Saturday, June 06, 2009

pas: realiti dan politik nasional (1)

Oleh Farish A Noor

pas telahpun berada dalam landskap politik malaysia sejak 1951 lagi, walaupun kehadirannya dalam sejarah negara bermula lebih awal, iaitu daripada parti islam yang pertama, hizbul muslimin, pada 1948.

para pemerhati dan penganalisis kini mengikuti perkembangan pas dengan begitu dekat sekali, dan terdapat begitu banyak spekulasi tentang nasib dan masa depan para ideologue dan pimpinan utama parti itu, terutamanya ‘wakil-wakil’ dua kelompok dalam parti itu yang dikenali sebagai kelompok konservatif dan progresif.

pembezaan seperti ‘konservatif’ dan ‘progresif’ tidaklah begitu berguna dalam kes-kes seperti ini kerana ia tidak banyak mendedahkan kepada kita keadaan yang sebenarnya berlaku dalam pas.

selain itu, ia juga memberi tanggapan silap tentang perbezaan-perbezaan yang wujud dalam parti itu seolah-olah ia boleh dirumuskan sebagai perbezaan binari yang sedemikian mudah.

jelas bahawa musuh-musuh pas amat gemar menggunakan dikotomi sedemikian dalam usaha dangkal mereka melemahkan dan memecahkan parti itu – taktik pecah-perintah yang terlalu biasa bagi sesiapa jua yang mengkaji politik malaysia sepanjang lebih-kurang 50 tahun lepas.

hakikatnya, pas merupakan sebuah parti yang jauh lebih kompleks daripada tanggapan banyak orang luar tentang parti itu, dan sifat ini berakar jauh ke dalam sejarahnya sendiri.

pada 1950-an, pas dilihat sebagai sebuah parti islamis-kiri sewaktu berada di bawah kepimpinan dr burhanuddin al-helmy dan zulkiflee mohammad; dan ketika perhatian parti itu tertumpu kepada perjuangan pembebasan nasional daripada kolonialisme dan pelbagai corak neo-imperialisme yang merata di asia dan afrika pada masa tersebut.

pada 1970-an, pas berubah menjadi sebuah parti etno-nasionalis sewaktu ia bergabung dengan umno-perikatan untuk satu tempoh yang pendek.

sejak 1980-an pula, ia berubah menjadi salah sebuah daripada parti islam yang paling lantang dan terkedepan di asia dan dunia islam untuk berdiri setara dengan jama’at islami di pakistan, india dan bangladesh di satu pihak, dan ikhwan al-muslimin di dunia arab di satu pihak yang lain.

di sebalik peningkatan profil dan kedudukannya dalam arena politik antarabangsa itu, namun pas masih kekal sebagai sebuah parti malaysia yang berusaha merebut kuasa di pentas politik negara ini.

ekoran pilihan raya umum pada mac 2008 apabila pakatan pembangkang berjaya mematahkan majoriti dua pertiga barisan nasional yang memerintah, pas kini mengatur langkah untuk menjadi sebuah parti nasional dengan aspirasi yang juga bersifat nasional seutuhnya.

ini membawa kita kepada bangsa malaysia yang wujud hari ini dan sama ada pas boleh bercakap bagi pihak sebuah malaysia baru yang kini telah menjadi jauh lebih kompleks daripada sebelumnya.

sama ada para pemimpin pas mahu memperkenalkan diri mereka sebagaai moderat, liberal, progresif atau konservatif, hakikat bahawa malaysia dan bangsa malaysia kini, yang mahu mereka wakili dan pimpin itu, adalah jauh lebih kompleks daripada keruwetan yang wujud dalam parti itu sendiri.

pas dan sesiapa jua yang memimpin parti itu mesti menyedari hakikat ini sekarang dan mestilah juga mempunyai kemahuan politik untuk menangani keruwetan malaysia ini dengan cara yang rasional dan objektif.

