Friday, June 12, 2009

di tanah serendah sekebun bunga

...dan saya juga memilih untuk berkubu betis dan bersetia dengan orang tua uzur bernama nik abd aziz ni mat kerana sehingga kini dia tidak pernah menganiayai atau membohongi saya.

dia melakukan kesilapan? ya, tentu sekali. malah banyak juga tingkahnya yang tidak saya persetujui, tetapi dia tidak pernah membohongi saya. dan itu lebih penting hari ini. dia jujur. dalam benar, dia jujur. dalam salah, dia jujur.

dan selama dua puluh tahun, dia dan para sahabat serta penasihatnya yang 'kucing kurap' itu terus bertahan di tanah serendah sekebun bunga tanpa gagal, tanpa ragu.

dua puluh tahun menanggung cemuh, bala dan nista. sewaktu tanah lain tumbang satu persatu, dia masih di situ, dengan wajah lunak dan tekad membatu, di pintu kota.

dengan panji di tangan dan dada terbelah, dia bertempik, dia merayu: "...mari weh, mari weh, asok, asok, asok. panji dio doh patoh, lembing dio doh sumbing, panoh dio doh putuh, keris dia doh tumpul. asok, asok, asok. mari weh, mari weh..."

tiba-tiba tuan mencadangkan semuanya usai dan sambil minum-minum kita berbicara tentang beras dan gula, dan cerita-cerita hari muka yang cerah cemerlang.

pengkhianatan darjah apakah ini?

wallahu a'lam.

11 comments:

Anonymous said...

zidane

masa kecik kecik dulu, aboh sokmo pesan, `buat kerja tu biar sampai habis, lengkap, pendek kata bagi molek, kalau tak, baik tak yah buat`. Jangan buat sesuatu perkara sekerat jalan, hangat hangat taik ayam kata orang tua. So, keep on fighting.........

Anonymous said...

Beb, tolong highlight sikit ttg unity govt ni. Apa cerita nye?

Anonymous said...

Hadi - Presiden
Nasharudin - T. President
Mustapha Ali - SUA

Harap-harap cepatlah unity govt. Nak tengok Hadi jadi PM...

Anonymous said...

jujurnya saya pun tak tau apa bendanya unity gov ni. dok tau setarang - syed putra ahmad

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Di sebalik bahasa lunak lagi muluk yang dirungkai Tuan SPA, tiba-tiba entah dari mana bahananya aku dianggap mencadang supaya PR itu bubar supaya kita semua hanya bicara soal-soal ranting sambil minum-minuman gitu berharapan hari muka yang indah gemilang.

Lebih daripada itu aku juga dianggap Tuan SPA sebagai pengkhianat durjana nombor wahid yang tiada taranya.

Walhal aku hanya pencuri di pasar-pasar rakyat di Kota Baghdad.

Mana mungkin aku melakukan khianat terhadap sebuah pakatan kuasa yang mendamba tampuk pemerintahan negara.

Barangkali sahih TGNA kekal jujur dalam benar dan salahnya dan tidak pernah menganiayai dan membohongi Tuan SPA - Namun tidak terpakaikah kayu ukur yang sama buat susuk TGHH? Buat diri Tuan SPA sendiri?

Aku menulis betapa PAS dilayan umpama "kucing kurap" oleh DAP di Pulau Pinang. Noktah.

Aku sengaja lagi sedar tidak melanjut persoalan PAS melayan karenah DAP pula di negeri-negeri yang dikuasai PAS kerana bagi aku PAS tidak bersikap begitu kepada DAP.

Maka dari mana datangnya aku "mengkucing-kurapkan" sahabat dan penasihat TGNA di tanah serendah sekebun bunga?

Tuan SPA menyebut betapa kukuh berdiri TGNA menjaga pintu kota Kelantan selama 20 tahun (ketika tanah-tanah lain tumbang). Siapa yang menafikannya?

Namun kukuhnya pintu kota itu tiada langsungkah sumbangan orang lain sama ada orang di dalam atau di luar kota?

Atau maksud Tuan SPA kota itu berdiri kukuh selama ini hanya semata-mata dek susuk TGNA?

Semata-mata.

Dan bila TGNA bertempik bahawa panji musuh sudah patah, lembing musuh sumbing, panah musuh putus, kerisnya tumpul seraya mendesak mengasak untuk pukulan penghabisan memusnahkan musuh - bahawa musuh bukan sekadar sudah lemah, malah sudah di akhir nyawanya - maka dari mana datangnya hujah PAS tidak boleh berunding dan berbincang atas nama perpaduan kerana musuh dalam kedudukan kuat dan PAS masih lemah ..., sebagai antara dalil menolak gagasan perpaduan itu?

