Tuesday, June 02, 2009

sejarah yang berulang-ulang

...barangkali buku al-hukumah al-islamiyyah (kerajaan islam) merupakan tulisan khomeini yang paling penting. ia adalah sebuah buku kecil setebal 154 halaman dalam bahasa arab dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris, farsi, peranchis dan urdu.

berlawanan dengan judulnya, buku ini membincangkan masalah asasi dalam pemikiran politik tradisi mazhab shiah; iaitu semua kuasa dan wibawa politik semasa ketiadaan imam yang ghaib (sejak 260h/873m) adalah tidak sah; bahawa ulamak dan fuqahah mesti mengehadkan diri mereka di madrasah dan hawzah; bahawa tidak ada kerajaan yang adil dan sah boleh diwujudkan sebelum kemunculan imam mahdi.

buku ini pada dasarnya bertujuan menghapuskan salah-faham di kalangan pengikut shiah yang membenarkan individu yang zalim merampas kuasa politik dalam masyarakat shiah selama lebih 1000 tahun ekoran kepercayaan tradisi tersebut. keadaan ini amat disukai oleh para pemerintah yang zalim itu sendiri, sekali gus membawa kepada peminggiran islam daripada kehidupan bermasyarakat.

keadaan yang sama turut berlaku dalam masyarakat sunni selepas sesetengah ulamak mengharamkan penentangan terhadap pemerintah yang zalim atas alasan menghindari fitnah dan pertumpahan darah sesama umat. justeru, tentangan sedemikian terhadap pemerintah kemudiannya dianggap sebagai suatu jenayah agama.

lalu sebilangan ulamak telah merekayasa kata-kata seperti: "para sultan adalah bayang-bayang Allah SWT di dunia. sesiapa yang memuliakan mereka akan dimuliakan oleh Allah SWT, dan sesiapa yang menghina mereka akan dihina oleh Allah SWT". kata-kata ini, yang merupakan sebahagian daripada teks khutbah jumaat, masih dibacakan sehingga ke hari ini oleh para khatib yang tidak peka, khususnya di benua indo-pak.

namun, natijah daripada kedua-dua keadaan ini adalah sama: iaitu para ulamak yang adil, berilmu dan bertaqwa tidak mencabar pemerintah yang zalim, dan sekali gus berusaha merebut wibawa serta kuasa politik dalam masyarkat masing-masing.

pandangan tegas khomeini dalam al-hukumah al-islamiyyah telah mencetuskan revolusi dalam pemikiran politik mazhab shiah, dan ini kemudiannya telah mencetuskan pula revolusi islam di iran.

beliau menamakan teori politiknya itu vilayat-i-faqih (pemerintahan oleh faqih). buku ini mengandungi 16 syarahan yang disampaikan di hawzah di najaf antara 13 dzulqaedah dan dzulhijjah 1389 (23 januari hingga 10 februari 1970) bagi membuktikan bahawa tanggungjawab asasi pada fuqahah adalah untuk memimpin, memelihara, memantau dan memandu masyarakat dan negara islam.

syarahan khomeini di bawah tajuk ini telah mencetuskan bantahan keras daripada kelompok-kelompok reaksioner di najaf itu sendiri. mereka berjaya mempengaruhi sebilangan pelajar supaya tidak lagi menghadiri syarahan-syarahan khomeini itu kerana, seperti kata beliau sendiri: "mereka mahu dan percaya bahawa saddam (hussein) dan shah (iran) harus kekal memerintah, bukannya seorang imam atau mujtahid yang memenuhi syarat-syarat kepimpinan".

golongan ini selalu berkata bahawa urusan kerajaan bukanlah urusan seorang faqih. justeru, khomeini dan rakan-rakan serta pelajar beliau telah dihalang dan diganggu terus-menerus. dalam keadaan itu, khomeini selalu memberitahu mereka: "walau apapun gangguan yang kita hadapi, namun ia tidaklah sama dengan kesukaran yang dihadapi oleh nabi SAW, walau untuk satu hari pun".

golongan reaksioner ini telah mengutus orang-orang tertentu kepada khomeini untuk memberitahu bahawa najaf tidak boleh menerima syarahan sedemikian. menurut ahmad khomeini, "...khomeini dan rakan-rakannya menghadapi hari-hari yang sukar dan pahit di najaf".

kelompok ini juga telah bertindak membuang naskah-naskah al-hukumah al-islamiyyah ke dalam sebuah perigi di najaf. sebilangan yang lain, yang memperolehi buku tersebut daripada khomeini untuk diedarkan ke kota-kota lain seperti basrah dan baghdad, telah membuangnya ke dalam sungai euphrates...(1)

-------------------------------------------
(1) dipetik daripada ulamak memimpin: kehidupan, perjuangan dan pemikiran khomeini, (bakal terbit).

No comments: