Friday, June 26, 2009

Puisi panjang buat dik dara (1)

Oleh Mohamad Biru

dik dara
nanti waktu aku pulang ke kampong bila ada kesempatan bercuti
usah engkau datang lagi ke rumah menghantar kuih
lepat pisang yang menjadi kegemaran
kerana aku yang pulang kali ini
sudah tempang kejantanannya
… semenjak aku jadi tahu
engkau ke pekan menonton wayang
tayangan Hindustan larut malam
berpegangan tangan
dengan budak seberang

dik dara
kalau pun engkau masih mahu melintas di laman rumahku
sambil berlenggang lembut seperti dulu
usahlah berpaling pada jendela yang tidak pernah berlangsir itu
atau barangkali singah-singah sembang di serambi
… kerana di sini ada seorang lelaki
yang patah harapan dan parah di hati
kecundang dek budak seberang
berkelulusan universiti

dik dara
bila kelak kita mungkin bertembung di jalan arah ke dusun
dan engkau berniat menegurku
janganlah engkau manja-manjakan suara merdumu itu
sambil mengibas hitam rambut lurus menyusur leher jinjangmu
… kerana engkau kelak berhadapan
adalah seorang aku yang bukan dirinya lagi
dan jika engkau masih kuntumkan senyum di bibir delimamu itu
kelak yang engkau dapati
seorang lelaki bungkam yang tidak tetap berdiri

dan
mana tahu ketika aku naik basikal membuang rindu di denai
lalu tersua denganmu jalan bersantai
dan seterusnya aku gagal mengajakmu membonceng
di belakang basikal buruk pemberian arwah datukku
seperti dulu-dulu
… aku kira tentunya engkau sudah tidak selesa lagi
berpungguk di palang besi
dek lewat biasamu beralas lembut
di atas kusyen baldu bergebu
di dalam kereta baru warna biru
kepunyaan budak seberang

dan nanti
waktu aku sedang ngelamun sendiri di tebing sungai kenangan
lalu engkau turun bermain air membasah bunting betis
maka tidak perlu engkau hanyutkan apa-apa lagi
supaya aku basah mengejar dan memulangnya kembali
lantas jadi nanar terlihat percik butir air di lehermu
atau tak payah lagi
engkau pura-pura jatuh waktu menyusur ke titi
untuk aku menerpa menangkap membantumu
… hampir pasti aku paksa diri untuk tidak peduli
akan aku bertahan daripada menolongmu lagi
sekaligus
untuk mendukungmu ke tepi

dik dara
hingga sekiranya malam jadi sepi dan hening dibalut arus dingin
dan jauh-jauh
engkau mendengar aku memetik kecapi
mungkin sambil menyanyi
atau bersilih ganti meniup seruling bambu
mengalun sayu meriba rindu
… jangan datang lagi membawa kopi panas berisi madu seperti dulu
lalu menggigit telingaku dan berbisik yang bukan-bukan
sampai aku hampir mabuk berkemaruk
… barangkali dik
laguku masih lagu yang dulu
namun bukan lagi tandanya aku memanggilmu
aku sudah bukan aku
yang pernah engkau cumbu

dik dara
maaflah

kalau aku menghadirkan kebencian
dan mengelak pada setiap pertemuan

barangkali engkau tidak pernah akan mengerti
keadaan seorang lelaki
yang mimpinya
telah jadi kosong.


----------------------------
(1) Kali terakhir puisi ini dilewati semula kira-kira lebih 20 tahun yang lalu iaitu tahun 1983 sewaktu koleksi atau antalogi “KamusMu, KomikKu & Kad Kredit Kita Bersama” dihimpun lalu diserah kepada tidak lebih daripada 9 orang handai taulan.

Puisi ini tercipta berdasarkan inspirasi arwah Pak Tongkat sebenarnya iaitu mengambil kira salah satu karya perdana beliau, “Uda & Dara” yang dianggap berlatar-belakang tahun 1960an. Setiap generasi pasti memiliki “Uda & Dara” mereka tersendiri dengan landskap zaman termasuk mencermin segala elemen sosial budayanya.

Pertama kali puisi ini ditulis ialah sekitar 1981 ketika penulis masuk tahun ketiga berkelana berbujangan di kota Kuala Lumpur. Premisnya adalah pengalaman sendiri termasuk pengalaman sahabat-sahabat terdekat yang turut bergelendangan di Kuala Lumpur memburu kehidupan.

Puisi ini pernah ketikanya menjadi satu underground masterpiece di dinding-dinding orang bujang dengan sedikit pindaan iaitu lazimnya perubahan nama seperti “Awi & Yati”, “Bob & Bibah” dan sebagainya.

Tidak seperti yang dikatakan orang tertentu, puisi ini tidak terhasil di dalam jamban - walau ia sering berkumandangan di situ - ia terhasil di atas pangkin kayu di bawah pokok ceri di kawasan kediaman golongan elit di Kuala Lumpur, iaitu Jalan U Thant.

2 comments:

ahmadnizamhamid said...

hmmmm...terimakasih.menarik dan membuaikan.bak aku naskah antologi tersebut

akbajalil said...

Mohon laluan Tuan SPA untuk menyampaikan terima kasih yang tidak terhingga saya buat penulis puisi berkenaan kerana menyenaraikan saya sebagai salah seorang penerima eksklusif antologi “KamusMu, KomikKu & Kad Kredit Kita Bersama”.

Kesempatan sambil-sambilan di U-Thant bersama kalian tidak akan saya lupakan.