hari-hari di mana semua orang islam-melayu dianggap sebagai orang islam yang beragama dan sederhana telah lama berlalu. di zon-zon industri di bandar-bandar di semenanjung malaysia hari ini, telah kita lihat pembentukan dan perkembangan pelbagai bentuk dan watak sosial baru yang mengingkari semua bentuk stereotaip yang ada tentang bangsa ini.

malaysia kini adalah sebuah negara baru di mana rakyatnya yang datang daripada pelbagai latar belakang etnik agama, orientasi gender dan sebagainya telah mara ke depan untuk menuntut bahagian masing-masing dalam perwakilan politik yang wujud.

secara peribadi, saya pernah menemui beberapa orang gay yang beragama islam, yang secara terbuka dan juga rahsia, menyatakan sokongan mereka kepada parti islam itu. soalnya, apakah parti islam yang mereka sokong itu boleh menunjukkan tahap sokongan, simpati dan kefahaman yang sama seperti yang diberikan kepadanya?

pas perlu faham bahawa untuk menjadi sebuah parti nasional dengan aspirasi nasional, maka ia perlu membina retorik dan platform politik yang inklusif yang menggambarkan kepelbagaian watak malaysia yang kita lihat hari ini.

malah inilah yang perlu dilakukan oleh semua parti politik., sama ada parti islam, sosialis, liberal atau konservatif. kegagalan berbuat demikian bermakna mengabaikan realiti yang wujud, sekali gus menentukan had hayat dan kelangsungan jangka panjangnya sebagai sebuah parti politik.

ramai yang menjangka pas tidak akan berupaya mengubah-semula dirinya selepas dekad 1980-an, apabila ia mengambil acuan sebuah parti islam seperti parti-parti islam lain di dunia arab dan asia selatan.

namun para sejarawan akan mengingatkan kita bahawa, seperti juga bangsa dan masyarakat, parti-parti politik, adalah koleksi abstrak kenisbian individu yang bergabung, mencair dan membina-semula diri mereka pada setiap masa.

pas merupakan sebuah parti yang dinamik yang berurusan dengan realiti yang dihadapinya – daripada realiti kolonialisme di malaya pada dekad 1940-50-an kepada kemunculan politik autokratik pada dekad 1980-an.

hari ini, pas telah melihat dan menikmati persahabatan dan kepercayaan jutaan rakyat malaysia bukan-melayu dan bukan-islam yang memberinya peluang untuk menjadi sebahagian daripada sebuah kerajaan baru di negara ini sekiranya pakatan pembangkang berjaya menguasai parlimen kelak – suatu kemungkinan yang amat dekat dan nyata.

selain itu, pas juga mendapat manfaat daripada kepercayaan jutaan orang islam moderat dan liberal yang bersedia memberinya peluang untuk membuktikan komitmen mereka kepada politik baru akauntibiliti dan ketelusan.

justeru, bagi kepentingan jutaan rakyat malaysia yang bersedia memberinya peluang itu, parti islam tersebut perlu memberi tumpuan kepada sasaran yang paling unggul, iaitu menjadi sebuah parti nasional yang melambangkan pluralisme masyarakat malaysia itu sendiri.

hayunan undi yang berlaku pada mac 2008 bukanlah tanda persetujuan terhadap negara islam atau pengawas moral atau sebuah teokrasi di bawah telunjuk sekumpulan ‘ayatollah’.

sebaliknya ia adalah petanda bahawa masanya telah tiba untuk pas menyelusuri semula akar sejarahnya yang kompleks itu untuk kemudiannya lahir sebagai sebuah parti islam moden yang akhirnya turut berupaya menjadi sebuah parti untuk malaysia dan rakyat malaysia juga.

-------------------------------------
(1) versi bahasa melayu artikel berjudul ‘time for pas to show ability to be a national party’ oleh dr farish a noor. terjemahan dan suntingan oleh http://pokok-hujan.blogspot.com.

No comments: