Oleh Dzulkefly Ahmad
Sesungguhnya PAS kini berada di tahap paling baik dalam 58 tahun sejarah jatuh-bangun perjuangan politiknya. Natijah daripada pelbagai dinamika politik nasional dan hasil kesediaan kepimpinannya untuk memposisi kepentingan perjuangan, PAS berada di kedudukan amat penting, sekali gus menuntut parti Islam itu terus membuat beberapa pilihan strategik.
Paling kritikal, pilihan strategik yang bakal dibuat itulah yang akan menentukan keupayaan dan kelangsungan PAS, sama ada terus mara menempah kejayaan yang lebih besar atau berpatah balik, seperti yang disaksikan pasca-kejayaan PRU ke-10, yakni keputusan PRU ke-11 April 2004, yang mengembalikan PAS pada garis sokongan tegarnya. Tidak lebih dan tidak kurang.
Makalah di ambang Muktamar ke-55 ini, punya cita-cita besar bagi meletakkan seluruh kepimpinan parti, aktivis, pendukung dan pencintanya, supaya sedar dan insaf, bahawa sekali lagi, kita berada di persimpangan kritikal ini.
Umum, bahkan dunia, sedang memerhatikan penampilan serta pengolahan ‘Risalah Perjuangan Parti Politik Islam’ ini, dalam persaingan untuk mendominasi kuasa, khususnya dalam pertarungan politik sebuah negara-bangsa yang punya demografi cukup plural atau majmuk, terutamanya dari segi kepelbagaian tuntutan agama,etnik dan budaya yang bersifat 60:40 (Islam:bukan-Islamnya). Cabaran inilah yang cuba digarap dalam penulisan ini.
Pertama, penulis ingin merakamkan rasa terkilannya bahawa polemik kepimpinan ulama-profesional telah menelan waktu, tenaga dan penumpuan yang agak keterlaluan. Lebih penting daripada kesemua itu sewajarnya ialah untuk menekuni serta mentakrifkan tuntutan perjuangan yang bakal dipikul kepimpinan yang akan dipilih.
Dengan kejelasan itu akan terserlah gandingan pasukan kepimpinan yang diperlukan bagi memantapkan lagi kepemimpinan Presiden dalam memacu dan melonjakkan parti ke garis prestasi keluk yang seterusnya. Maka langkah membicarakan pilihan strategik pada ketika ini adalah suatu yang dharuri sifatnya, atau paling tidaknya sangat dihajatkan oleh parti dalam rangka tuntutan kebijaksanaan perjuangan.
Menggantikan Kepimpinan Umno
Seperti yang ditegaskan oleh kepimpinan tertinggi parti, seperti Pengarah JK Pilihanraya PAS Pusat, waktunya telah tiba untuk PAS mengambil alih kedudukan Umno selaku parti politik pilihan nombor satu untuk kelompok demografi pengundi Melayu-Islam di negara ini. Meski pun keperluan ini telah acap disebut, termasuk salah seorang calon Timbalan Presiden, belum ada kejelasan dari segi strategi yang pernah dilakarkan ke arah itu.
Sementara PAS berada di tahap paling kukuh dan kuat, Umno sebaliknya sedang berada di tahap paling lemah dalam laluan usia politiknya. Sebelum kita dikatakan berkhayal, PAS (dan Pakatan) perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan 72 kerusi parlimen yang memiliki 2/3 majoriti Melayu-Islam dan 42 kerusi di mana yang majoriti mudahnya adalah pengundi Islam-Melayu.
Selebih 51 kerusi parlimen yang lain adalah kerusi majoriti bukan-Melayu, dengan 18 daripadanya adalah kerusi majoriti 2/3 dan 33 adalah kerusi majoriti mudah bukan-Melayu.
Justeru, jumlah kerusi pertarungan di Semenanjung ialah sebanyak 165 buah. Nah, perhatikan baik-baik apa maksud untuk menumbangkan Umno sebagai parti untuk orang Melayu-Islam. Sebagai optimis tegar penulis yakin bahawa objektif tersebut mampu dilakukan.
