung sejarah kemanusiaan kini.

Kami juga menekankan Undang-undang Ilahi (a-Syariah) seperti yang terkandung dalam al-Quran, sementara Isa AS melepaskan diri daripada Undang-undang atas nama Ruh. Justeru, orang Kristian tidak memiliki konsep Undang-undang Ilahi yang sama seperti orang Yahudi dan Islam.

Selain itu, orang Kristian juga tidak memiliki bahasa suci seperti Islam. Sebaliknya, tuan pernah menggunakan, malah ada yang masih menggunakan, bahasa-bahasa liturgi dalam wacana keagamaan tuan.

Tuan dan kami - kita sama-sama mempercayai kebebasan beragama, tetapi kami menolak kegiatan mubaligh yang agresif di kalangan masyarakat kami yang akan memusnakan agama kami atas nama kebebasan agama. Keadaan dan sikap yang sama akan diambil oleh tuan jika ia berlaku di kalangan orang Kristian juga.

Pengalaman agama Kristian dalam pertembungannya dengan humanisme sekular dan rasionalisme yang dikaitkan dengan Zaman Pencerahan juga amat berbeza dengan pengalaman Islam. Barangkali kita boleh belajar sesuatu daripada satu sama lain dalam konteks peristiwa penting ini.

Kita harus bersatu tenaga dalam perang menentang kuasa-kuasa anti-agama dan rohani dunia moden kini, dan kerja bersama ini seharusnya merapatkan kita. Sekularisme tidak seharusnya menjadi kuasa yang tambah menjarakkan sesama kita.

Dengan penuh kesedaran tentang persamaan keprcayaan dan perbezaan yang wujud antara kita, dan juga atas kesedaran akan keadaan semasa para penganut agama kita masing-masing, lalu kami, umat Islam daripada pelbagai mazhab dan negara, datang ke sini menghulurkan tangan persaudaraan kepada tuan, untuk bertemu dengan tuan atas Kasih Tuhan di sebalik semua perbezaan teologi dan memori sejarah pertentangan yang ada.

Pastilah, kami yang memuliakan dan mengasihi Isa AS seperti tuan juga, boleh bertemu dan bersahabat dengan tuan di bawah perintah yang dinyatakan baginda sebagai risalah yang paling agung: iaitu, untuk mengasihi Tuhan dan mengasihi jiran.

Kita boleh sahaja meluaskan, tanpa menggugat harmoni dengan satu sama lain, sempadan takrif perkataan ‘jiran’ itu untuk turut merangkumi, bukan sahaja kita, tetapi seluruh manusia, malah merangkumi sehingga semua makhluk Tuhan yang lain. Seperti yang ditegaskan oleh kitab Injil, “Dengan Tuhan, semua perkara adalah mungkin”.

Kita pasrah kepadaNya dan memohon pertolongan dan sokonganNya dalam memikul tugas besar bertemu tuan atas asas persaudaraan dan keamanan di bawah panji-panji Risalah Tunggal yng menyatukan kita semua. Tiada perbuatan yang lebih mulia pada zaman kita ini selain pembinaan perdamaian yang mendalam antara agama-agama Tuhan, terutama antara dua agama yang mempunyai jumlah penganut yang paling ramai di dunia ini, iaitu agama Kristian dan Islam.

Sesungguhnya, Tuhan menyeru kepada Rumah Perdamaian dan dirahmatilah para pembawa damai.


---------------------------
(1) Ucapan yang disampaikan pada First Seminar of the Catholic-Muslim Forum, Rome, November 4-6, 2008.

(2) Seyyed Hossein Nasr adalah pakar pemikiran dan kerohanian Islam yang ternama. Beliau merupakan profesor Pengajian Islam di Universiti George Washington dan telah menghasilkan lebih 50 buah buku. Dilahirkan di Teheran dan dibesarkan di Amerika Syarikat, Hossein Nasr adalah graduan Massachussetts Institute of Technology (MIT) and Harvard, dan amat dikenali serta dihormati di dunia Barat dan Islam. Beliau tinggal di Washington, D.C

1 comment:

Anonymous said...

Yes undoubtedly, in some moments I can reveal that I acquiesce in with you, but you may be making allowance for other options.
to the article there is quiet a question as you did in the decrease efflux of this request www.google.com/ie?as_q=pgp desktop professional 9.7.1 ?
I noticed the catch-phrase you procure not used. Or you functioning the pitch-dark methods of promotion of the resource. I suffer with a week and do necheg