Siapa sebenarnya yang mara mengasak?

Dan siapa sebenar mengajak berundur?

Tuan SPA memperaku betapa toleransi lunaknya terhadap UMNO bukan sekadar pancit tapi sudah kohong dan bolos. Kata Tuan SPA, lebih 50 tahun UMNO diberi kesempatan. Lebih 50 tahun UMNO menjarah rakyat dan negara.

Siapa yang menafikannya?

Aku lagi?

Cuma dari segi konteksnya, betapa Tuan SPA bisa-bisaan ikhlas mengizin lunaknya kepada DAP ...

Selama 50 tahun yang sama, tulus dan redha si DAP itu terhadap PAS? Maka kita noktahkan saja kesangsian dan keberhati-hatian kita?

Maka ayuh mendakap erat susuk DAP itu sambil memejam mata menutup telinga segala, dan dalam waktu yang sama wajib membedil kepala susuk UMNO tanpa tanya tanpa peduli.

Sambung ..

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Sambung ...

Tuan SPA menyebut perihal Hudaibiyah dan Bait ar-Ridhwan.
Alhamdu'lillah. Cuma Tuan SPA menyebut hanya setakat titik ikrar kesetiaan dan perjanjian sesudahnya.

Isi Hudaibiyah yang rata-ratanya "berat sebelah" tidak Tuan SPA singkap.

Kemelut keyakinan di kalangan para sahabat terhadap susuk Rasulullah SAW sendiri lantaran sikap baginda SAW mendahulukan perdamaian sama ada sebelum atau sesudah Hudaibiyah dimeterai tidak Tuan SPA kupas.

Walhal visi Hudaibiyah itu adalah kaedah rekonsiliasi sebagai pencetus kemenangan.

Gagasan bertunjang perpaduan sebenarnya senjata Islam yang ampuh lagi fitrawi.

Sementelah Umar r.a dengan perhitungan militernya ingin mempersenjatai jamaah untuk menghadapi kemungkinan serangan kaum Quraisy Makkah, tapi Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan, ”Aku tidak akan membawa senjata. Aku bermaksud ke sana bukan untuk berperang, melainkan beribadah”.

Namun Rasulullah SAW setuju setiap jamaah dilengkapi dengan pedang pendek untuk keperluan berburu yang harus tersimpan rapi dalam sarungnya. Tidak boleh menjolok mata.

Ahli sejarah Islam iaitu Muslim Ibnu Ishaq menulis, “Shahabat-shahabat Rasullah SAW telah berangkat tanpa keraguan untuk menguasai Makkah kerana visi yang telah dilihat Rasullah SAW dalam mimpinya, dan ketika mereka menyaksikan perundingan damai dan penarikan mundur serta balasan tidak setimpal yang mereka dapat dari pihak Quraisy, mereka mengalami kemurungan sampai nyaris kehilangan semangat hidup.” Bahkan, terasa adanya suasana pemberontakan di ketika itu.

Umar bin Khattab r.a melompat menuju Abu Bakar r.a, “Apakah kita bukan Muslim dan mereka bukan musyrik?”

Ini sungguh ujian keimanan yang sangat berat bagi kaum Muslimin. Bukan hanya hal-hal yang menyangkut persoalan politik dan ekonomi yang bersifat mendasar, tetapi simbol-simbol yang paling sakral dalam keimanan Muslimin, iaitu Allah SWT dan Rasulullah SAW direndahkan dalam penulisan naskah Perjanjian Hudaibiyah itu.

Selesai menandatangani naskah Perjanjian Hudaibiyah oleh Muhammad SAW dan Suhail bin Amr, serta disaksi secara kasus oleh Abu Jundal, Umar ibn Khattab r.a bangkit berdiri dan bertentang dengan lelaki yang telah dipatuhinya selama 12 tahun sebelumnya. Dengan bergetar Umar r.a berkata, “Apakah dia bukan Utusan Tuhan? Apakah kaum Muslimin tidak benar dan musuh mereka yang salah? Mengapakah mereka melakukan perdamaian yang sangat tidak terhormat ini? Bukankah Muhammad SAW sudah berjanji kepada mereka ketika meninggalkan Madinah beberapa hari yang lalu, bahawa mereka akan dapat shalat di Kaabah?“

Dengan tenang Muhammad SAW menjawab, ”Tetapi apakah aku katakan bahawa kita akan melakukannya tahun ini?”

Umar r.a dan yang lain terhenyak, mereka terpaksa mengakui bahawa Rasulullah SAW memang tidak menyebutkan waktunya.

Maka Muhammad SAW bersabda, ”Aku adalah Utusan Tuhan. Aku tidak akan melakukan sesuatu di luar perintahNYA dan Dia tidak akan menjadikanku orang yang kecundang.”

Tuan SPA berkata "orang UMNO" adalah saudaranya sendiri yang berada dalam doanya. Yang ditolak ialah UMNO organisasi.

Jika begini jalur fikir Tuan SPA - fahamlah aku "momok" yang berpuaka di hatinya.

Tuan SPA nampak asap. Punca asap itu tidak diketahuinya.

Maka jadilah orientasinya aku pengkhianat nombor wahid yang mahu membuang Tok Guru mulia lagi suci itu.

Untuk itu aku hanya mampu mengulang ungkapan Abang Mat Sabu iaitu untuk ulamak seperti TGNA. TGHH. Almarhum Ustaz Fadhil, Hassan Nasrallah, Yasin Ramadhan - aku sanggup menjadi pembawa kasut mereka.

Tuan SPA,

jangan sekadar dituduh bahkan aku rela sungguh-sungguh menjadi pengkhianat besar asalkan pengkhianatan yang aku lakukan itu akan meletakkan perkara kena pada tempatnya.

Wallahu'ahlam.

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

.., dok tahu setarang apa bendenya tapi begitu hebat menentangnya????

Justru menangkap hantu hatta berlawan pedang saber dengan darth vader jauh lebih mudah daripada berlawan dengan bende hok kita dok tahu ulas butirnya.

Lantas biar aku kekal jadi Pencuri di Kota Baghdad.

Di Kota Baghdad pesaing aku hanyalah si Aladdin.

Anonymous said...

tuan pencuri,

umno boleh saja menyertai pas jika mereka jujur mahu berpadu. dan saya rela mengungsi ke hujung negeri, menanam pucuk paku untuk jajaan, beri makan anak-isteri - syed putra ahmad.

Anonymous said...

dan jika sesungguhnya seperti yang tuan kata, tentang muluknya unity govt itu, tghh ada dua peluang di depan mata, untuk buktikan hikmah ideanya:

1. wujudkan unity govt di terengganu, dan;
2. dengan persetujuan ust azizan razak, wujudkan govt yang sama di kedah.

mungkin selepas itu, saya boleh percaya. namun sebelum itu, saya lebih rela 'mendakap erat susuk dap' seperti yang tuan kata - syed putra ahmad.

Anonymous said...

Pencuri Dari Kota Baghdad

Ketika aku memakaikan makna biasa-biasaan kepada pantun Abg Mat Sabu, Tuan SPA telah menuduh aku melakukan satu penghinaan paling besar, bukan sahaja terhadap diri peribadi beliau, tetapi juga kepada komitmen, perjuangan dan pengorbanannya selama ini!

Belum pun kering tinta tuduhan penghinaan itu, Tuan SPA lantas pula menuduh aku pengkhianat durjana nombor wahid terhadap kelangsungan hayat PR sebagai wadah politik gabungan yang mendamba kuasa di negara ini.

Aku hanya mampu bertahan dengan mengingati kata-kata Imam Khomeini sewaktu mengisytiharkan tamatnya perang Iran-Iraq, iaitu:-

"Walau bisanya seperti meminum racun - perang ini harus dinoktahkan!"

Bayangkan rawan hati dan tertusuknya sukmaku apabila Tuan SPA rela mengungsi ke hujung negeri, menanam pucuk paku untuk jajaan, beri makan anak-isteri hanya jika UMNO jujur mahu berpadu dengan PAS.

Maka bertanya aku, di dasar manakah bertapak dendam tak sudah Tuan SPA terhadap susuk-susuk seperti artis jelita Nur Baizura kelahiran Pekan, Pahang yang menjadi ahli Puteri UMNO itu sehingga tergamak mempurbakan kembali kehidupan anak-isteri yang arakiannya terbiasa dengan laptop dan berblogging sambil mengunyah ranggup pizza meminum air strawberry berkabonat.

Lembing Awang sudah lama pulangnya ke Dayang.

Dan aku akur, memang sejarah selalu meraikan manusia berdendam sementara pencinta sepertiku dipinggir di nota kaki.

Cuma tidakkah nanti aku bisa berdamba berada di saf Yusuf dan Rumi?

syed putra ahmad said...

tuan pencuri,

saya fikir jangan tuan berhenti mendokong unity gov ini. ia langkah hudaibiyah kata tuan. teruskan. ulamak yang mengusulkannya bukan? jadi tentu ia tulus, ia mulus, ia berhikmah.

saya sudah letih.