Telahan para penganalsis politik ialah Umno tidak akan dapat memugarkan atau ‘reengineer’ kembali perjuangannya sehingga parti Melayu terbesar itu mengalami kekalahan kuasa di peringkat Pusat dan belajar semula selepas menjadi pembangkang untuk satu jangka waktu.
Pun begitu, dari segi perhitungan politik, PAS perlu mengalahkan Umno dalam pertandingan pilihanraya umum akan datang. Untuk ingatan, PAS bertanding di 64 kerusi parlimen di Semenanjung, sementara memenangi 27 kerusi. Umno sebagai perbandingan, menguasai 78 kerusi di Semenanjung.
PAS dalam ukuran politik hari ini sudah melepasi kekangan prestasi tradisinya. Dulu, PAS hanya mampu menang dalam pertandingan kerusi-kerusi yang berada dalam ‘Malay Belt’ atau Kawasan Melayu di Utara dan Pantai Timur. PAS telah memecahkan tembok ini dalam pola Politik Baru dan bersedia memenangi kerusi-kerusi campuran 60:40, bahkan lebih ‘mixed’ daripada itu seperti kerusi Kota Raja. Tegasnya, PAS telah menemui formula dan resepi kejayaannya.
Persoalan buat kepimpinan kini ialah: apakah yang perlu dilakukan untuk seterusnya merealisasikan cita-cita mengambil alih kedudukan Umno? Apakah yang bakal menghalang pencapaian objektif ini?
Bersama Menggandingkan Kekuatan Menjatuhkan Umno-Barisan Nasional
Muktamar ke-55 ini juga membawa erti besar untuk parti Islam yang terbesar di negara ini, sekali lagi mempertegaskan komitmennya untuk menyaksikan tumbangnya kuasa yang telah memerintah negara selama lebih 5 desawarsa itu. Kuasa ini telah menafikan negara dan rakyat daripada mengecapi kesejahteraan hidup sebenar, sesuai dengan kedudukan negara yang memiliki sumber perkapita antara tertinggi di dunia ekoran pelbagai kebobrokan gelagat segelintir pemerintah yang sarat rasuah, rakus dan mementingkan diri.
Amalan demokrasi rosak, sementara institusi kehakiman terus reput dan badan legislatif dicekik kuasa eksekutif. Media Baru memerdekakan rakyat dan pengundi. Tekanan ke arah pertanggungjawaban dan ketelusan menuntut kerajaan mendedahkan segala kecurangan yang dilakukan pihak pemerintah. Terkini, skandal besar PKFZ yang bakal menelan RM12.8 bilion, sebagai ‘mercu tanda’ pengurusan sarat rasuah Umno/BN.
Umno/BN sudah sampai ke penghujung usianya. Mereka wajib di kalahkan dalam PRU ke-13 bagi mengangkat martabat, maruah dan daya saing negara. Tidak ada kemungkaran yang lebih jelek dan membinasakan watak negara-bangsa ini amnya dan umat Islam khususnya daripada kehidupan yang menjauhkan manusia dari fitrahnya untuk memakmurkan bumi dan mensejahterakan kehidupan bermasyarakat dan bernegara.
Sindrom Takut-Kalah-Umno, Takut-Menang-PAS
Di persimpangan politik transisi yang serba tidak menentu ini, Umno jelas telah dihinggapi ‘sindrom Takut Kalah’ atau ‘atichiphobia’, sehingga sanggup memberi laluan mudah di Penanti. Umno akan terus dihantui ketakutan dahsyat ini sehinggalah ia menjalani rawatan yang diperlukannya.
Namun PAS juga menghadapi satu fenomena yang sama, tetapi sedikit berlainan. Apa yang dialami PAS kini ialah ‘Sindrom Takut Kejayaan – Fear of Success’. PAS bukan takut dikalahkan, tetapi lebih takut bahawa kejayaan akan mengakibatkan parti Islam itu kehilangan ‘al-Asolahnya’ atau ‘Ketulenan keIslamannya’, lantas curiga serta khuatir untuk menempuh ‘jalan-jalan’ yang ditanggapi bukan lebuhraya lazimnya, bahkan didakwa sesetengah pihak berpotensi membawa kelunturan, pelarutan dan penyimpangannya daripada cita-cita perjuangannya.
Penulis memerhatikan bahawa di sebaliknya polemik ulama-profesional, tersirat secara lebih mendalam tekanan sindrom ini, khususnya kepada golongan tertentu yang tidak dapat mentasawurkan proses dan gelagat perubahan yang wajar dipacu PAS dalam persaingan di gelanggang politik pluralis yang punya matlamat yang saling bertentangan dan bersimpang-siur itu. PAS sangat berhajatkan dirawat dengan tekunan ilmu yang lebih mendalam dan keberanian ijtihad para ulama harakinya untuk keluar daripada bahana sindrom ini.
Kesimpulan
Di persimpangan kritikal ini juga, PAS perlu tahu bahawa Umno bukan kawan, tapi lawannya. PAS wajar menegaskan bahawa Pakatan Rakyat adalah wasilah paling bijak dan bertepatan dengan tuntutan waqi’ dan fiqh siyasi serta berpadanan dengan maslahah perjuangannya.
PAS sangat perlu menekuni kebijaksanaan untuk menampilkan terus ‘tagline’ –‘PAS Untuk Semua’ dan ‘Islam Untuk Semua’ melalui program-program perjuangan yang lebih inklusif bagi menggamit serta melebarkan tapak sokongan, sementara memperkukuhkan kemurnian agenda Islam bagi sokongan tegar Melayu-Islam.
Sebagai contoh kecil, sedikit waktu lalu beberapa tokoh muda ulama PAS cukup berani membicarakan tentang zakat yang harus dipanjangkan kepada golongan ‘asnaf muallaf’, termasuk yang bukan-Islam seperti yang pernah dilakukan oleh RasulAllah (saw).
Tegasnya PAS wajar keluar dari kotak pemikiran terlalu ‘fiqhiy’ (legalistik) kepada paradigma pemikiran ‘usuliy dan maqasidiy’ (prinsip dan maksud), lantas berani memposisi Islam dengan lebih mantap lagi dengan hujah ilmu Islam yang lebih daqiq (mendalam) dan intelek yang lebih peka dengan realiti semasa. Terlalu banyak yang perlu digarap termasuk hiburan, mua’malat kewangan-ekonomi, pembangunan sosial, pendidikan dan pertentangan perundangan itu sendiri.
Inilah antara pengisian agenda “Penampilan Agenda Politik Islam PAS” dalam persaingan era baru. PAS mengongsi Keadilan serta Kesejahteraan sistem Islam kepada semua dan Aqidah Islam kepada yang meyakini.
PAS tidak wajar mengulangi kesilapan pendekatan terlalu eksklusif dan sentrik yang meminggir rakyat dan pengundi untuk berada di kedudukan yang tidak difahami, kecuali penyokong tegarnya di kawasan-kawasan tradisinya.
Kesemua ini adalah agenda kepimpinan yang wajar diperbahaskan dan dicermati dengan lebih mendetail dalam Muktamar kelak bagi mempersiapkan parti untuk menempah kejayaan yang sama-sama di ingini dan diperjuangkan.
Memang benar kejayaan bukan segala-galanya, namun segala-galanya menantikan kejayaan bagi melakasanakam cita-cita perjuangan!
-------------------------------------------
Dr Dzulkefly Ahmad adalah Pengarah Pusat Penyelidikan PAS dan Ahli Parlimen Kuala Selangor. Artikel ini pertama kali diterbitkan di Harakahdaily.net.
Wednesday, June 03, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment